Artikel Komuniti

Dari Skrin ke Produk Fizikal: Perjalanan Self-Taught Saya dalam Dunia 3D Printing

Pengalaman jujur seorang pereka grafik yang belajar 3D printing secara kendiri, daripada cetakan pertama yang gagal dan menjadi “mi segera” sehingga berjaya menghasilkan model kapal, motosikal dan figurine menggunakan printer FDM dan resin.

DARI SKRIN KE PRODUK FIZIKAL: PERJALANAN SELF-TAUGHT AKU DALAM DUNIA 3D PRINTING

Aku sebenarnya baru sahaja terlibat dalam dunia 3D printing. Sebelum ini, pengalaman aku lebih kepada graphic design. Memang dah biasa bermain dengan Photoshop, Illustrator, warna dan visual, tetapi bila masuk dunia 3D, rupanya banyak benda kena belajar semula.

Aku mula berminat dengan 3D sebab beberapa perkara. Pertama, aku memang suka teknologi. Kedua, aku nak hasilkan produk sendiri. Ketiga, aku nampak ada peluang untuk dijadikan sumber pendapatan. Disebabkan kerja aku pula berkait rapat dengan TLDM, memang banyak idea datang daripada kapal, kapal selam, anggota operasi dan aset tentera.

Aku mula belajar Blender, Tripo dan Meshy secara sendiri. Banyak ilmu aku dapat daripada YouTube dan tutorial. Cara belajar aku mudah sahaja, tengok orang buat, cuba sendiri, gagal, baiki dan cuba lagi.

Pada awalnya, aku ingat kalau model nampak cantik dalam software, maknanya model itu boleh terus dicetak. Rupanya tidak.

Antara projek awal aku ialah model kapal selam, kapal permukaan dan LMS Batch 2. Dalam skrin memang nampak elok. Apabila masuk slicer, mula keluar pelbagai masalah. Ada non-manifold, mesh berlubang, permukaan tidak bersambung dan macam-macam lagi.

Masa itu aku langsung tak faham macam mana nak selesaikan. Pusing sana, pusing sini, tetap tak menjadi. Memang fed up juga.

Pengalaman cetakan pertama aku pula memang tak boleh dilupakan. Hari pertama beli Bambu Lab A1, aku terus nak print. Masa itu aku guna filament transparent. Aku tak tahu setiap jenis filament ada setting yang berbeza.

Aku tekan print, kemudian tinggal mesin bekerja sepanjang malam. Esok pagi datang dengan harapan nak tengok hasil pertama.

Sekali tengok, dah jadi mi segera.

Filament berselirat merata-rata. Model langsung tak jadi. Jahanam habis cetakan pertama aku. Masa itu barulah aku sedar, beli printer tak bermakna kita terus pandai menggunakannya.

Disebabkan mesin dah beli, aku kena teruskan juga. Aku study semula, buka YouTube dan cari punca masalah. Aku pergi kedai 3D printing dan borak dengan orang yang ada di situ. Aku cuba korek ilmu perlahan-lahan.

Pada awalnya memang malu nak tanya terus. Bodoh sombong orang kata. Hahaha.

Lepas itu baru aku faham sedikit demi sedikit tentang suhu nozzle, suhu build plate, kelajuan, support, orientasi dan jenis filament. Paling penting, setiap material memerlukan setting yang berbeza.

Selepas beberapa percubaan, aku berjaya juga mencetak model kapal selam menggunakan Bambu Lab A1. Ada beberapa unit yang sempat aku jual. Walaupun belum sempurna, sekurang-kurangnya aku mula nampak bahawa hobi ini memang boleh dikembangkan menjadi produk.

Tapi hasil yang paling membuatkan aku puas hati ialah selepas aku beli Elegoo Saturn 4 Ultra. Apabila mula menggunakan resin, perincian yang keluar memang lain.

Aku berjaya mencetak sebuah motosikal dan figurine anggota tentera kecil yang comel tanpa kecacatan ketara. Bila tengok hasil itu keluar dengan elok, memang puas hati. Rasa macam semua kegagalan sebelum itu berbaloi.

Namun, tukar daripada filament kepada resin bukan bermakna masalah terus selesai. Masa guna filament, aku bergelut dengan non-manifold dan support. Bila masuk resin, muncul pula cerita tentang internal cavity, suction, lubang saliran, orientasi dan proses curing.

Setiap kali rasa dah faham satu perkara, muncul pula perkara baharu.

Laptop pun kena tahan lasak. Sekarang aku guna ASUS TUF Gaming dengan RAM 32GB. Itu pun boleh hang apabila model mempunyai terlalu banyak triangle. Jadi aku kena belajar cara kurangkan polygon, bersihkan mesh dan sediakan model dengan lebih baik.

Pengalaman dalam graphic design memang banyak membantu dari segi idea, warna dan cara mempersembahkan produk. Tetapi untuk 3D modelling, aku masih ada banyak perkara yang perlu dipelajari.

Sekarang aku mahu gabungkan kemahiran graphic design dengan 3D printing. Aku juga mahu lebih mahir membaiki mesh dan menghasilkan produk sendiri, terutamanya produk bertemakan maritim dan TLDM.

Kalau ada orang baru nak masuk dunia 3D printing, nasihat aku mudah sahaja. Jangan malu bertanya. Tengok tutorial, masuk komuniti dan berbual dengan orang yang lebih berpengalaman. Catat setting yang berjaya dan jangan terus mulakan dengan model yang terlalu rumit.

Paling penting, jangan mudah putus asa apabila cetakan pertama bertukar menjadi mi segera.

Aku pun masih belajar. Masih banyak yang aku tak tahu. Tetapi itulah yang menarik tentang 3D printing. Kita bermula dengan satu idea dalam skrin, kemudian akhirnya dapat pegang produk itu dengan tangan sendiri.

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.

Comments 1

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.

1 Komen

  1. Ridzwan Normahazan 4 minggu lalu

    menarik. yang cover photo artikel ni, gambar render atau mmg hasil print sebenar?

Scroll to Top