Perniagaan 3D Printing Mampu Jana Pendapatan Belasan Ribu Ringgit Dari Rumah

Dalam penulisan komuniti yang lepas, kita dapat lihat individu-individu yang unik dan kreatif membangunkan produk sendiri menggunakan teknologi cetakan 3D. Penulisan kali ini, pihak Domechy ingin menampilkan dua individu secara serentak; sepasang suami isteri yang memanfaatkan teknologi cetakan 3D dalam membangunkan perniagaan kreatif di bawah nama ShaflowStudio.

Shafa Shukri, berumur 31 tahun dan asal dari Alor Setar, Kedah, pertama kali tahu tentang teknologi cetakan 3D daripada suaminya, Mohd Rushidee berumur 33 tahun, yang mula nampak video-video proses dan hasil 3D printing dari luar negara. Teruja melihat kehebatan teknologi ini, suaminya pujuk untuk membeli sebuah mesin pencetak 3D. Asalnya Shafa tidak bersetuju pada awalnya, namun sekarang beliau yang mengambil alih segala cetakan 3D hasil peningkatan permintaan daripada pelanggan.

Shafa sangat teruja bagaimana sebuah gulungan filament boleh terus dijadikan sebuah barangan produk menggunakan mesin pencetak 3D yang mana kebolehan ini tidak wujud lagi pada tahap mampu milik beberapa dekad yang lepas. Beliau juga mencari sumber inspirasi daripada pengguna luar negara dan lihat bagaimana mereka menggunakan cetakan 3D dalam aplikasi kehidupan seharian. Dari situ, beliau mula mendapat idea untuk mereka bentuk produknya tersendiri.

Shafa bersama produk-produk ShaflowStudio

Dari Maker World Ke Produk Tersendiri

Permulaan perjalanannya dalam dunia cetakan 3D bermula dengan Maker World. Laman web Maker World yang penuh dengan pelbagai jenis model 3D membuatkan Shafa rambang mata dan beliau mencetak semua model yang menarik baginya. Setiap barangan yang dicetak dan dikongsikan melalui WhatsApp status dan Instagram pula merambangkan mata pengikutnya. Dari situ orang mula bertanya sama ada beliau menjual barangan yang dicetak ataupun tidak. Permintaan ataupun demand ini memberi idea kepada beliau untuk mencari apa barangan yang disukai orang ramai.

Maka beliau dan suaminya cuba mereka bentuk dan promosikan keychain tersendiri. Dalam proses reka bentuk produk, suaminya menjadi pereka bentuk yang menghasilkan segala idea Shafa dalam bentuk 3D menggunakan aplikasi Fusion 360. Antara produk yang dihasilkan Shafa dan Rushidee adalah Dino Tag, Keychain 3D, Keychain Gemok, dan Display Keychain. Kini, Keychain Gemok menjadi produknya yang paling terkenal di platform Threads.

Produk Dino Tag
Produk Keychain Gemok

Mula dengan penjualan yang sedikit, permintaan meningkat dengan banyak. Antara perkongsian hasil penjualan mereka; tahun 2025 mereka berjaya mencapai hasil penjualan keychain secara keseluruhan sebanyak RM12,000 dalam masa dua bulan. Bulan Jun baru-baru ini, Keychain Gemok paling laris dijual sebanyak 400 unit, mencecah sehingga RM11,000 dalam masa satu bulan sahaja. Kejayaan ini mampu dicapai hasil kerjasama Shafa dan suaminya yang menjadi tulang belakang dan sokongan terkuat beliau. Katanya juga, hasil ini akan digunakan untuk menambah lagi mesin pencetak 3D bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin ramai.

Shafa di ruang kerja ShaflowStudio

Menariknya produk keychain beliau adalah kerana setiap keychain yang dihasilkan adalah khas kepada individu tersebut ataupun highly personalized keychain dengan meletakkan nama individu itu pada keychain. Bagi produk yang dihasilkan untuk kanak-kanak, beliau akan meletakkan nama dan juga nombor telefon ibu bapanya yang menjadi faktor kemudahan dan keselamatan bagi kanak-kanak. Melalui pembentukan produk yang istimewa kepada setiap seorang individu, ini membentuk pengalaman pelanggan yang sangat memuaskan terutamanya kepada pelanggan ibu bapa.

