Beberapa bulan kebelakangan ini, saya banyak menulis berkenaan teknologi toolchanger. Saya ada kongsikan review Snapmaker U1 selepas menggunakan pencetak 3D empat toolhead berkenaan selama beberapa minggu, saya menulis berkenaan harga InfiMech pada US$249 selepas melihat sendiri mesin mereka di JRRF, dan saya sediakan satu artikel overview kenapa toolchanger tiba-tiba menjadi trend.
Jadi apabila Sovol melancarkan M1D di Kickstarter, ia cukup menarik perhatian saya untuk mengikuti perkembangannya.
Namun begitu, jujur saya katakan saya tidak menyangka kutipan kempen tersebut akan sampai ke tahap ini.

Angka Yang Mengejutkan
Menurut Sovol, kempen ini telah berjaya mencapai:
- US$1 juta dalam masa 13 minit
- US$2 juta dalam masa lebih kurang dua jam
- Lebih US$3 juta dalam masa 60 jam
Sasaran asal kempen Kickstarter ini hanyalah lebih kurang US$191,000. Ini bermakna mereka telah melepasi sasaran tersebut sebelum kebanyakan kita di Malaysia sempat bangun tidur untuk baca berita berkenaannya. Semasa saya menulis artikel ni, kempen tersebut sudah melebihi US$2.7 juta dalam pledge yang disahkan, daripada lebih 1,700 backer, dan masih ada beberapa minggu lagi sebelum kempen ini tamat.
Tahun lalu, Snapmaker U1 berjaya mengumpul US$7.8 juta pada hari pertama, dan tamat dengan lebih US$20 juta daripada lebih 20,000 backer. Itu masih rekod projek printer 3D paling berjaya di Kickstarter sampai sekarang. Adakah M1D boleh memecahkan rekod tersebut?
Apa Sebenarnya Kickstarter Ini?
Mungkin ramai antara pembaca Domechy tidak mengetahui apakah itu kempen Kickstarter.
Ringkasnya, Kickstarter adalah platform crowdfunding. Sesebuah syarikat boleh mengemukakan satu idea, tetapkan sasaran dana, dan minta orang ramai bayar dahulu supaya syarikat berkenaan boleh mengumpul modal bagi menghasilkan produk sebenar daripada idea tersebut. Orang yang memberikan duit itu dipanggil backer, bukan pelanggan. Sebagai balasan, biasanya backer tersebut akan mendapat salah satu daripada unit terawal pada harga diskaun.
Sekiranya kempen itu gagal mencapai sasaran sebelum tarikh tamat, tiada siapa akan dicaj dan projek berkenaan tidak akan diteruskan. Sebaliknya sekiranya kempen tersebut berjaya mencapai sasaran, kad backer akan dicaj di saat kempen telah tamat, tak kira sama ada printer tu telah siap atau belum.
Inilah bahagian yang ramai orang mungkin terlepas pandang. Kickstarter sendiri menyatakan dengan jelas di laman mereka, menyokong satu projek tidak sama seperti beli barang di kedai. Tarikh penghantaran yang dinyatakan hanyalah anggaran, ganjaran pula tidak dijamin. Sekiranya syarikat tu menghadapi masalah, sukar sekali untuk dapatkan semula duit yang telah dicaj.
Tapi untuk berlaku adil kepada Sovol, M1D ni nampak jauh lebih maju berbanding kebanyakan kempen lain. Telah wujud unit pra-produksi sebenar yang menunjukkan bahawa produk tersebut telah berfungsi, dan Sovol bukan startup baru dengan gambar render dan booth sewaan. Mereka dah lama menjual printer berasaskan Klipper seperti SV06 dan SV08, dan jenama mereka juga telah mempunyai pengguna yang agak ramai.
Tapi ia tidak mengubah hakikat bahawa backer tetap perlu membayar berbulan-bulan sebelum mesin itu wujud lagi, jadi sila ambil kira risiko sebaiknya sebelum membuat keputusan jika anda ingin terlibat dalam kempen ini.
