Community

Tidak Perlu Tunggu Mahir untuk Mula Mereka Bentuk

Dr. Fattah Farid berkongsi pengalaman menggunakan Shapr3D, dari memperkenalkan reka bentuk kepada anak-anak sehingga membina ilustrasi konfigurasi penyelidikan saintifik.

  1. Bermula tidak semestinya kompleks
  2. Daripada perisian teknikal kepada antara muka yang lebih mesra pengguna
  3. Shapr3D dalam penyelidikan dan penerbitan saintifik
  4. Sesuai juga untuk projek profesional
  5. Bagaimana hendak bermula?
  6. Penutup
  7. Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Shapr3D sebagai langkah awal daripada idea mudah kepada projek penyelidikan profesional.

“Kita tidak perlu bermula dengan sesuatu yang sempurna. Kita hanya perlu berani mencuba.”

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin membangkitkan keinginan untuk mencuba dalam kalangan mereka yang baru mahu mengenali dunia reka bentuk. Pendedahan ini boleh dimulakan untuk diri sendiri sebagai satu kemahiran baharu, atau diperkenalkan kepada anak-anak secara santai dan mengikut tahap umur mereka.

Antara persoalan yang sering timbul ialah: bilakah masa yang sesuai untuk seseorang mula didedahkan kepada proses mereka bentuk? Pada pandangan saya, tiada usia yang terlalu awal atau terlalu lewat untuk bermula. Perkara yang lebih penting ialah bentuk pendedahan itu mestilah sesuai dengan minat, kemampuan dan tahap pemahaman seseorang.

Bermula tidak semestinya kompleks

Ramai orang berasa tertekan sebelum mencuba sesuatu yang baharu kerana mereka terus membayangkan hasil akhir yang besar, rumit dan sempurna. Dalam reka bentuk, tanggapan seperti ini boleh menyebabkan seseorang takut untuk membuka perisian CAD, apatah lagi menghasilkan model pertamanya.

Hakikatnya, kita tidak perlu bermula dengan projek yang rumit. Sebuah bentuk asas, bekas kecil atau pemegang telefon sudah memadai untuk memperkenalkan konsep lakaran, ukuran, bentuk tiga dimensi dan proses penambahbaikan.

Daripada perisian teknikal kepada antara muka yang lebih mesra pengguna

Saya mula didedahkan kepada reka bentuk berbantu komputer atau computer-aided design (CAD) pada tahun pertama pengajian ijazah sarjana muda melalui BricsCAD, CATIA dan SolidWorks. Perisian tersebut sangat baik dan mempunyai peranan penting dalam pelbagai bidang kejuruteraan serta industri. Namun, setiap satunya mempunyai aliran kerja, fungsi dan tahap penguasaan yang tersendiri.

Bagi pengguna baharu, jumlah fungsi yang banyak dan antara muka yang teknikal kadangkala boleh kelihatan menakutkan. Pada masa kini, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan perisian dengan pendekatan yang lebih intuitif. Salah satu perisian yang paling kerap saya gunakan ialah Shapr3D kerana proses pembelajarannya lebih mudah dan membolehkan idea awal diterjemahkan kepada model tiga dimensi dengan cepat.

Tutorial asas yang ringkas sudah mencukupi untuk seseorang mula melakar, membina bentuk dan memahami ruang tiga dimensi. Anak-anak saya yang berumur empat dan lima tahun juga telah mula diperkenalkan kepada perisian ini secara santai. Pendedahan mereka bukanlah latihan teknikal yang formal, tetapi aktiviti mudah seperti mengenal bentuk, memusingkan model dan melihat lakaran berubah menjadi objek tiga dimensi. Pengalaman seperti ini boleh membantu memupuk imaginasi, koordinasi visual dan rasa ingin tahu.

Shapr3D dalam penyelidikan dan penerbitan saintifik

Bagi saya, Shapr3D bukan sekadar alat untuk menghasilkan model asas. Saya menggunakannya untuk membangunkan ilustrasi tiga dimensi bagi beberapa konfigurasi eksperimen penyelidikan yang kemudiannya digunakan dalam penerbitan jurnal antarabangsa.

Antara kajian tersebut ialah:

  • Nasir, A. F. F., Abe, Y., & Kakuta, N. (2026). Near-infrared imaging of buoyancy plumes in diluted ionic solutions during electrodeposition on electrode surfaces. Measurement Science and Technology, 37(7), 75301. https://doi.org/10.1088/1361-6501/ae3fb4
  • Farid Nasir, A. F., Abe, Y., & Kakuta, N. (2025). Near-Infrared Microscopic Imaging of Electrolyte Flow Dynamics during Uniform Electrodeposition. Journal of Advanced Research in Micro and Nano Engineering, 37(1), 128–139. https://doi.org/10.37934/armne.37.1.128139

Melalui model tiga dimensi, kedudukan kamera, kanta, sumber cahaya, pemegang sampel, pentas optik dan komponen mekanikal dapat divisualisasikan sebelum pemasangan sebenar dilakukan. Proses ini membantu saya menilai susunan sistem, ruang pemasangan, arah laluan cahaya dan hubungan antara setiap komponen dengan lebih tersusun.

