Apabila Snapmaker mengumumkan U1 dengan empat toolhead berasingan, saya jadi tertarik untuk mencubanya.
Selama bertahun-tahun, kebanyakan 3D printer pelbagai warna di pasaran bergantung kepada satu nozzle sahaja. Konsep ini memang berfungsi, tapi ia datang dengan dua kelemahan besar. Masa cetakan yang lama, dan purge waste yang banyak setiap kali printer menukar warna.
Snapmaker U1 pula mengambil pendekatan yang berbeza. Setiap filament diberikan printhead khasnya sendiri, bukannya semua filament melalui satu nozzle yang sama. Di atas kertas, pendekatan ini kedengaran jauh lebih baik.
Sekiranya anda berminat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang printer jenis toolchanger dan kenapa ia semakin banyak muncul di pasaran, saya pernah menulis satu artikel tentangnya di sini.
Jadi selepas menggunakan printer ini selama beberapa minggu, saya nak jawab satu soalan mudah. Adakah sistem empat toolhead ini benar-benar menyelesaikan masalah terbesar dalam cetakan pelbagai warna?
Nota: Unit U1 ini dihantar oleh Snapmaker kepada saya secara percuma untuk tujuan review. Saya tidak dibayar untuk menulis artikel ini, dan mereka hanya meminta saya kongsikan pengalaman sebenar saya dengan printer ini.
Artikel ini bukan ulasan penuh jangka panjang, tetapi pandangan awal saya selepas beberapa minggu menggunakan U1.
Spesifikasi Asas
| Spesifikasi | Butiran |
|---|---|
| Harga | RM3,999 (harga semasa artikel ini ditulis) |
| Jenis Printer | FDM, CoreXY |
| Build Volume | 270 × 270 × 270 mm |
| Kelajuan Maksimum | 500 mm/s |
| Sistem Pelbagai Warna | 4 toolhead berasingan (SnapSwap) |
| Masa Tukar Toolhead | Lebih kurang 5 saat |
| Suhu Maksimum Nozzle | 300°C |
| Suhu Maksimum Heated Bed | 100°C |
| Diameter Filament | 1.75 mm |
Unboxing dan Built Quality
Pengalaman unboxing dan setup bagi saya sederhana. Tidaklah susah, tapi bukan plug and play juga. Snapmaker ada menyediakan video panduan pemasangan, jadi anda hanya perlu ikut langkah yang ditunjukkan dan printer sedia untuk digunakan.

Dari segi rekaan pula, saya suka dengan gayanya. U1 nampak cantik seperti produk consumer yang lain, contohnya komputer atau telefon, bukannya mesin industri. Ia jelas melalui proses product design yang teliti, di mana setiap bahagian nampak kemas dan bersepadu. Berbeza dengan sesetengah printer yang lebih terasa seperti projek DIY, di mana mekanisme hanya dipasang terus pada aluminium extrusion tanpa banyak pertimbangan rupa.

Saya juga suka susunan lead screw yang diletakkan di bahagian sisi, bukannya di belakang. Ia lebih mudah dicapai untuk kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Namun begitu, ada beberapa bahagian yang saya rasa boleh diperbaiki.
Built quality terasa agak murah di sesetengah bahagian, terutamanya bahagian atas. Plastiknya mudah bergoyang, dan sekiranya anda tersilap cuba mengangkat printer ini menggunakan plat plastik di atas, ia boleh patah dengan mudah.
Bahagian dalam printer juga terasa agak sempit. Semasa saya menarik keluar bed untuk menanggalkannya, mudah untuk terlanggar side cover, jadi ada risiko plastik tersebut tercalar.
Satu lagi perkara yang saya kurang suka ialah kedudukan USB port di bahagian belakang. Sebagai seseorang yang mempunyai banyak printer yang disusun rapat antara satu sama lain, ruang untuk mencapai bahagian belakang printer sangat terhad. Berbanding jenama lain yang meletakkan USB port di hadapan, saya rasa ini bukan langkah yang baik.

Semua perkara ini tidak menjejaskan kualiti cetakan, tapi ia patut anda tahu sebelum membeli. Secara keseluruhannya, saya tetap suka dengan rekaan U1 ini.
Kualiti Cetakan
Biar saya jelaskan perkara ini dahulu. Kualiti cetakan U1 sangat baik.
Sepanjang ujian saya, saya mencetak pelbagai jenis model, daripada functional part dengan teks timbul sehinggalah figura hiasan pelbagai warna. Permukaan cetakan konsisten dan kemas, detail tajam, dan ketepatan dimensi adalah seperti yang saya jangkakan daripada sebuah FDM printer moden.

Satu perkara yang buat saya kagum ialah pemisahan warna.
Oleh kerana setiap filament ada nozzle khasnya sendiri, kurang risiko untuk sisa filament daripada warna sebelumnya mencemari warna seterusnya. Ini adalah salah satu kompromi yang sistem single nozzle terpaksa uruskan melalui proses purging.