Apa Keunikan M1D Yang Manarik Minat Ramai?
M1D adalah printer FDM bersaiz agak besar dengan build volume 300 x 300 x 350 mm, dan ia mempunyai ciri baru yang belum pernah ada dalam printer untuk consumer sebelum ini.
M1D menggabungkan dua sistem yang selalunya hadir berasingan:
- IDEX, iaitu dua carriage cetakan yang bergerak secara berasingan
- Tool changer automatik, di mana printer tukar sendiri toolhead cetakannya
Selama ini, pembeli perlu memilih salah satu daripada dua ciri berkenaan. Printer IDEX seperti Sovol SV04 telah lama hadir dengan dua toolhead yang boleh beroperasi berasingan. Toolchanger seperti Snapmaker U1 atau Prusa INDX pula memberikan anda banyak toolhead, tapi hanya dengan satu carriage sahaja yang berfungsi pada satu masa.
M1D pula menggabungkan kedua-duanya sekali. Satu carriage ada toolhead tetap, manakala carriage yang satu lagi pula boleh memilih secara automatik enam toolhead yang tersedia dalam rack mesin tersebut. Jadi jumlah dalam satu mesin adalah tujuh toolhead, dan dua daripadanya boleh beroperasi serentak.

Sovol mendakwa bahawa M1D adalah mesin pertama yang menggabungkan kedua-dua idea ni dalam satu printer.
Ia Bukan Sekadar “Tujuh Warna”
Kebanyakan printer pelbagai warna sekarang menolak semua filament melalui satu nozzle sahaja. Untuk menukar warna, printer akan tarik keluar satu filament, tolak masuk filament yang baru, dan bilas keluar bahan lama daripada nozzle tersebut melalui proses yang dipanggil purging. Seperti yang saya katakan sebelum ini, sistem ini berfungsi dan mencapai objektifnya. Tapi setiap kali tukar warna, ada filament yang dibuang, dan pada model yang kompleks, anda akan dapati pembaziran filament yang dihasilkan sangat banyak.
Apabila saya menguji U1 dan bandingkannya dengan printer satu nozzle untuk mencetak model yang sama, perbezaan dari segi pembaziran tu jelas ketara, iaitu U1 lebih pantas tiga kali ganda berbanding printer satu nozzle. Kita perlu ingat bahawa U1 hadir dengan 4 toolhead, manakala M1D ini pula hadir dengan 7 toolhead.
Sovol mendakwa hampir tiada purge dihasilkan dan masa tukar toolhead pula hanyalah lebih kurang lima saat. Toolhead yang diparkir kekal panas semasa menunggu, jadi toolhead seterusnya sudah berada pada suhu yang diperlukan apabila ia perlu digunakan.
Tapi saya ingin tegaskan di sini, “hampir tiada pembaziran purge” adalah dakwaan Sovol, bukan angka yang diukur oleh mana-mana pihak bebas. Selalunya, tetap akan ada sedikit bahan yang terbuang untuk priming dan pembersihan nozzle, bergantung kepada model dan setting slicer anda, tapi ia pasti jauh lebih sedikit berbanding mesin satu nozzle. Tapi sama ada ia lebih baik daripada U1 atau INDX, kita perlu nantikan ada pihak yang membuat review sebenar terlebih dahulu.
Sudut Multi-Material Yang Penting Untuk Diutarakan
Tujuh toolhead berasingan dalam satu mesin bermaksud ia boleh mengendali tujuh bahan berbeza, bukan sekadar tujuh warna. Hal ini membuka pintu kepada banyak perkara yang printer satu nozzle tidak dapat buat dengan baik, iaitu
- Material keras dicetak bersama TPU
- PLA atau PETG dengan support material soluble yang betul
- Diameter nozzle berbeza dalam satu kerja, nozzle besar untuk infill, nozzle halus untuk detail
- Filament konduktif atau khas digabungkan dengan plastik biasa
- Material support-interface khusus supaya support senang tanggal
Sebagai seseorang yang banyak membuat rekabentuk praktikal dan mekanikal dalam kerja seharian, kelebihan ini jauh lebih menarik berbanding kemampuan untuk mencetak naga tujuh warna. Prototaip berfungsi, jig, atau kit untuk mengajar. Mungkin di sinilah terletaknya nilai sebenar M1D ini.

