News & Reviews

Creality SPARKX i8: Toolhead QuarTeks, Pesaing Baru Toolchanger?

Spesifikasi penuh SPARKX i8 dan semua angka yang Creality terbitkan setakat ini.

BM EN
  1. Apa Yang Creality Umumkan
  2. Mengapa Purge Waste Wujud, Dan Apa Yang QuarTeks Cuba Selesaikan
  3. Spesifikasi Penuh Yang Diterbitkan
  4. Empat Dakwaan Utama Creality
  5. “5x Lebih Laju”
  6. “Tukar Warna Bawah 1 Saat”
  7. “0 g Waste”
  8. “438 kg Filament Dijimatkan Setahun”
  9. Data Ujian Lain Yang Diterbitkan
  10. Bagaimana Ia Berbanding i7 Yang Sudah Ada Di Pasaran
  11. Kedudukan i8 Dalam Barisan Creality
  12. Apa Yang Masih Belum Diumumkan
  13. Pandangan Saya
  14. Sumber
  15. Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Creality membuka laman teaser untuk printer baharu mereka, SPARKX i8, sekitar 19 Ogos 2026. Yang menarik tentang mesin ini ialah cara ia menguruskan empat warna melalui satu nozzle sahaja.

Seperti yang mungkin sebahagian daripada kita sudah tahu, printer ini masih belum dilancarkan. Jadi artikel ini ditulis berdasarkan laman teaser rasmi Creality dan liputan media yang keluar selepas laman itu dibuka, bukan daripada pengalaman saya menggunakan mesin ini.

Nota: Sehingga artikel ini ditulis, tiada unit SPARKX i8 di luar Creality. Tiada harga, tiada tarikh penghantaran, dan Creality juga belum mengumumkan platform crowdfunding yang akan digunakan.

Dalam artikel ini saya kumpulkan semua yang sudah diumumkan setakat ini, iaitu spesifikasi penuh, cara sistem QuarTeks berfungsi, dan angka ujian yang Creality terbitkan sendiri. Semuanya masih dakwaan pengeluar buat masa ini. Kita tunggu unit sebenar sampai ke tangan reviewer bebas sebelum boleh kita sahkan dakwaan berkenaan tepat ataupun tidak.

Gambar rasmi SPARKX i8 dari laman teaser Creality

Apa Yang Creality Umumkan

SPARKX i8 ialah printer FDM empat warna yang menyalurkan kesemua empat filament melalui satu nozzle. Perkara itu sahaja bukan konsep yang baharu, kerana sudah banyak printer di pasaran yang mencetak empat warna melalui satu nozzle. Yang baharu ialah di mana keempat-empat laluan filament itu bertemu.

Creality menamakan sistem ini QuarTeks. Keempat-empat channel bercantum pada jarak 1.7 mm dari nozzle, bukan jauh di belakang pada bahagian extruder seperti kebanyakan sistem lain. Menurut Creality, pertukaran warna siap dilakukan dalam masa bawah satu saat.

Semua spesifikasi lain pada mesin ini datang daripada satu keputusan reka bentuk itu.

Mengapa Purge Waste Wujud, Dan Apa Yang QuarTeks Cuba Selesaikan

Sebelum kita bincangkan angka-angka Creality, kita perlu faham dahulu mengapa purge ini wujud, kerana di situlah puncanya utama pembaziran berlaku.

Pada sistem multicolour single nozzle yang biasa, keempat-empat filament dipilih di bahagian extruder atau di dalam sebuah kotak luaran, kemudian turun melalui satu tiub yang sama sebelum masuk ke hotend. Tiub yang dikongsi inilah punca pembaziran. Setiap kali printer bertukar warna, apa yang masih tinggal dalam tiub itu perlu ditolak keluar dahulu sebelum warna baharu boleh dicetak bersih. Bahan yang ditolak keluar itulah yang kita kenali sebagai purge.

Inilah puncanya sebuah cetakan empat warna boleh menggunakan sehingga tiga kali ganda filament berbanding model yang sama dicetak dalam satu warna.

Apabila laluan kongsi itu dipendekkan kepada 1.7 mm, bahan yang perlu dibuang setiap kali tukar warna dapat dikurangkan secara signifikan. Pendekatan ini agak menarik kerana ia menangani punca sebenar masalah tersebut, bukan sekadar menambah hardware di sekelilingnya.

