Bulan Mei lepas saya pergi ke JRRF2026, iaitu Japan RepRap Festival, dan saya ada singgah di booth G-103 tanpa mengetahui siapa mereka pada awalnya.
InfiMech. Satu nama yang agak asing bagi saya ketika itu.
Rupa-rupanya bukan saya seorang yang kurang mengenali jenama ini. Semasa saya berdiri di situ, ada seorang pengunjung berbangsa Jepun datang ke booth tersebut dan berbual dengan wakil InfiMech tersebut menggunakan terjemahan di telefon. Soalan dia berbunyi lebih kurang begini, “Kamu ni pengeluar 3D printer ke?”
Sampai begitu sekali jenama ini kurang dikenali dalam dewan tu. Seseorang yang berdiri betul-betul di depan sebuah multi-toolhead printer yang sedang mencetak pun masih perlu bertanya apakah produk syarikat ini.
Tapi itulah yang menarik perhatian saya.

Puncanya adalah di atas meja tu terletaknya sebuah MX yang sedang beroperasi dengan enam spool tergantung di kiri dan kanan. Nama file pada screen ialah 6color_Lion_PLA_10h46m.gcode, jadi model singa enam warna yang di-slice pada hampir 11 jam, dan progressnya baru 8% masa saya ambil gambar ni. Sample yang siap di sebelahnya nampak cukup kemas, seperti yang kita boleh harapkan daripada mana-mana printer moden.
Meskipun ia merupakan sebuah jenama yang kurang dikenali di dalam dewan itu, ia tampil menunjukkan sistem multi-toolhead yang pada pandangan saya lebih ke depan berbanding pesaing yang jauh lebih terkenal.
Apa yang belum dikemukakan ketika itu adalah tag harga 3D printer berkenaan. Satu-satunya petunjuk rasmi ketika itu hanyalah kenyataan di trade show yang mereka akan cuba kekalkan harga Pro di bawah $1,000. Kini setelah dua bulan berlalu, akhirnya kita dapat angka sebenar. Lebih menarik lagi, angka yang diumumkan boleh dikatakan sangat rendah sehingga menimbulkan keraguan dalam komuniti 3D printing seluruh dunia.
Harga Rasmi MX Series
InfiMech mengumumkan harga MX Series pada 24 Julai.
| Model | MSRP | Super Early Bird | Harga akhir dengan VIP |
|---|---|---|---|
| InfiMech MX (open frame) | $399 | $299 | $249 |
| InfiMech MX Pro (enclosed) | $899 | $549 | $499 |
Cara untuk dapat harga paling rendah tu agak memeningkan, jadi biar saya cuba pecahkan satu per satu.
Anda perlu bayar $5 sekarang di store InfiMech untuk tempah slot VIP. $5 tu fungsinya adalah dua perkara. Ia akan jamin cashback $50 untuk anda, dan ia meletakkan anda dalam batch penghantaran pertama. Bila Kickstarter dibuka pada Q3, anda akan dikira sebagai penyokong tier Super Early Bird pada harga $299 atau $549 menggunakan email yang sama. Selepas kempen tamat, $5 tadi dipulangkan dan cashback $50 akan dikeluarkan. Jadi begitulah akhirnya kita tiba pada tag harga $249 dan $499.
InfiMech mengatakan bahawa $5 tu adalah refundable sepenuhnya, sama ada anda menyokong kempen Kickstarter tu atau tidak. Tetapi, isu di sini adalah masa, kerana duit anda akan dipegang sehingga kempen tersebut tamat, sedangkan tarikh kempen pun belum diumumkan lagi.
Oh ya, satu deposit $5 itu adalah untuk satu printer sahaja, bukan satu deposit untuk satu orang.
MX Dan MX Pro Bukan Printer Yang Sama
Ini bahagian yang saya rasa ramai orang akan salah faham kalau baca headline sahaja.
MX Pro bukan sekadar MX yang disediakan penutup di sekelilingnya.
| Spesifikasi | MX ($249) | MX Pro ($499) |
|---|---|---|
| Toolhead | 6 | 8 |
| Build volume | 220 × 220 × 220 mm | 300 × 300 × 300 mm |
| Enclosure dan chamber heating | Tiada | Ada |
| Closed-loop motor | Tiada | Ada |
| AI monitoring dan air filtration | Tiada | Ada |
| Induction heating, NFC temp monitoring, adaptive calibration | Ada | Ada |
Jadi jumlah $250 tambahan itu akan memberikan anda dua toolhead lagi, 80 mm tambahan pada setiap paksi, penutup dengan active chamber heating, dan semua sistem monitoring yang dinyatakan di atas. Jurang perbezaan antara dua model ni jauh lebih besar daripada upselling “Pro” yang biasa kita nampak pada jenama lain.