Untuk menguji perkara ini, saya mencetak satu figura Spider-Man. Bahagian matanya berwarna putih, dikelilingi warna merah dan hitam pada mask Spider-Man tersebut. Inilah kawasan yang paling berisiko untuk pencemaran warna pada sistem single nozzle. Hasilnya, mata tersebut kekal putih bersih tanpa sebarang kesan warna lain, malah detail sekecil logo Nike pada kasutnya pun tercetak dengan jelas.

Untuk sebuah FDM printer, saya sangat berpuas hati dengan kualiti cetakan U1 secara keseluruhannya.
Ujian Paling Penting: Empat Toolhead vs Single Nozzle
Tapi sebenarnya, kelebihan terbesar U1 bukanlah kualiti cetakannya.
Kelebihan terbesarnya ialah cara ia mengendalikan cetakan pelbagai warna.
Untuk menilai perkara ini, saya mencetak model empat warna yang sama menggunakan dua pendekatan berbeza:
- Snapmaker U1 dengan empat toolhead khasnya
- Printer pelbagai warna konvensional yang menggunakan single nozzle
Perbezaannya sangat ketara.
Snapmaker U1 menyiapkan cetakan tersebut dalam masa lebih kurang 3 jam 30 minit. Printer single nozzle pula mengambil masa lebih daripada 11 jam untuk model yang sama.

Dari segi kualiti pula, kedua-dua cetakan berada pada tahap yang sama, dengan satu pengecualian kecil. Model yang saya gunakan ialah teddy bear, dan pada cetakan U1, ada satu titik hitam muncul di pipi teddy bear tersebut yang sepatutnya tidak ada. Itu sahaja kecacatan yang saya jumpa pada hasil cetakan itu. Oleh kerana saya banyak memuji kualiti cetakan sepanjang review ini, saya rasa adil untuk saya nyatakan perkara ini.

Jumlah purge waste juga jauh berbeza. Saya belum timbang berat purge waste untuk setiap ujian, tapi dengan mata kasar sahaja pun, kita sudah boleh nilai perbezaannya.


Di sinilah U1 menunjukkan nilai sebenarnya. Sekiranya anda kerap mencetak model pelbagai warna, penjimatan masa dan filament sebesar ini menjadikan cetakan pelbagai warna jauh lebih praktikal berbanding sistem single nozzle konvensional.
Mencetak Banyak Part Dalam Satu Job
Saya juga cuba memenuhkan satu build plate dengan beberapa part pelbagai warna yang berbeza bentuk dan saiz.
Satu model tertanggal semasa proses cetakan kerana saya terlupa untuk membersihkan build plate terlebih dahulu. Yang itu memang salah saya sepenuhnya.
Apa yang buat saya kagum, model-model yang lain terus dicetak dengan hampir sempurna walaupun ada satu part yang sudah bertukar menjadi spaghetti di sebelahnya. Part yang siap menunjukkan permukaan yang kemas, teks yang tajam, dan kualiti yang konsisten di seluruh build plate.