Ilustrasi tiga dimensi juga memudahkan komunikasi. Dalam penerbitan saintifik, pembaca dapat memahami konfigurasi eksperimen dengan lebih cepat berbanding penerangan teks semata-mata. Dalam pasukan projek pula, model yang sama boleh digunakan untuk perbincangan, semakan reka bentuk dan perancangan pemasangan.

Rajah 1. Ilustrasi tiga dimensi konfigurasi pengimejan inframerah dekat bagi kajian aliran keapungan dalam larutan ion semasa proses elektropemendapan. Ilustrasi dibangunkan oleh penulis menggunakan Shapr3D.
Rajah 2. Ilustrasi konfigurasi sistem pengimejan mikroskopik inframerah dekat untuk sistem pengukuran aras glukosa darah secara tidak invasif. Ilustrasi dibangunkan oleh penulis menggunakan Shapr3D.

Sesuai juga untuk projek profesional

Pengalaman ini menunjukkan bahawa perisian yang mudah digunakan tidak semestinya terhad kepada aktiviti asas atau pembelajaran kanak-kanak. Shapr3D juga boleh digunakan dalam penyelidikan, pembangunan konsep, reka bentuk komponen, komunikasi teknikal dan penyediaan prototaip untuk projek profesional.

Salah satu projek terbaharu saya ialah pembangunan awal sistem pengukuran glukosa darah secara bukan invasif. Reka bentuk konfigurasi sistem tersebut dibina menggunakan Shapr3D. Walaupun reka bentuknya masih melalui proses penambahbaikan dan belum dimuktamadkan, model tiga dimensi membantu saya menyusun komponen, menilai ruang serta mengubah konfigurasi dengan lebih pantas.

Dalam projek profesional, perisian yang paling sesuai bukan semestinya perisian yang paling kompleks. Pemilihan alat perlu berdasarkan tujuan projek, tahap perincian yang diperlukan, tempoh pembangunan dan cara reka bentuk tersebut akan dikomunikasikan kepada orang lain. Bagi pembangunan konsep dan konfigurasi eksperimen, antara muka Shapr3D yang ringkas membantu saya menumpukan perhatian kepada penyelesaian reka bentuk, bukannya bergelut terlalu lama dengan perisian.

Bagaimana hendak bermula?

Mulakan dengan sesuatu yang dekat dengan kehidupan harian. Pilih satu masalah kecil, hasilkan bentuk pertama dan perbaikilah sedikit demi sedikit. Antara projek permulaan yang boleh dicuba ialah:

  • pemegang telefon atau tablet
  • bekas alat tulis atau komponen kecil
  • penyangkut, penyambung atau klip ringkas
  • alat permainan berasaskan bentuk geometri
  • susun atur bilik, meja kerja atau ruang projek
  • komponen mudah yang boleh dicetak menggunakan pencetak 3D

Tidak mengapa sekiranya reka bentuk pertama kelihatan terlalu mudah. Setiap percubaan mengajar kita sesuatu tentang ukuran, bentuk, fungsi dan cara menyelesaikan masalah. Apabila rasa ingin tahu terus diasah, kemahiran akan berkembang secara semula jadi.

Penutup

Sungguh sayang sekiranya kita tidak memanfaatkan kemudahan teknologi yang tersedia pada hari ini. Perisian reka bentuk kini semakin mudah dipelajari dan tidak lagi terhad kepada jurutera atau pereka profesional semata-mata. Ia boleh menjadi alat untuk belajar, bermain, membina keyakinan dan menukarkan idea kepada sesuatu yang boleh dilihat.

Kita tidak perlu menunggu sehingga benar-benar mahir untuk bermula. Mulakan dengan satu bentuk yang mudah, perbaiki sedikit demi sedikit dan biarkan rasa ingin tahu membawa kita lebih jauh.

“Reka bentuk yang baik tidak semestinya bermula dengan perisian yang paling rumit. Ia bermula dengan idea yang jelas dan keberanian untuk mencubanya.”

Dr. Fattah Farid

Tentang Penulis

Dr. Fattah ialah seorang penyelidik yang berkhidmat sebagai pembantu profesor di Tokyo Metropolitan Universiti, Jepun. Bidang beliau merangkumi kejuruteraan haba dan bendalir, sistem pengimejan inframerah dekat, pemprosesan imej, reka bentuk eksperimen serta pendidikan STEAM untuk komuniti anak-anak Jepun.

Nak beli pencetak 3D di Malaysia?

Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.

Lihat direktori →

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.

Komen 0

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.

Scroll to Top