modular desk organizer buatan anak Malaysia

ATUR: Penyusun Meja Modular Cetakan 3D Buatan Anak Malaysia

Walid Bin Wajdy

ditulis pada 27 Mei 2026

Kebelakangan ini Malaysia semakin banyak melahirkan pencipta-pencipta muda yang kreatif mengubah idea menjadi kenyataan.

Salah seorang daripada mereka ialah Isyraq, berumur 26 tahun, anak kelahiran Johor yang kini dikenali sebagai pengasas INHAF Studio dan pencipta ATUR iaitu sebuah sistem penyusun meja modular buatan tempatan yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi cetakan 3D.

Isyraq, pengasas INHAF Studio dan pencipta ATUR.
Isyraq, pengasas INHAF Studio dan pencipta ATUR.

Dari Skrin Komputer Ke Produk Fizikal

Isyraq mula mengenali teknologi 3D printing melalui bidang pelajarannya dalam jurusan Industrial Design di UiTM. Beliau didedahkan dengan pelbagai proses reka bentuk produk, termasuk penggunaan teknologi cetakan 3D sebagai salah satu kaedah untuk menghasilkan prototaip fizikal.

Latar belakang beliau dalam industrial design, 3D animation dan 3D design membuahkan tanda soal dalam dirinya, “kalau aku boleh hasilkan sesuatu dalam bentuk 3D di dalam komputer, kenapa tidak cuba jadikan objek itu wujud secara fizikal di dunia sebenar?”

Dari sinilah beliau nampak cetakan 3D mampu menjadi alat bagi menterjemahkan idea digital kepada bentuk fizikal. Apabila sesuatu yang direka di skrin boleh dicetak, dipegang dan digunakan, ia sudah menjadi produk sebenar, dan di situ terdapat sesuatu tahap kepuasan yang berbeza.

Beliau menggunakan aplikasi Rhino 3D untuk membuat model 3D produk kerana ia sesuai untuk kerja-kerja product design yang lebih tepat.

Selepas model siap, beliau akan bawa model tersebut ke aplikasi Blender untuk tujuan render, visual produk dan animasi. Ini membantu beliau menghasilkan gambar promosi dan visual yang lebih menarik sebelum produk dipasarkan.

Lukisan digital reka bentuk produk

Cetakan 3D Sebagai Penyelesaian Alternatif

Dalam minat reka bentuk produk yang tinggi, cabaran terbesar bagi Isyraq dalam merealisasikan impiannya ialah kos pengeluaran.

Secara tradisional, penghasilan sesuatu produk biasanya melalui mass production yang memerlukan modal besar, kuantiti serta risiko yang tinggi.

Dengan adanya teknologi cetakan 3D, beliau boleh mula menghasilkan produk sendiri dalam skala kecil terlebih dahulu dan prototaip itu boleh direka, dicetak, diuji, dibaiki dan diulang semula proses itu dengan lebih cepat.

Beliau menggunakan mesin pencetak 3D Bambu Lab A1 yang merupakan mesin pencetak 3D pertamanya, dibeli sekitar bulan Februari tahun ini.

Beliau juga banyak menggunakan filament daripada Bambu Lab sambil meneroka material yang paling sesuai untuk menghasilkan produk ATUR.

Ruangan kerja reka bentuk Isyraq bersama mesin pencetak 3D Bambu Lab A1

ATUR: Sistem Penyusun Modular Ruangan Meja

Reka bentuk produk yang berjaya dicipta Isyraq ialah ATUR yang direka sebagai system organizer yang boleh disusun mengikut keperluan pengguna.

Ia menggunakan konsep modular, di mana pengguna boleh menukar, menambah atau menyusun semula modul berdasarkan barang dan rutin kerja mereka di atas meja.

Konsep modular menjadi asas utama kepada produk ini di mana beliau mahu pengguna ATUR boleh memberi cadangan, berkongsi cara mereka menggunakan produk ini, dan secara tidak langsung membantu beliau melihat modul apa yang patut dibangunkan seterusnya.

Bagi Isyraq, ATUR bukan sekadar desk organizer. Ia adalah satu sistem yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa melalui interaksi antara pereka, produk dan pengguna.

ATUR: Desk Organizer

“Apabila saya mula membangunkan ATUR, saya tidak mahu ia menjadi produk yang orang beli sekali sahaja, kemudian hubungan dengan produk itu berhenti di situ. Saya mahu ATUR menjadi satu sistem yang boleh berkembang bersama pengguna.”

Anggaran masa yang diambil dari pembentukan idea awal sehingga ATUR benar-benar bersedia untuk dijual adalah sekitar dua bulan.

Proses awal reka bentuk 3D mengambil masa beberapa hari, kemudian melalui fasa cetakan prototaip, penambahbaikan beberapa versi, photoshoot, 3D render, penyediaan poster, packaging dan percubaan proses penghantaran.

Walaupun sudah mula dijual, beliau masih terus memperbaiki produk berdasarkan feedback pelanggan awal.

Antara cabaran utama Isyraq dalam membangunkan ATUR ialah memastikan sistem modular berfungsi dengan baik. Setiap slot perlu mempunyai jarak yang tepat supaya modul mudah dimasukkan dan dikeluarkan, tetapi masih terasa kemas dan stabil.

Selain itu, beliau juga perlu memastikan pembungkusan produk cukup selamat supaya produk sampai kepada pelanggan dalam keadaan baik.

ATUR hadir dalam beberapa pilihan seperti Starter Set, Pro Set, dan body sahaja. Starter Set mempunyai tiga modul asas, manakala Pro Set dilengkapi modul yang lebih lengkap seperti ruang SD card, ruang simpanan dan ruang pen.

Secara keseluruhan, Isyraq telah mereka lebih daripada 10 jenis modul, termasuk konsep seperti modul Apple Watch dan modul wireless charger.

Dua pilihan warna ATUR — Midnight (Black+Grey) & Sunlight (White+Orange)

Setakat ini, Isyraq hanya fokus pada pembangunan dan penambahbaikan produk ATUR sebelum beralih mencipta produk yang lain.

Bagi beliau, menghasilkan produk baharu bukan sekadar tentang idea, tetapi perlu ada kajian, permintaan pasaran, fungsi yang jelas dan nilai sebenar kepada pengguna.

Dalam masa beberapa bulan akan datang, Isyraq merancang untuk menambah lebih banyak pilihan modul baharu untuk ATUR. Beliau juga melihat kemungkinan untuk menghasilkan beberapa versi atau “family” produk yang masih berada dalam ekosistem ATUR.

Cara Dapatkan ATUR:

Layari akaun TikTok ATUR Official dan tekan pada icon ‘Shop’ ataupun akaun TikTok Shop INHAF ENTERPRISE untuk buat pembelian dari 14 pilihan modular kit termasuk:

Starter Set = RM 63.00

Pro Set = RM 78.00

Sekiranya anda menggunakan kod promo INHAMECHY10 ketika pembelian, anda akan dapat diskaun 10% daripada harga asal.

Ikuti perjalanan Isyraq dan perkembangan terbaru ATUR di:

TikTok: @aturofficial

TikTok Shop: https://vt.tiktok.com/ZS9Y8FPVTmCvs-vHMCo/

Instagram: @inhaf_studio

Threads: @inhaf_studio

Tulisan ini adalah sebahagian daripada siri Domechy memperkenalkan pencipta dan usahawan tempatan yang menggunakan teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan produk sebenar. Hubungi kami di domechy3d@gmail.com sekiranya anda ingin berkongsi cerita perniagaan cetakan 3D anda di sini.

Scroll to Top