Community

Pemenang Bambu Lab R1 Diumumkan: Ini Faktor Pemilihan Cabaran Bulanan Domechy September 2026

Faktor pemilihan juri Bambu Lab dan tiga perubahan untuk cabaran akan datang.

BM EN
  1. Format Cabaran Berubah Pada Setiap Edisi
  2. Julai: Pemenang Ditentukan Oleh Undian Tertinggi
  3. Ogos: Syarat Undian Diperketatkan
  4. September: Undian Untuk Finalis, Juri Memilih Pemenang
  5. RE:JAR Dipilih Sebagai Pemenang Oleh Juri Bambu Lab
  6. Tempat Kedua dan Ketiga
  7. Cetakan 3D Perlu Menjadi Elemen Utama Projek
  8. Terima Kasih Kepada Semua Peserta
  9. Tiga Perubahan Untuk Cabaran Akan Datang
  10. 1. Ditukar Kepada Cabaran Pencipta Domechy Dengan Tempoh Dua Bulan
  11. 2. Tema Dengan Skala Yang Lebih Konsisten
  12. 3. Dua Kategori Pemenang
  13. Cadangan Daripada Komuniti Amat Dialu-alukan
  14. Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Alhamdulillah, bulan September telah melabuhkan tirainya semalam. Dengan itu, kita kini sudah mempunyai nama-nama pemenang bagi Cabaran Bulanan Domechy September 2026, empat ahli paling aktif bagi bulan September, serta dokumentasi projek pilihan bagi bulan ini.

Sebelum saya kongsikan faktor pemilihan pemenang, saya ingin mengingatkan semula format cabaran ini terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang syak wasangka dan pertikaian.

Format Cabaran Berubah Pada Setiap Edisi

Cabaran Bulanan Domechy baru berusia tiga bulan. Ia bermula buat pertama kalinya pada bulan Julai, diikuti edisi kedua pada bulan Ogos, dan edisi terbaru pada bulan September yang berakhir semalam. Pada setiap edisi, saya mengambil kira pelbagai faktor supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan pada edisi seterusnya.

Julai: Pemenang Ditentukan Oleh Undian Tertinggi

Untuk bulan Julai, pemenang ditentukan oleh jumlah undian tertinggi. Saya tidak meletakkan sebarang syarat undian kerana ini adalah percubaan pertama, jadi saya ingin mengurangkan apa-apa faktor yang boleh menyusahkan proses mengundi.

Ogos: Syarat Undian Diperketatkan

Untuk bulan Ogos, saya mula menambah syarat pada proses undian bagi mengelakkan undian yang tidak adil. Selepas bereksperimen dengan beberapa kaedah, akhirnya kita berjaya mencapai proses undian yang memastikan hanya pemilik emel yang sah boleh mengundi. Sekiranya terdapat faktor yang meragukan, pengundi diminta mencipta akaun Domechy terlebih dahulu sebelum mengundi.

Namun begitu, kami menerima maklum balas bahawa pemenang yang ditentukan oleh undian semata-mata menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peserta. Ini kerana format tersebut membolehkan peserta yang dikenali di media sosial, atau dalam erti kata lain influencer, untuk memenangi cabaran dengan lebih mudah berbanding peserta lain.

September: Undian Untuk Finalis, Juri Memilih Pemenang

Maka, untuk bulan September, Domechy telah meminda peraturan supaya proses undian hanya menentukan lima finalis terakhir. Pemenang kemudiannya dipilih oleh juri dari kalangan lima finalis tersebut.

Juri yang terlibat untuk bulan September pula adalah dari pasukan Bambu Lab HQ sendiri, bukan dari mana-mana pihak tempatan di Malaysia. Oleh itu, boleh saya katakan bahawa juri membuat pemilihan berdasarkan hasil penyertaan semata-mata, dan bukan berdasarkan status peserta, sama ada mereka dikenali atau tidak.

RE:JAR Dipilih Sebagai Pemenang Oleh Juri Bambu Lab

Juri daripada Bambu Lab telah memilih RE:JAR (Upcycled Wireless Charging Lamp) daripada saudara Isyraq, atau lebih dikenali dengan nama Inhaf, sebagai pemenang Cabaran Bulanan September, sekali gus membawa pulang hadiah utama Bambu Lab R1. Berikut adalah komen juri berkenaan projek ini;

“Wonderful idea, and really use 3D print to give a new life into a discarded can; Combining innovation, aesthetics, and functionality.”

