ELEGOO Masuk Arena Mobile Printing Dengan Nexprint

Beberapa tahun yang lalu, nak masukkan satu model 3D daripada komputer ke printer ni merupakan satu rutin yang agak leceh. Daripada download fail STL, buka slicer dan masukkan fail tersebut, gubah tetapan dan parameter, hasilkan G-code dan akhir sekali kena hantar G-code tersebut secara manual melalui pendrive. Namun kini, rutin yang melecehkan ini semakin hilang dan digantikan dengan alur kerja yang lebih ringkas.

Kemaskini terbaru app Matrix ELEGOO adalah contoh terbaru bagaimana rutin kerja dalam cetakan 3D menjadi lebih mudah dan cepat. Sekarang, kita boleh cari model dari Nexprint dan mula print terus dari telefon, asalkan anda guna Centauri Carbon 2 atau Centauri Carbon 2 Combo dengan firmware terkini. Meskipun kedengaran seperti kemaskini kecil sahaja memandangkan ini bukanlah perkara baru dalam jenama lain, ia sebenarnya menunjukkan satu trend yang semakin jelas dalam dunia cetakan 3D untuk pengguna awam.

App ELEGOO Matrix tunjuk model library Nexprint

Persaingan dalam dunia cetakan 3D kini tidak terhad kepada printer jenama mana paling laju atau kualiti cetakan mana paling cantik. Sekarang, jenama-jenama pencetak 3D sedang berlumba untuk memberikan pengalaman paling lancar dari permulaan proses sampai ke akhir cetakan, daripada peringkat mencari model 3D sampai ke siap proses cetakan 3D tersebut.

Adakah trend ini dimulakan oleh Bambu Lab?

Ramai orang mempunyai persepsi bahawa idea “print dari telefon” ni datang dari Bambu Lab. Tapi sebenarnya, fungsi ini telah wujud lebih awal daripada kewujudan Maker World dan Bambu Handy.

Creality melancarkan Creality Cloud pada tahun 2020, yang membolehkan pengguna untuk mencari model 3D, membuat cloud slicing, dan hantar print ke mesin yang serasi secara jauh. Ia merupakan idea yang agak unik ketika itu, meskipun penggunaannya masih bergantung pada hardware tambahan macam Wi-Fi box dan masih agak serba kekurangan berbanding apa yang ada sekarang. Tapi ini menunjukkan bahawa Creality merupakan antara jenama besar pertama yang berusaha untuk membawa teknologi cetakan 3D ke arah ini.

Tetapi Bambu Lab berjaya menjadikannya lebih mudah digunakan

Apabila Bambu Lab hadir dengan siri X1 pada tahun 2022, mereka tidak mencipta konsep mobile printing ini. Namun, mereka berjaya menjadikannya lebih mudah digunakan oleh sesiapa sahaja.

X1 hadir sekali dengan Bambu Handy, jadi pengguna boleh memerhatikan proses cetakan, mendapat notifikasi, dan mengawal pencetak 3D mereka semuanya melalui telefon. Ia merupakan fungsi yang sangat berguna, tapi bukan itu sahaja yang menjadikan Bambu Lab revolusioner.

Pilih model yang dah ada print profile siap dari telefon

Perubahan yang lebih besar disusuri kemudian dengan kehadiranMakerWorld. Jika sebelum itu kita perlu muat turun fail STL, masukkan ke dalam slicer secara manual sebelum ubah parameter sendiri, kini kita boleh pilih model yang sudah hadir bersama print profile yang disediakan oleh pemilik fail tersebut. Hanya dengan beberapa klik sahaja, segala maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan cetakan 3D telah dihantar kepada pencetak 3D kita . Bagi pemula terutamanya, kemudahan ini secara langsung telah menyingkirkan punca utama kegagalan cetakan 3D. 

Jenama lain turut mengikut jejak langkah yang sama

Apabila pendekatan ini mula mendapat tempat di hati pengguna, lebih banyak jenama lain turut mengikuti jejak langkah ini.