Soalan yang tinggal sekarang ialah sama ada laluan sependek 1.7 mm ini mampu menahan empat filament yang bercantum masuk ke dalam nozzle 0.4 mm selepas beratus jam penggunaan. Itu hanya boleh dijawab oleh penggunaan sebenar dalam tempoh panjang.

Spesifikasi Penuh Yang Diterbitkan

SpesifikasiSPARKX i8
Build volume260 x 260 x 255 mm
TeknologiFFF, open frame
Kelajuan cetakan maksimum500 mm/s
Pecutan maksimum10,000 mm/s²
Suhu hotend maksimum300 °C
Suhu heated bed maksimum100 °C
Nozzle0.4 mm, quick release 5 saat
MulticolourQuarTeks, single toolhead empat channel, sehingga 4 warna
Laluan filament dikongsi1.7 mm
Masa tukar warnaBawah 1 saat
Levelling81 titik auto levelling dengan micro levelling, auto Z offset
Sensor13 sensor, termasuk pengesan runout, slipping dan empty extrusion bagi setiap channel
Kamera720p, sehingga 30 fps, AI vision, lampu tambahan
Skrin2.85 inci, 640 x 480
Build platePEI gold textured dua muka, magnetik
Bunyi45 dB atau lebih rendah
SambunganWi-Fi 2.4 GHz, Creality Cloud, LAN, offline
StoranMicroSD 8 GB disertakan
Saiz mesin467 x 423 x 456 mm
Saiz pakej524 x 519 x 332 mm
Berat bersih9.72 kg
Kuasa100 hingga 120 VAC / 200 hingga 240 VAC, 50/60 Hz
Pemasangan90% siap dipasang

Ada dua perkara dalam jadual ini yang ingin saya sebut.

Pertama, ia hanya menggunakan Wi-Fi 2.4 GHz. Untuk sebuah printer yang datang dengan kamera untuk pemantauan jarak jauh, ini satu batasan yang mungkin akan terasa jika rangkaian di rumah anda sudah sesak pada band tersebut.

Kedua, ini mesin open frame dengan hotend 300 °C, dan Creality masih belum menerbitkan senarai penuh material yang disokong untuk i8. Suhu hotend yang tinggi sahaja tidak menjadikan sesebuah printer sesuai untuk ABS atau ASA, jadi eloklah kita tunggu senarai rasminya sebelum mengatakan bahawa ia dapat mencetak bahan berkenaan.

Empat Dakwaan Utama Creality

Creality meletakkan empat angka besar di bahagian hadapan laman mereka. Ini apa yang setiap satu maksudkan, dan konteks di sebalik angka tersebut.

“5x Lebih Laju”

Creality menerbitkan perbandingan model yang sama dicetak pada empat jenis mesin berbeza.

Jenis mesinMasa
SPARKX i814j 41min
4-toolhead changer18j 24min
7-hotend changer32j 48min
4-colour bedslinger90j 41min

Creality tidak menyatakan mesin mana yang menjadi asas kepada angka 5 kali ganda tersebut. Kalau kita kira daripada jadual mereka sendiri, i8 adalah 1.25 kali lebih laju daripada toolhead changer, 2.2 kali lebih laju daripada mesin tujuh hotend, dan 6.2 kali lebih laju daripada bedslinger biasa. Jadi angka sebenar bergantung pada mesin mana yang dijadikan perbandingan.

Mesin pesaing dalam jadual itu juga tidak dinamakan, jadi kita belum boleh ulang ujian yang sama untuk mengesahkannya. Ini biasa berlaku pada bahan pemasaran sebelum sesuatu produk dilancarkan.

“Tukar Warna Bawah 1 Saat”

Inilah dakwaan yang paling berkait rapat dengan reka bentuk 1.7 mm itu, dan ia juga antara perkara pertama yang akan diukur oleh reviewer bebas. Kita sepatutnya dapat jawapannya tidak lama selepas unit pertama sampai ke tangan pengguna.

“0 g Waste”

Nota kaki untuk dakwaan ini berbunyi “No External Purge Waste“. Maksudnya, tiada bahan purge yang dibuang ke luar cetakan.

Pada model tertentu, bahan purge itu dialihkan masuk ke dalam infill cetakan itu sendiri. Filament tetap keluar daripada spool, tetapi ia digunakan di dalam cetakan dan bukan dibuang sebagai sampah. Ini satu idea yang bagus, kerana infill memang perlu dicetak juga.