Keychain khas kanak-kanak bersama nama dan nombor telefon ibu bapa

Penghasilan produk mereka menggunakan mesin dari Bambu Lab iaitu X1C (2 unit), P1S, dan H2D. Bahan filament yang digunakan pula ialah PLA, PLA Matte, serta PETG. Aplikasi yang digunakan untuk reka bentuk model 3D pula ialah Fusion 360 dan Tinkercad.

Cabaran Pembangunan Produk Keychain Khas

Secara kasar, Shafa dan suami mengambil masa seminggu hingga dua minggu untuk membangunkan sebuah produk sendiri dari fasa idea ke produk boleh dijual. Setiap produk pula tidak lari dari cabaran yang mesti dilalui. Dalam proses penghasilan produk, beliau perlu menghasilkan prototaip sekitar 3 kali bagi setiap produk berbeza untuk dapatkan saiz dan bentuk yang diingini. Kemudian bagi proses cetakan 3D, beliau akan melalui beberapa kegagalan cetakan terlebih dahulu sebelum mendapat hasil cetakan 3D yang paling optimum. Kadangkala, cetakan 3D sebuah produk melalui banyak kegagalan cetakan.

Contohnya, produk Display Keychain yang mengambil masa 5 jam untuk cetak melalui print failure sebanyak 9 kali sebelum berjaya dicetak dengan baik. Jika dikira proses tersebut, masa kegagalan sahaja bagi cetakan 3D adalah sekitar 45 jam. Walaupun begitu, beliau tidak berputus asa dan meneruskan usaha membangunkan setiap produk sehingga berjaya.

Hasil akhir produk Display Keychain setelah 9 kali gagal

Selepas pembangunan produk, proses pemasaran dan promosi juga memberi cabaran hebat. Pada awalnya, Shafa memasarkan produk-produk beliau di TikTok; walaupun platform ini memberi views yang tinggi, namun penjualan tidak berapa memberangsangkan. Sama juga hasilnya ketika beliau cuba alih kepada Instagram dan pasarkan produk di situ, views tinggi tetapi sales rendah. Selepas usaha membina nama dan branding di platform Threads, barulah beliau mendapat sambutan yang tinggi dalam views dan juga penjualan.

Bagi beliau, Threads merupakan platform yang mudah untuk menjual beli kerana cara posting yang lebih straightforward. Format Threads yang berbentuk penulisan juga merupakan faktor besar dalam menarik perhatian orang ramai melalui ayat atau caption yang mampu menangkap mata pengguna. Walaupun beliau masih meneruskan pemasaran di TikTok dan Instagram, boleh dikatakan 99% atau hampir keseluruhan pelanggannya datang daripada platform Threads.

Senarai Harga Produk ShaflowStudio

ProdukHarga
Keychain GemokRM15 hingga RM50 (bergantung kepada bilangan huruf dan design)
Dino TagRM20
Stand Nama 3DRM28 hingga RM38
Display KeychainRM45 hingga RM80

Setiap pelanggan boleh minta warna dan charms watak kartun kegemaran yang diingini.

Cara Dapatkan Keychain Khas Anda

Layari media sosial ShaflowStudio di Threads, TikTok, dan Instagram untuk ikuti perkembangan produk-produk mereka dan dapatkan keychain khas bagi anda dan anak-anak:

Antara koleksi produk ShaflowStudio

Tulisan ini adalah sebahagian daripada siri Domechy memperkenalkan pencipta dan usahawan tempatan yang menggunakan teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan produk sebenar.

Nak beli pencetak 3D di Malaysia?

Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.

Lihat direktori →

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.

Wanna share your thoughts or request anything? Comment below.

Scroll to Top