Ridzwan Normahazan
written on 25 May 2026
Pratonton Creality KliTek: Sistem Tukar Nozzle Baru Yang Patut Diperhatikan
Creality baru sahaja mengeluarkan satu pratonton yang menjadi tanda tanya dalam komuniti 3D printing.
Gambar yang diperlihatkan tersebut ringkas sahaja. Berlatar belakangkan gambar yang gelap, terdapat satu render cutaway toolhead yang bercahaya menunjukkan apa yang kelihatan seperti hotend generasi baru. Tiga perkataan di bawah render tu: Colors. Materials. Print-in-Place. Kemudian terdapat satu nama di bahagian atas poster yang tidak pernah kita dengar sebelum ini dalam lineup Creality, iaitu KliTek.
Tiada halaman produk,spesifikasi mahupun tarikh pengumuman. Yang terlihat hanyalah gambar itu sahaja.
Jadi, Apakah Itu KliTek?
KliTek adalah nama baharu dari Creality yang muncul sebagai sebahagian daripada kempen Ulang Tahun ke-12 mereka pada 2026. Nama ni tidak pernah muncul dalam mana-mana produk, material pemasaran, atau pengumuman rasmi Creality sebelum teaser ini.
Teaser tersebut menerangkannya sebagai “Next-Gen Nozzle Changing” dengan tiga kemampuan yang disenaraikan: Colors, Materials, dan Print-in-Place.
Apa Yang Kelihatan Dalam Gambar Teaser?
Creality menggunakan render cutaway untuk teaser ni. Ia memberikan gambaran mekanisme dalaman tanpa mendedahkan sepenuhnya cara ia berfungsi. Tapi terdapat beberapa perkara atau bahagian yang boleh diperhatikan daripada gambaran yang dikongsikan itu.
Di bahagian atas, sebuah objek seperti gear pemacu yang besar ada kelihatan, konsisten dengan extruder direct-drive yang menjadi kebiasaan dalam 3D printer masa kini. Di sebelahnya pula kelihatan satu mekanisme kedua, mungkin selector atau clutch, bersama satu bahan lain yang mungkin merupakan sensor filament atau encoder wheel.
Di bahagian tengah, keseluruhan badan hotend pula kelihatan seperti gabungan beberapa komponen yang membentuk satu unit tunggal. Tiada sebarang docking interface atau coupling point kelihatan dalam gambaran tersebut. Ini memberi petunjuk seolah-olah unit tengah inilah yang boleh ditukar-tukar semasa proses cetakan dan bukannya keseluruhan toolhead.
Di bahagian bawah, satu hujung nozzle keluar dari unit, dikelilingi kesan termal yang bercahaya dalam render. Hanya satu nozzle saja yang kelihatan.
Adakah Ia Mirip Prusa INDX Atau Bambu Vortek?
Mungkin ada dua teknologi berkaitan proses penukaran filament dalam dunia cetakan 3D yang boleh kita jadikan rujukan untuk memahami sistem baru ini.
Prusa INDX adalah sistem tukar alat automatik (toolchanger) yang dibina menggunakan passive tools. Setiap tool membawa laluan filament tersendiri, dan pemanasan dikendalikan secara tanpa wayar melalui proses induksi. Apabila menukar filament, tiada proses menarik kembali filament atau flushing yang diperlukan kerana setiap bahan kekal dalam tool tersendiri.
Bambu Vortek pula mengambil pendekatan yang berbeza. Vortek menggunakan hotend yang boleh ditukar ganti di mana setiap warna atau bahan mempunyai laluan hotend tersendiri, berbanding menukar keseluruhan toolhead. Bambu sendiri menerangkannya sebagai sistem tukar hotend, dan siri H2 dengan Vortek boleh menyokong sehingga tujuh hotend sekaligus. Jadi setiap warna atau bahan ada laluan sendiri tanpa perlu purging melalui satu nozzle yang dikongsi bersama.
Berdasarkan apa yang kelihatan dalam gambar teaser, KliTek secara visual kelihatan lebih hampir ke arah Vortek berbanding INDX, tapi tidak bermaksud ia akan menggunakan mekanisme yang sama. Gambaran tersebut menunjukkan badan yang padat tanpa sebarang rel docking atau titik sambungan di tepi. Ini memberi gambaran bahawa mekanisme peralihan berlaku di dalam unit itu sendiri dan bukannya dengan menukar toolhead secara fizikal dari luar.
Mekanisme dalaman yang kelihatan mungkin mencadangkan sejenis sistem pemilihan atau pengindeksan nozzle, tapi teaser ni tidak menunjukkan cukup detail untuk mengesahkan sama ada ia berputar, docking, atau menukar modul sepenuhnya.
Pilihan perkataan dalam tagline itu juga menarik perhatian saya. Ia menyebut “Nozzle Changing,”dan bukannya “Toolhead Changing.”
Apa Yang Masih Menjadi Misteri
Penting untuk saya ingatkan, semua yang dibincangkan di atas adalah berdasarkan satu gambar teaser dan nama sistem sahaja. Masih banyak persoalan yang masih menjadi tanda tanya.
Berapa banyak kedudukan nozzle yang KliTek boleh sokong? Adakah filament dimuatkan terlebih dahulu bagi setiap nozzle atau ada satu laluan filament pusat dengan mekanisme pemilih? Printer mana yang akan serasi sistem baru ini, sama ada ia hanya dibina dalam printer baru atau boleh disediakan dalam kit penambah baikan printer sedia ada? Bagaimana pengurusan haba berfungsi antara kedudukan nozzle? Berapa harganya?
Memandangkan pratonton ini adalah sebahagian daripada kempen ulang tahun ke 12 Creality, berita penuh mungkin akan diumumkan tidak lama lagi.
Apa Yang Perlu Kita Perhatikan
Boleh perhatikan saluran rasmi Creality dan sebarang pengumuman berkaitan acara Ulang Tahun ke-12 mereka. Apabila pendedahan penuh dilakukan nanti, mungkin segala persoalan yang saya nyatakan tadi akan dijawab.
Kami akan kemaskini artikel ini sebaik sahaja maklumat rasmi tersedia.
Nota: Ini merupakan analisis awal berdasarkan teaser KliTek Creality, bukan pecahan teknikal yang disahkan. Sesetengah butiran mungkin berubah selepas pendedahan rasmi dan kami akan mengemas kini artikel ini apabila maklumat lanjut tersedia.

Pingback: Creality KliTek Teaser: A New Nozzle-Changing System to Watch