Tapi apa yang penting untuk diketengahkan, teknologi toolhead pada kedua-duanya adalah sama. Apa pun sistem yang dipilih oleh InfiMech, anda tetap akan mendapat sistem swap yang sama pada kedua-dua model berkenaan.
Rekaan Toolhead Yang Betul-Betul Bijak
Kebanyakan printer multicolour untuk pengguna hari ini menolak semua filament melalui satu nozzle sahaja. Ia berfungsi dengan cukup baik untuk dapatkan hasil cetakan warna-warni, tapi setiap kali tukar warna, filament lama kena purge keluar dahulu. Dari situlah datangnya purge waste dan masa cetakan yang panjang.
MX pula menggunakan toolhead yang berasingan. Konsep asasnya sama seperti Snapmaker U1 yang saya review beberapa minggu lepas, tetapi ia datang dengan enam atau lapan tool berbanding empat yang ada pada Snapmaker U1.
InfiMech juga telah menambah satu ciri yang saya belum pernah lihat pada printer pengguna yang lain setakat ini. Sebagai seseorang yang bekerja dalam bidang mechanical design, inilah bahagian yang paling menarik perhatian saya dalam keseluruhan pengumuman ini.
Toolhead mereka langsung tiada wayar. Tiada heater cable, tiada thermistor wiring, dan tiada connector yang perlu bercantum setiap kali carriage mengambil satu tool. Printer ini memanaskan setiap nozzle secara induction dan membaca suhunya melalui NFC.
Cuba kita fikirkan apa yang dihapuskan di sini. Pada toolchanger biasa, setiap tool memerlukan bekalan kuasa dan isyarat, jadi ia perlukan sama ada wayar yang berjalan ke setiap tool atau satu set contact elektrik yang bercantum dan terpisah beribu-ribu kali. Contact inilah salah satu masalah paling rumit dalam kategori toolchanger. Ia akan haus, ia boleh teroksida, habuk filament boleh masuk ke dalamnya, dan ini antara sebab utama kenapa toolchanger kekal mahal sehingga sekarang.
Apabila wayar dihapuskan, tool yang sedang parked hanyalah sekeping logam pasif yang duduk dalam rak. Tiada apa yang perlu diplug, tiada apa yang akan haus, dan kos untuk menghasilkan tool itu sendiri menjadi jauh lebih murah. Besar kemungkinan inilah caranya mereka boleh letakkan lapan tool pada harga sebegini, dan pada pandangan saya ia satu penyelesaian yang cukup kemas bagi masalah yang selama ini diselesaikan oleh jenama mahal dengan cara menambah kos.
Kira-kiranya pun menarik untuk kita renungkan. Pada harga $499, MX Pro bersamaan lebih kurang $62 untuk setiap toolhead. Snapmaker U1 pula lebih kurang $225 untuk setiap toolhead. Walaupun kita ambil harga MSRP penuh, MX Pro masih sekitar $112 untuk setiap toolhead, iaitu separuh daripada U1. Apa pun yang masih menjadi tanda tanya, struktur kos ini bukan perbezaan kecil, sebaliknya ia satu pendekatan yang berbeza sama sekali.
Tapi dari sudut yang lain pula, belum ada sesiapa di luar InfiMech yang menguji sistem ini secara menyeluruh. Induction heating dan NFC sensing pada toolhead yang bergerak adalah sesuatu yang masih baru dalam hobi ini, jadi sekiranya berlaku sebarang masalah, ia bakal menjadi satu kerosakan baru yang tiada siapa ada pengalaman troubleshoot lagi. Sesuatu yang baru dan bijak selalunya datang dengan dua sisi.
Reaksi Komuniti Yang Agak Sangsi
Reaksi daripada komuniti 3D printing inilah perkara yang paling tidak saya jangkakan.
Apabila harga itu diumumkan, thread di r/3Dprinting dengan begitu cepat mencapai lebih 100 komen daripada ahli komuniti. Akan tetapi, komen teratas bukanlah komen yang menyatakan keterujaan dengan harga ini.
Sebaliknya, komen tertinggi dalam thread tersebut menyatakan harga yang diumumkan adalah terlalu rendah sehingga menimbulkan kerisauan.
Kalau kita fikir sedalam-dalamnya, ini sebenarnya satu pujian dalam bentuk yang agak pelik. Tiada siapa yang mengatakan mesin ini nampak tidak bagus. Apa yang mereka katakan adalah spesifikasi mesin ini cukup menarik sehingga harganya nampak tidak masuk akal apabila diletakkan bersebelahan. Sekiranya InfiMech mengumumkan harga $999, saya percaya thread yang sama akan dipenuhi dengan orang yang sedang mengira kos penghantaran.