Untuk gambaran penuh, Creality menyebut pengurangan filament waste sebanyak 2.7 kali ganda di satu tempat, manakala gambar perbandingan purge pada laman yang sama menunjukkan 15.1 g untuk i8 berbanding 79.5 g untuk pesaing yang tidak dinamakan. 

“438 kg Filament Dijimatkan Setahun”

Angka ini datang daripada ujian Crystal Dragon Creality, iaitu 183.57 g pada i8 berbanding 619.55 g pada mesin perbandingan. Jimatannya 435.98 g setiap cetakan.

Untuk sampai 438 kg setahun, ia mengandaikan lebih kurang 1,005 cetakan seperti itu, iaitu kira-kira 14,750 jam mencetak. Jadi angka tahunan ini menggambarkan potensi maksimum pada penggunaan yang sangat tinggi, dan bukan corak penggunaan harian kebanyakan kita.

Angka yang lebih berguna untuk kita jadikan panduan ialah penjimatan setiap cetakan tadi. Creality juga menyebut nilai USD 1,500 setahun, yang mengandaikan harga filament sekitar USD 3.42 sekilogram, iaitu lebih kurang RM 13.80 sekilogram. 

Data Ujian Lain Yang Diterbitkan

Untuk gambaran yang lebih lengkap, ini baki data perbandingan pada laman tersebut. Pesaingnya tetap tidak dinamakan dalam setiap ujian.

ModelMasa i8Lain-lainFilament i8Lain-lain
Crystal Dragon14j 41min42j 18min183.57 g619.55 g
Cubeme Mona Lisa11j 01min32j 08min238.45 g534.83 g
Pilot Cat Helmet14j 39min32j 43min299.46 g549.01 g
Colour Puzzle Cube3j 13min14j 08min96 g249 g

Ini bersamaan 2.2 hingga 4.4 kali ganda dari segi masa, dan 1.8 hingga 3.4 kali ganda dari segi penggunaan filament, merentasi empat model berbeza. Yang lebih menarik di sini bukan angka pada tajuk besar, tetapi konsistensi keempat-empat ujian ini. Sekiranya angka tersebut bertahan apabila diuji secara bebas, i8 bakal membawa perubahan besar untuk sesiapa yang kerap mencetak multicolour.

Bagaimana Ia Berbanding i7 Yang Sudah Ada Di Pasaran

Kalau kita ketepikan QuarTeks seketika, i8 sebenarnya sangat hampir dengan SPARKX i7 yang sedia ada.

 SPARKX i8SPARKX i7
MulticolourQuarTeks, bersepaduCFS Lite, kotak luaran
Levelling81 titikAuto levelling standard
Berat bersih9.72 kgSekitar 9.1 hingga 9.2 kg bergantung sumber
Build volume260 x 260 x 255 mm260 x 260 x 255 mm
Kelajuan maksimum500 mm/s500 mm/s
Hotend / bed300 °C / 100 °C300 °C / 100 °C

Frame-nya sama, build volume sama, had kelajuan sama, dan suhunya pun sama. Dari segi praktikal, i8 ialah sebuah i7 dengan sistem multicolour dipindahkan daripada kotak luaran masuk ke dalam toolhead, berserta levelling yang lebih baik.

Ini berguna untuk kita menjangka harga. SPARKX i7 Color Combo disenaraikan pada harga USD 359 secara terus setakat 19 Ogos 2026, selepas dilancarkan pada MSRP USD 399 dengan harga early bird USD 339, dan ia pernah ditemui di peruncit sekitar USD 219 hingga 229. Kalau i8 memang sebuah i7 dengan toolhead baharu, jangkaan yang munasabah ialah harga yang hampir dengan i7 Combo atau sedikit lebih tinggi. 

Pengalaman dengan i7 juga memberi kita sedikit gambaran tentang apa yang perlu diperhatikan. Creality sudah menerbitkan panduan pembaikan rasmi untuk masalah under-extrusion dan clog pada i7, dan ada juga thread berkenaan masalah loading serta pengecaman CFS Lite di forum komuniti mereka. Dari segi pembaziran pula, review Tom’s Hardware mendapati sebuah calibration castle pada default setting menghasilkan 488.85 g purge berbanding 31.59 g model sebenar.