Cetakan Satu Warna
Oleh kerana kebanyakan cetakan masih lagi satu warna, saya juga ingin melihat prestasi U1 tanpa kelebihan empat toolheadnya.
Saya mencetak model yang sama menggunakan U1 dan sebuah lagi printer moden. U1 siap dalam masa lebih kurang 32 minit, manakala printer perbandingan mengambil masa sekitar 28 minit.
Kebanyakan perbezaan masa ini datang daripada proses kalibrasi. Oleh kerana U1 mempunyai empat toolhead, ia mengambil masa yang lebih lama untuk persediaan sebelum setiap cetakan. Dalam penggunaan biasa, kalibrasi tidak semestinya perlu dibuat setiap kali, jadi jangan anggap ini sebagai perbandingan kelajuan yang mutlak.
Daripada ujian saya, kekuatan U1 jelas terletak pada cetakan pelbagai warna, bukannya menjadi pilihan terpantas untuk cetakan satu warna yang mudah.
Pengalaman Software
Secara keseluruhannya, pengalaman saya dengan Snapmaker Orca boleh dikatakan memuaskan. Ia lebih baik berbanding sesetengah alternatif lain, tapi belum boleh dianggap yang terbaik.
Semasa ujian, saya perasan satu isu pada workflow. Walaupun printer sudah tahu filament mana yang dipasang, saya masih perlu tetapkan filament tersebut secara manual di dalam slicer. Ia terasa seperti satu langkah tambahan yang tidak perlu.
Namun sewaktu saya menulis review ini, Snapmaker sudah pun mengeluarkan update yang membolehkan filament yang dipasang disync secara automatik. Oleh kerana isu ini sudah diselesaikan, saya tidak lagi menganggapnya sebagai satu kelemahan.
Satu isu kecil masih ada. Beberapa orang daripada penonton saya menyatakan bahawa sesetengah ikon pada printer ini berbeza daripada apa yang biasa digunakan oleh jenama 3D printer lain. Ia bukan masalah fungsi, tapi bagi pengguna yang datang daripada ekosistem lain, mungkin anda akan berhenti sekejap untuk fikir ikon mana yang buat apa. Perkara kecil, tapi ia tetap memberi kesan kepada pengalaman penggunaan secara keseluruhan.
Bagaimana Dengan Kekurangannya?
Sewaktu mula menulis review ini, saya memang berhasrat untuk menimbang kelebihan dan kekurangan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Masalahnya, selain isu built quality yang saya sebutkan tadi, tidak banyak kekurangan lain yang boleh saya laporkan setakat ini.
Satu perkara yang saya perasan ialah support yang dicetak menggunakan default setting agak sukar untuk ditanggalkan.
Bagi pengguna berpengalaman, ini bukan masalah besar kerana anda boleh laraskan tetapan tersebut dengan mudah di dalam slicer. Tapi sekiranya anda seorang beginner yang bergantung sepenuhnya kepada default setting, mungkin anda akan menghadapi sedikit kesukaran.
Saya tidak jumpa pengguna lain yang mengadu tentang perkara ini, jadi saya tidak pasti sama ada ia hanya berlaku pada unit dan model saya, atau pengguna lain rasa ia tidak cukup penting untuk disebut. Anggaplah ini sebagai pemerhatian peribadi saya, bukan kelemahan yang disahkan.
Perkara Yang Belum Saya Uji
Oleh kerana saya baru menggunakan printer ini selama beberapa minggu, masih ada beberapa perkara yang saya tidak boleh berikan kesimpulan yang adil.
Yang paling besar ialah kebolehpercayaan jangka panjang. Saya tidak tahu sama ada printer ini akan kekal berprestasi baik selepas setahun dua penggunaan biasa.
Saya juga belum pernah menghadapi nozzle tersumbat atau prosedur penyelenggaraan besar, jadi saya tidak boleh komen sama ada ia mudah atau sukar.
Perkara-perkara ini akan saya sentuh semula dalam review jangka panjang pada masa akan datang.
Maklum Balas Komuniti Yang Perlu Disebut
Walaupun saya sendiri tidak menghadapi isu-isu ini, saya rasa adil untuk saya kongsikan maklum balas daripada pengguna U1 yang lain.
Ada pengguna melaporkan bahawa proses membersihkan nozzle tersumbat boleh menjadi lebih rumit berbanding printer konvensional, dan panduan penyelenggaraan masih boleh diperbaiki. Ada juga yang menyatakan mereka menghadapi masalah semasa mencetak PETG.
Saya belum sahkan laporan-laporan ini sendiri, jadi saya tidak boleh katakan sama ada ia masalah yang meluas atau kes terpencil. Saya cuma rasa anda patut tahu tentangnya, bukan hanya bergantung kepada pengalaman saya seorang.
Siapa Yang Sesuai Beli Snapmaker U1?
Biar saya jelaskan tentang satu kumpulan dahulu. Printer ini jelas bukan untuk beginner.
Mekanisme empat toolhead jauh lebih kompleks berbanding printer single nozzle biasa. Lebih kompleks bermaksud lebih tinggi risiko sesuatu berlaku, dan apabila ia berlaku, ia lebih sukar untuk dibaiki. Ia bukan sesuatu yang seorang beginner boleh uruskan dengan mudah. Sekiranya ini 3D printer pertama anda, saya tetap sarankan anda mulakan dengan printer single nozzle.
Sekiranya anda kebanyakannya mencetak functional part satu warna, terdapat banyak printer lain yang sangat bagus di pasaran, dan kelebihan utama U1 ini tidak akan banyak membantu anda.
Tapi sekiranya anda sudah ada sedikit pengalaman dan kerap membuat cetakan pelbagai warna, di sinilah U1 bersinar. Sistem empat toolhead ini menyelesaikan dua masalah terbesar cetakan pelbagai warna, iaitu masa dan pembaziran filament, dan dalam ujian saya, ia berjaya membuktikannya untuk kedua-duanya.
Kesimpulan
Selepas beberapa minggu ujian, pandangan awal saya terhadap Snapmaker U1 sangat positif.
Pencapaian terbesarnya bukan sekadar menghasilkan cetakan yang cantik. Ia menjadikan cetakan pelbagai warna jauh lebih praktikal. Berbanding sistem single nozzle konvensional, ia mengurangkan masa cetakan dan purge waste dengan sangat ketara sambil mengekalkan kualiti cetakan yang sangat baik.
Pada masa yang sama, saya sengaja tidak membuat sebarang kesimpulan tentang kebolehpercayaan jangka panjang, kerana tempoh saya memiliki printer ini masih belum cukup lama untuk membuat dakwaan seperti itu. Saya akan terus menggunakannya dalam beberapa bulan akan datang dan akan update review ini sekiranya pengalaman saya berubah.
Sekiranya anda ingin tahu di mana untuk membeli 3D printer di Malaysia, boleh rujuk senarai kedai 3D printer yang saya susun di Domechy.
Nak beli pencetak 3D di Malaysia?
Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.
Lihat direktori →Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.





Wanna share your thoughts or request anything? Comment below.