Mod Copy Dan Mirror
Ini adalah kelebihan yang hadir bersama sistem IDEX yang tidak ada pada toolchanger biasa.
Oleh kerana kedua-dua carriage bergerak pada masa yang sama, M1D boleh menjalankan mod copy, di mana dua toolhead cetak dua bahagian yang sama serentak. Jika anda berniaga bahan cetakan 3D dengan kuantiti yang banyak untuk reka bentuk yang sama, fungsi ini hampir seperti ada printer kedua untuk batch kecil.
Mod mirror pula melakukan perkara yang sama, tapi songsangkan satu bahagian, jadi anda dapat bracket kiri dan kanan dalam satu kerja yang sama.
Namun begitu ia hadir dengan satu kelemahan yang ketara. Kedua-dua mod ni akan membahagikan build plate antara dua toolhead, jadi kita akan kehilangan ruang cetakan.
Spesifikasi
| Spesifikasi | Angka Daripada Sovol |
|---|---|
| Build volume | 300 x 300 x 350 mm |
| Toolhead | 1 tetap + 6 boleh tukar |
| Masa tukar toolhead | Lebih kurang 5 saat |
| Kelajuan maksimum (dakwaan) | 600 mm/s |
| Pecutan maksimum | 10,000 mm/s2 |
| Sistem filament | 6-channel, auto loading |
| Bed levelling | Eddy current, automatik |
| Kalibrasi XY | Dibantu kamera |
| Skrin | Touchscreen 5 inci |
| Firmware dan slicer | Berasaskan Klipper, OrcaSlicer |
| Mod | Single, multi-material, copy, mirror |
Sistem filament ini juga ada pengesanan runout, clog dan tangle, sesuatu yang pada mesin kompleks seperti ini adalah satu keperluan, bukan sekadar ‘nice to have’.
Satu nota berkenaan angka 600 mm/s yang dinyatakan, ia adalah sesuatu yang sistem pergerakan boleh capai dalam keadaan ideal, tidak semestinya menjanjikan apa yang kita akan nampak pada cetakan sebenar. Kelajuan sebenar masih bergantung kepada bahan, saiz nozzle, kelajuan hotend cairkan plastik, dan bentuk model anda.
Dua Versi dan Harganya
| Versi | Super Early Bird | Dengan reservation VIP US$20 | Anggaran Dalam Ringgit |
|---|---|---|---|
| M1D Essential (open frame) | US$1,299 | US$1,199 | anggaran RM4,900 hingga RM5,300 |
| M1D Advanced (enclosed) | US$1,599 | US$1,499 | anggaran RM6,100 hingga RM6,500 |
Versi Advanced tambah enclosure penuh dan chamber heating aktif sehingga 60 darjah Celsius. Itulah versi yang diperlukan jika ingin mendetak ABS, ASA, nylon atau polycarbonate, kerana bahan-bahan berkenaan senang mengalami masalah warping dalam sistem terbuka.
Tempahan VIP US$20 berfungsi seperti deposit InfiMech yang saya tulis minggu lepas. Anda bayar US$20 sebelum kempen bermula, dan anda dapat diskaun US$100, satu plat PEI tambahan, penghantaran yang diutamakan dan akses awal. Logik yang sama namun angka yang lebih besar. Maka semak sebaik mungkin jika anda berminat.
Jika anda berminat untuk melihat terma dan harga terkini, boleh lihat halaman kempen M1D di Kickstarter untuk melihat maklumat terus daripada Sovol sendiri.
Untuk jadikan perbandingan, Snapmaker U1 dijual di Malaysia pada harga RM3,999 untuk empat toolhead, dan ia adalah printer yang boleh dibeli terus di kedai hari ini.