Prusa melancarkan EasyPrint, satu cloud slicer berasaskan browser yang membolehkan anda menyediakan model dari telefon, tablet, atau laptop dan hantar ke mesin melalui Prusa Connect. Creality pula terus mengembangkan Creality Cloud mereka, menambah lebih banyak printer dan meningkatkan integrasi dalam barisan produk mereka.

Kini arah tuju semua jenama ini semakin jelas ke arah satu ekosistem yang memudahkan pengguna.

Kini tiba giliran ELEGOO

ELEGOO mula melancarkan Matrix sebagai app untuk memerhatikan proses cetakan. Pengguna boleh melihat status printer, melihat progres cetakan dan menguruskannya dari telefon bagi printer resin sahaja. Fungsi-fungsi ini berguna, tapi ia masih agak ketinggalan berbanding jenama lain sebelum ini.

Integrasi Nexprint ini merupakan langkah yang sangat menarik bagi pengguna Elegoo. Sekarang anda boleh mencari model dalam aplikasi Matrix berkenaan dan hantar terus ke Centauri Carbon 2 atau Carbon 2 Combo tanpa buka desktop slicer terlebih dahulu. Meskipun ia masih di peringkat awal dan hanya terhad kepada beberapa printer FDM sahaja, tetapi langkah ini jelas menunjukkan arah tuju ELEGOO selepas ini. ELEGOO tidak lagi menumpukan kepada hardware sahaja, tapi juga mula menambah baik ekosistem termasuk perisian mereka untuk menjadikan pengalaman pengguna lebih baik.

ELEGOO Centauri Carbon 2 atas meja

Ini memang merupakan berita yang sangat menggembirakan kepada pengguna ELEGOO sedia ada. ELEGOO mempunyai rekod yang kukuh dengan mesin CoreXY mesra bajet yang mempunyai nilai tinggi berbanding harganya. Namun sebelum ini, pengalaman pengguna yang kurang lancar merupakan salah satu kelemahan yang dirasakan oleh ramai pihak. Jika kita bandingkan dengan jenama lain yang lebih matang ekosistem mereka, pengalaman menggunakan ELEGOO sebelum ini mempunyai sedikit ketidaklancaran yang nyata. Namun begitu, kemaskini terbaru ini telah mengurangkan ketidaklancaran itu dengan sangat ketara. Sekiranya anda telah lama teringin untuk membeli printer ELEGOO tetapi ragu-ragu kerana sudut perisian dan ekosistem kurang meyakinkan, berita ini mungkin boleh membuatkan anda berubah fikiran.

Persaingan sebenar kini beralih kepada ekosistem

Persaingan dalam dunia cetakan 3D kini bukan lagi seperti dulu. Jika dulu jenama-jenama pencetak 3D berlumba-lumba ingin menghasilkan mesin yang lebih laju dan lebih cantik, tapi kelihatan kini jenama-jenama berkenaan mula bersaing dari ekosistem keseluruhan yang merangkumi

  • Mesin pencetak 3D
  • Slicer
  • App telefon
  • Cloud service
  • Model library atas talian
  • Print profile buatan komuniti

Lagi ringkas proses daripada “saya jumpa model ini” ke “okay dah siap print,” lagi tinggi kemungkinan pengguna itu akan kekal menggunakan jenama berkenaan. Tidak hairanlah jika syarikat-syarikat berkaitan mula melaburkan duit untuk memperkasakan lagi perisian dan ekosistem mereka. Ini bukanlah gimik, tapi tanpa kita sedar ia mula menjadi faktor besar bagi seseorang untuk membeli mana-mana pencetak 3D.

Kemaskini Matrix ELEGOO merupakan tanda persaingan dalam dunia cetakan 3D ini semakin bertambah, dan ia merupakan perkara yang baik bagi kita sebagai pengguna.

Nak beli pencetak 3D di Malaysia?

Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.

Lihat direktori →

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.

Wanna share your thoughts or request anything? Comment below.

Scroll to Top