Jadi keraguan ini bukanlah tentang sama ada orang mahukan mesin ini atau tidak. Ia lebih kepada persoalan sama ada mesin sebegini boleh wujud pada harga sebegitu. Soalan yang berulang-ulang keluar:
- Berapa laju sebenarnya satu tool change?
- Adakah mekanisme swap tu masih elok selepas beribu-ribu kali tukar?
- Boleh ke software menguruskan lapan tool tanpa keadaan jadi kacau bilau?
- Macam mana sebuah syarikat yang pertama kali buat Kickstarter boleh jual mesin enclosed 8 tool pada harga $499, sedangkan Snapmaker U1 dengan 4 tool berharga $899?
Soalan terakhir itu adalah soalan yang ada logiknya, dan kita masih menantikan jawapan bagi soalan ini.
Apa Yang InfiMech Masih Belum Umumkan
Untuk sebuah printer yang harganya sudah diumumkan, masih banyak maklumat yang menjadi tanda tanya. Tiada print speed. Tiada angka acceleration. Tiada masa untuk satu toolchange. Tiada masa heat-up untuk sistem induction tu. Dan kempen ini bertajuk “8X Less Waste” tanpa satu pun ukuran gram di sebaliknya.
Bandingkan dengan Prusa, yang mengumumkan purge lebih kurang 13 mg untuk setiap swap pada INDX. Kita boleh mempersoalkan adakah angka yang diumumkan itu benar atau tidak, tapi sekurang-kurangnya mereka ada memberikan angka untuk kita lihat.
Ada juga isu paten yang masih tergantung. Pada 25 Jun, Bondtech keluarkan kenyataan bahawa INDX dilindungi paten yang telah diluluskan, khususnya meliputi “selective passive nozzle picking from a rack with contactless temperature control”, dan memberi amaran bahawa produk tiruan boleh berdepan sekatan jualan atau import secara tiba-tiba. Mereka tidak menamakan mana-mana syarikat. InfiMech pula tidak pernah menerangkan secara terbuka bagaimana mekanisme swap mereka berfungsi, jadi tiada siapa boleh sahkan sama ada ini terpakai kepada MX atau tidak.
Ini bukan satu tuduhan kepada mana-mana pihak, sebaliknya ia adalah satu persoalan terbuka. Persoalan terbuka ini wajar kita ambil berat memandangkan ia akan dihantar melalui kempen Kickstarter yang boleh mengambil masa enam hingga 12 bulan lamanya.
Siapa Sebenarnya InfiMech
Seperti yang kita nampak pada pengunjung dengan aplikasi terjemahan tadi, nama jenama ini mungkin masih kurang dikenali, dan mungkin tak ramai orang di Malaysia yang pernah dengar jenama ini. Jadi mari kita kenali sedikit jenama ini.
InfiMech sebenarnya telah mula menjual 3D printer secara retail sejak pertengahan tahun 2024. Model TX mereka dijual pada $199 dan EX pada $259, dan kedua-duanya mempunyai komuniti pengguna yang sebenar. EX inilah mesin kedua di atas meja mereka di JRRF, diletakkan bersebelahan MX dengan sepasang unit APS di sisinya.

Pihak media dan komuniti pengguna menyifatkan InfiMech sebagai sub-brand kepada Flying Bear, sebuah pengeluar dari China yang membuat printer sejak sekitar 2018, walaupun laman rasmi InfiMech sendiri tidak menyebut perkara ini.
Perkara ini sebenarnya lebih penting daripada yang kita sangka. Mereka bukanlah sekumpulan pelajar dengan gambar render sahaja. Mereka memang mempunyai rekod menghasilkan dan menjual mesin yang sebenar selama dua tahun, mereka ada pelanggan yang benar-benar memiliki mesin mereka, dan mereka datang ke Jepun dengan sebuah multi-toolhead printer yang beroperasi secara langsung di depan pengunjung, bukan sekadar video yang dimainkan berulang pada skrin.
Namun begitu, MX Series ini adalah kempen crowdfunding pertama mereka, dan menguruskan kempen sebegini adalah kemahiran yang sama sekali berbeza daripada menjual printer di website sendiri. Thread pengguna untuk mesin sedia ada mereka juga ada campuran pujian dan aduan berkaitan after-sales, dan itu berbaloi dibaca kalau support penting bagi anda.
Apa Maknanya Untuk Kita Di Malaysia
Mari kita buat kira-kira sikit. Pada kadar sekitar $1 bersamaan dengan RM4.09, $249 lebih kurang RM1,020 dan $499 lebih kurang RM2,040. Harga ini belum campur kos penghantaran, duti import, dan belum campur SST.
Sebagai perbandingan, Snapmaker U1 dijual di sini pada harga RM3,999 untuk empat toolhead, dan anda boleh order hari ini dan mula mencetak minggu depan.