Untuk M1D pula, penghantaran dianggarkan bermula pada November 2026. Namun seperti yang saya jelaskan tadi, ia adalah anggaran semata-mata.
Apa Kata Komuniti
Reaksi komuniti yang saya perhatikan terbahagi kepada dua.
Keterujaan orang ramai sudah tentu terletak kepada gabungan IDEX dan toolchanger itu sendiri. Toolhead berasingan telah terbukti mampu mengatasi masalah pembaziran yang terhasil daripada purged filament. Gabung pula dengan dua carriage berasingan, ia memberikan satu ciri yang tiada orang pernah lihat sebelum ini. Maka tidak hairanlah ramai pihak yang ternanti-nantikan printer ini menjadi realiti.
Pilihan Klipper dan OrcaSlicer juga memberikan Sovol prestasi yang baik. SV08 mereka bina reputasi kukuh dalam kalangan komuniti yang inginkan mesin yang boleh diubahsuai dan dibaiki sendiri, tanpa perlu minta izin daripada ekosistem tertutup.
Namun begitu, kebimbangan yang dinyatakan juga sama kuat.
Kebimbangan yang pertama ialah kerumitan, dan ini kebimbangan yang sama saya sebut di penghujung review U1 saya. Sistem motion IDEX, mekanisme docking enam toolhead, kamera, kalibrasi automatik dan feeder enam-channel adalah banyak faktor untuk berlaku kerosakan atau masalah. Empat toolhead pun sudah cukup untuk membuat saya risau berkenaan reliability jangka panjang. Ini pula tujuh, pada dua carriage yang bergerak.
Yang kedua pula ialah kekurangan review daripada pihak bebas. Ramai yang perasan hampir tiada review yang tersedia semasa kempen dibuka, jadi ini menimbulkan kerisauan dalam sesetengah pihak.
Yang ketiga ialah rekod Sovol. Hardware mereka umumnya disukai dan senang dibaiki, tapi aduan yang berulang daripada pemilik ialah komuniti pengguna sering menyelesaikan sendiri masalah yang diutarakan, meskipun sepatutnya syarikat berkenaan yang baiki masalah tersebut sebelum produk dijual kepada pengguna.
Pandangan Saya
Saya suka spesifikasi mesin ini di atas kertas. Semua jenama lain dalam perlumbaan toolchanger ni bersaing pada paksi yang sama, berapa banyak toolhead, berapa laju tukar, berapa sikit pembaziran. Sovol berani mencuba arah lain. Mereka berani meneroka situasi sekiranya mesin tu boleh guna dua toolhead serentak. Kita dapat lihat hasilnya ialah mod copy, mod mirror, dan cetakan multi-material sebenar, semua daripada hardware yang sama. Bagi saya, saya hormati pendekatan kejuruteraan yang dipamerkan.
Tapi seperti yang saya sering katakan, kerisauan saya berkenaan printer yang mempunyai mekanisma kompleks ini adalah sejauh mana reliability jangka masa panjang? Pada Snapmaker U1, empat toolhead tu duduk pada satu carriage dan kongsi satu rujukan kalibrasi. Pada M1D, enam toolhead boleh tukar perlu kekal sejajar dengan satu toolhead tetap pada carriage berasingan yang bergerak sendiri. Itu masalah alignment yang lebih susah berbanding mana-mana toolchanger yang sedang dijual sekarang. Jawapan Sovol ialah kalibrasi dibantu kamera, dan mungkin ia berfungsi dengan baik. Jadi itu adalah satu perkara yang saya akan nantikan jika ada review bebas dimuat naik tidak lama nanti.
Sama ada kita ingin menyokong kempen ini atau tidak, bagi saya Sovol telah membuktikan sesuatu yang berguna. Beribu-ribu orang membelanjakan duit sebenar dalam masa minit hanya berlandaskan idea bahawa IDEX ditambah tool changer adalah arah tuju 3D printer yang berani mereka pertaruhkan.
Kredit gambar: Sovol 3D.
Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.