Secara ringkasnya, juri memilih RE:JAR kerana idea menggunakan cetakan 3D untuk memberi nafas baharu kepada bekas kaca terpakai, gabungan inovasi, estetika dan fungsi dalam satu projek, serta penyampaian video dan mesej projek yang baik. Meskipun ada penyertaan yang lebih kompleks, namun faktor terbesar yang membezakan projek ini adalah elemen cetakan 3D yang menjadi elemen utama dalam projek, dan bukannya elemen tambahan semata-mata. Dari sudut kreativiti, idea original, dan impak projek tersebut, RE:JAR telah berjaya memenuhi faktor-faktor tersebut.

Selain daripada kualiti projek sendiri, kualiti video juga dipuji oleh juri meskipun tidak menjadi faktor utama pemilihan pemenang.

RE:JAR, lampu wireless charging daripada tin terpakai oleh saudara Isyraq (Inhaf)

Tempat Kedua dan Ketiga

Selain itu, dua lagi projek yang berada di tempat kedua dan ketiga dalam pemilihan juri adalah seperti berikut:

  • Tempat kedua, Seeba-Robot Pengiring: “Leveraging trends in the era of embodied AI, their project empowered university innovations and assisted in the successful realization of technological achievements.”
  • Tempat ketiga, TAP – Tak Ingat No Parent? Tap Je: “Although the design is not overly complex, it effectively addresses a real-world social pain point through 3D printing, offering significant practical value.”
Tempat kedua, Seeba-Robot Pengiring:
Tempat ketiga, TAP – Tak Ingat No Parent? Tap Je daripada saudara Yuslab

Cetakan 3D Perlu Menjadi Elemen Utama Projek

Bagi projek-projek lain pula, juri Bambu Lab memuji hasil kerja yang dihasilkan oleh para peserta. Namun, projek tersebut tidak dipilih dalam tiga terbaik kerana elemen cetakan 3D di dalamnya kelihatan sebagai komponen sokongan yang minimum, bukan sebagai elemen utama projek.

Terima Kasih Kepada Semua Peserta

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang sudi memeriahkan Cabaran Bulanan Domechy. Saya berharap kita semua dapat menikmati cabaran ini, dan kepada yang belum menang, jangan berputus asa. Saya akan terus berusaha menganjurkan cabaran seperti ini dengan pelbagai hadiah menarik pada masa akan datang, supaya lebih ramai peserta berpeluang untuk menang.

Kepada saudara Isyraq, tahniah kerana memenangi dua cabaran bulanan berturut-turut. Kami di Domechy menghargai kesudian saudara Isyraq yang sentiasa memeriahkan aktiviti komuniti di Domechy.

Tiga Perubahan Untuk Cabaran Akan Datang

Saya juga ingin mengumumkan sedikit perubahan pada format cabaran akan datang. Seperti biasa, saya mengambil kira semua pengajaran daripada cabaran-cabaran terdahulu dan cuba menambah baik cabaran seterusnya.

1. Ditukar Kepada Cabaran Pencipta Domechy Dengan Tempoh Dua Bulan

Mulai bulan Oktober, Cabaran Bulanan Domechy akan ditukar kepada Cabaran Pencipta Domechy, dan tempoh setiap cabaran dipanjangkan kepada dua bulan berbanding sebulan sebelum ini. Ini kerana tempoh sebulan terlalu singkat untuk peserta menyiapkan projek, sehingga ramai yang berminat tidak sempat menghantar penyertaan masing-masing. Oleh kerana tempohnya kini dua bulan, cabaran ini tidak lagi sesuai dipanggil sebagai cabaran “bulanan”.

2. Tema Dengan Skala Yang Lebih Konsisten

Tema cabaran bulan September boleh dikatakan terlalu terbuka, sehingga skala penyertaan sangat berbeza antara satu peserta dengan peserta yang lain. Projek berskala kecil seperti lampu, jika dibandingkan dengan projek yang kompleks seperti sistem robot yang canggih, sepatutnya dipertandingkan dalam kategori yang berbeza. Oleh itu, untuk cabaran akan datang, saya akan memilih tema dengan skala yang lebih konsisten bagi setiap peserta.