Angka terakhir itu menjelaskan mengapa QuarTeks wujud. Creality nampaknya memang menyasarkan masalah pembaziran ini secara langsung pada generasi baharu.

Konsep toolhead QuarTeks bersepadu

Kedudukan i8 Dalam Barisan Creality

Dalam tempoh lebih kurang lapan bulan, Creality sudah menghantar atau mengumumkan empat sistem multicolour yang berasingan, iaitu CFS Lite, CFS nano, KliTek, dan sekarang QuarTeks.

KliTek ialah teknologi utama pada acara ulang tahun ke-12 Creality pada 29 Mei 2026, hari yang sama syarikat tersebut tersenarai di Bursa Saham Hong Kong di bawah kod 03388.HK. KliTek ialah sistem nozzle changer, satu pendekatan yang berbeza daripada QuarTeks. Creality mendakwa pertukaran nozzle dalam masa bawah 5 saat, pertukaran material dalam masa 15 saat, dan pengurangan purge waste sekitar 85%. Sehingga kini ia masih belum dihantar dan masih tiada harga.

Jadi Creality sedang meneroka beberapa pendekatan multicolour serentak. Untuk kita sebagai pembeli, perkara yang perlu diambil kira ialah aksesori, alat ganti dan profil slicer bagi setiap sistem tidak semestinya serasi antara satu sama lain. Berbaloi kita semak perkara ini dahulu sebelum melabur dalam mana-mana satu daripadanya.

Sebagai konteks tentang syarikat itu sendiri, laman teaser tersebut menyenaraikan tahun 2014 sebagai tahun penubuhan, 12 tahun dalam industri 3D printing, lebih 6 juta unit terjual, lebih 140 negara, lebih 800 paten, dan lebih 3.5 juta pengguna.

Apa Yang Masih Belum Diumumkan

Senarai perkara yang masih kosong ini agak panjang, dan ia penting sebelum sesiapa membuat keputusan:

  • Harga, sama ada early bird mahupun MSRP
  • Tarikh penghantaran
  • Platform crowdfunding yang akan digunakan
  • Senarai penuh material yang disokong
  • Sama ada aksesori dan alat ganti i7 serasi dengan i8
  • Sama ada nozzle dan hotend QuarTeks boleh diganti berasingan, dan pada harga berapa
  • Saluran jualan dan rangkaian sokongan selepas jualan

Pandangan Saya

Buat saya ini berita yang menarik, dan saya menantikan untuk melihat sama ada printer yang keluar nanti mampu memenuhi apa yang dijanjikan di sini.

Pada masa yang sama, saya tertanya-tanya sama ada Creality mampu mengikut rentak teknologi baharu yang mereka umumkan ini. KliTek didedahkan pada hujung Mei, dan laman K3 Creality sendiri meletakkan sasaran suku ketiga 2026. Sekarang sudah hampir September, tetapi tarikh sebenarnya masih belum diumumkan. Sekarang keluar pula satu lagi teknologi baharu.

Persoalan yang lebih besar dalam fikiran saya ialah apa kesannya kepada toolchanger. Atas kertas, QuarTeks nampak seperti bersaing terus dengan toolchanger, dan pada harga yang jauh lebih rendah. Flashforge Creator 5 bermula pada harga USD 649. Harga i8 masih belum diumumkan, tetapi kalau ia jatuh hampir dengan i7 Combo, ia akan jauh lebih murah daripada itu.

Namun kedua-duanya sebenarnya bukan produk yang sama. Toolchanger ada hotend berasingan untuk setiap tool, jadi ia boleh mencetak material berbeza pada suhu berbeza, menggunakan saiz nozzle berbeza dalam satu cetakan, dan menggunakan soluble support tanpa masalah pencemaran antara nozzle. QuarTeks pula ada satu hotend, satu suhu, dan satu nozzle. Ia sistem empat warna yang lebih baik, bukan sistem multi-material.

Kalau anda memang perlukan printer sekarang, i7 sudah ada di pasaran, sudah direview, dan dapat Editor’s Choice daripada Tom’s Hardware. Untuk i8 pula, masa sahaja yang akan menentukan. Saya akan kemas kini artikel ini apabila sudah ada hardware sebenar untuk diuji.

Sumber

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.

Comments 0

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.

Scroll to Top