Jadi di atas kertas, MX Pro separuh harga dengan dua kali ganda toolhead. Sekiranya ia betul-betul sampai seperti yang diumumkan, ini bermakna sebuah mesin enclosed lapan warna kini berada dalam bajet seorang hobbyist di Malaysia yang sebelum ini langsung tidak boleh pertimbangkan mesin sebegini. Itu satu perubahan yang besar, dan saya tidak berniat langsung untuk memadamkan keterujaan anda terhadapnya.
Cuma, saya mahu kita menilai risikonya dengan betul juga:
- Pledge Kickstarter dicaj bila kempen tamat, tidak kira sama ada printer itu sudah siap atau belum
- Kalau ia lambat sampai, atau tidak sampai langsung, susah untuk kita dapat duit kita semula
- Warranty dan RMA untuk mesin crowdfunding yang dihantar dari Hong Kong ke Malaysia bukan pengalaman yang sama seperti beli daripada distributor tempatan
- Kalau satu toolhead rosak pada tahun kedua, siapa yang akan hantar ganti, dan berapa lama ia ambil masa untuk sampai ke Terengganu atau Kota Bharu, misalnya?
Semua ni tak bermakna ia sesuatu yang teruk. Ia cuma bermakna harga sebenar bukan $499. Harga sebenar ialah $499 campur dengan risiko yang anda tanggung sendiri.
Pandangan Saya
Biar saya mulakan dengan apa yang saya betul-betul rasakan tentang mesin ini, kerana bahagian risiko tadi mungkin menenggelamkan perkara ini.
Pada pandangan saya, toolhead tanpa wayar ini adalah hasil kejuruteraan paling menarik yang saya lihat datang daripada sebuah jenama kecil pada tahun ini. Bukan harganya, tetapi kejuruteraannya. Menghapuskan contact elektrik pada sebuah tool yang boleh ditukar ganti adalah jenis idea yang nampak mudah hanya selepas ada orang yang buat dahulu, dan sekiranya ia terbukti berfungsi dengan baik, saya percaya jenama lain dalam kategori ini akan mengikut jejak yang sama. Hakikat bahawa ia datang daripada sebuah jenama yang saya sendiri tidak pernah dengar sebelum ini, bukannya daripada jenama besar, menjadikannya lebih menarik pada pandangan saya.
Mesin di JRRF tu pun memang wujud. Ia sedang mencetak enam warna di atas meja terbuka, di depan pengunjung yang ramai.
Tapi harga yang diumumkan hanyalah nombor marketing sehingga kempen tu berjaya dan unit betul-betul dihantar. Mengagumi sesuatu idea bukanlah perkara yang sama dengan membayarnya lebih awal. Kita semua pernah lihat demo yang nampak hebat tapi tak pernah jadi produk yang boleh dibeli.
Jadi apa pendirian saya tentang deposit $5 tu? Jujurnya, saya memang tertarik, dan saya sedang mempertimbangkannya dengan serius.
Kira-kiranya memang agak sukar untuk disangkal. Lima dolar sahaja, dan menurut terma InfiMech sendiri ia akan dipulangkan sama ada saya menyokong kempen tu atau tidak, berbanding diskaun $50 dan tempat dalam batch penghantaran pertama. Kos sebenar bagi saya hanyalah $5 yang tersangkut sehingga kempen tersebut tamat.
Setakat ini saya belum lagi membayarnya, dan saya nak jelaskan di sini bahawa menempah slot bukanlah perkara yang sama dengan menyokong kempen tersebut. Tapi saya memang sudah hampir, dan sekiranya saya betul-betul buat nanti, saya akan maklumkan di sini.
Untuk back penuh pada $299 atau $549 bila kempen dibuka, itu keputusan yang lebih besar. Benda yang berbaloi ditunggu dulu ialah masa toolchange yang sebenar, ukuran purge waste yang betul-betul ditimbang, dan hasil cetakan daripada unit yang bukan berada dalam lab InfiMech sendiri.
Jadi kalau anda perlukan printer multicolour yang berfungsi bulan ni, beli sesuatu yang memang sudah wujud. Kalau anda boleh tunggu, perhatikan yang ini rapat-rapat, kerana saya sendiri sangat berharap ia menjadi kenyataan.
Apa pun keadaannya, ada pihak yang baru sahaja membuktikan bahawa lapan toolhead tidak semestinya berharga empat angka. Walaupun sekiranya MX ini tersadung nanti, idea itu sudah pun terlepas keluar, dan itu satu perkara yang baik untuk kita semua.
Nak beli pencetak 3D di Malaysia?
Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.
Lihat direktori →Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.





Wanna share your thoughts or request anything? Comment below.