3. Dua Kategori Pemenang

Cabaran akan datang akan mempunyai dua kategori pemenang. Kategori pertama ialah pemenang utama, yang ditentukan berdasarkan projek yang paling menarik dan paling menepati kriteria juri. Kategori kedua pula ialah projek paling popular, yang akan menerima hadiah sampingan berdasarkan engagement video yang dikongsikan di media sosial.

Cadangan Daripada Komuniti Amat Dialu-alukan

Demikianlah laporan saya bagi Cabaran Bulanan Domechy September 2026. Untuk cabaran akan datang, saya sangat mengalu-alukan sebarang cadangan daripada ahli komuniti, sama ada dari segi tema cabaran, cara pemarkahan, atau apa-apa cadangan yang boleh menambah baik aktiviti di Domechy. Terima kasih.

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.

Comments 9

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.

9 Komen

  1. ENCIK WAN 5 hari lalu

    tahniah! kita cuba lg next time. together we inpire.❤️

    • Ridzwan Normahazan 5 hari lalu

      InsyaAllah, terima kasih tuan kerana terus support!

  2. EERA 5 hari lalu

    Tahniah pemenang bulan ni. Yang lain jom cuba lagi utk bulan Oktober pulak. 👏

  3. nalproto 5 hari lalu

    Terbaik abg Ridzwan and tahniah kepada pemenang bulan September 😁👍🏻

    • Ridzwan Normahazan 4 hari lalu

      terima kasih nal 😄 semoga ramai lagi yang aktif dalam Domechy lepas ni

  4. bettytheprintguy 4 hari lalu

    tapi asyik orang same je menang…

    • Ridzwan Normahazan 4 hari lalu

      Saya faham persepsi tu akan timbul. Tapi kita kena faham,
      1. Komuniti kita belum cukup besar. Kalau saya larang pemenang untuk sertai cabaran bulan seterusnya, maka kurang satu penyertaan yang bakal memeriahkan cabaran ni. Sedangkan kita perlukan penyertaan sebanyak mungkin.
      2. Kalau saya benarkan pemenang lalu sertai cabaran, tapi saya halang dia daripada dipilih pemenang meskipun dia layak, bukankah itu tak adil bagi dia yang turut sama berusaha mcm peserta lain?
      3. Saya memberikan kuasa memilih pemenang di tangan juri dari HQ China yang tak kenal populariti tempatan. Jadi saya percaya keputusan mereka lebih adil dan tak bias. Kalau saya tiba2 menafikan pilihan mereka, bukankah itu bermakna saya melanggar peraturan yang saya sendiri tetapkan?

      Saya tahu keputusan ni tak semua orang suka. Dari pihak Domechy, lebih mudah kalau kami pilih pemenang lain kerana boleh elakkan isu2 atau persepsi yang tak diingini. Tapi kami hormati keputusan yang dah dibuat kerana itu yang dipersetujui pada awal pertandingan.

      Akhir kata daripada saya, mari la join cabaran ni beramai-ramai. Bila ramai join, boleh la saya buat peraturan pemenang bulan sebelumnya tak boleh join cabaran bulan seterusnya. Jadi tak timbul isu pemenang yang sama.

  5. MeistaX 4 hari lalu

    Tahniah semua! alhamdulillah; sy nak berterima kasih pada ‘tuan tanah’ atas usaha sebegini. Hadiah memang mengujakan, namun bagi saya, usaha dalam menaikkan platform ini jadi satu rujukan, perbincangan, mendapatkan idea, ber’Inovasi’ adalah lebih penting dan besar dari nilaian pertandingan itu! Siapa tak nak menang kan!~ InsyaAllah jom cuba lagi! meriahkan inovasi tempatan.

  6. Ajiqnosky 3 hari lalu

    Congrats semua yg participate dlm challenge bulan ni, inshallah dgn adanya platform ni semua innovator dapat share ilmu dan kelebihan masing2

Scroll to Top