Pencetak 3D toolchanger bukan konsep baharu. Seawal 2021 lagi, Prusa sudah memperkenalkan Original Prusa XL, menunjukkan bagaimana bilangan toolhead yang banyak boleh menjadikan cetakan berbilang warna dan berbilang bahan lebih pantas dan kurang pembaziran.
Namun, 2026 kelihatan berbeza. Lebih ramai pengguna kini meminta teknologi ini kerana sistem berbilang warna satu nozzle konvensional boleh membazirkan filament dalam jumlah besar dan meningkatkan masa cetakan dengan ketara.
Dalam separuh pertama tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya lima platform toolchanger atau penukar nozzle automatik telah dilancarkan, dibuka untuk pesanan, masuk ke peringkat tempahan, atau diumumkan oleh pengeluar yang berbeza.
Dengan pengeluar dan pengguna bergerak ke arah yang sama, soalan yang wajar ditanya adalah: adakah 2026 tahun pencetak 3D toolchanger akhirnya menjadi penanda aras yang baru?

Apa Itu Pencetak 3D Toolchanger?
Dalam pencetak 3D toolchanger, terdapat beberapa toolhead atau nozzle dalam satu mesin yang boleh bertukar antara satu sama lain semasa proses cetakan. Setiap alat boleh membawa filament, saiz nozzle, atau bahan tersendiri, membolehkan pencetak menukar warna atau bahan filament tanpa perlu memunggah dan memuatkan semula filament berulang kali melalui satu hotend.
Berbanding sistem berbilang warna konvensional, sistem ini boleh mengurangkan pembaziran purge dan memendekkan masa pertukaran filament. Ia juga menjadikan gabungan seperti filament keras dengan TPU, sokongan boleh larut, atau saiz nozzle yang berbeza lebih praktikal.
Namun, tidak semua mesin toolchanger menggunakan mekanisme yang sama. Sesetengah pencetak, seperti Prusa XL dan Snapmaker U1, menukar printhead yang lengkap. Yang lain, termasuk Vortek Bambu Lab dan KliTek Creality, menukar pemasangan hotend atau nozzle yang lebih kecil.
Objektif asasnya tetap sama: setiap filament mempunyai laluan cetakan tersendiri dan mengelakkan pertukaran berulang kali melalui satu nozzle yang sama.
Namun begitu, teknologi toolchanger juga memperkenalkan kerumitan tambahan. Ia memerlukan penyelarasan alat yang tepat, docking yang boleh dipercayai, sokongan slicer yang baik, dan kalibrasi yang konsisten antara setiap nozzle.
Dari Prusa XL ke Ledakan Toolchanger
Original Prusa XL pertama kali didedahkan pada November 2021 dengan kemampuan menggunakan sehingga lima toolhead bebas. Ia mula dilancarkan pada 2023 dan menjadi salah satu pencetak toolchanger desktop yang paling dikenali.
Namun begitu, selama beberapa tahun, ia kekal sebagai produk yang agak mahal dan luar kemampuan pengguna biasa. Kebanyakan jenama pengguna terus menggunakan sistem penukaran filament yang menyuap filament berbilang warna melalui satu atau dua nozzle sahaja.
Keadaan mula berubah dengan drastik pada 2025. Snapmaker memperkenalkan U1 dengan empat toolhead, Bambu Lab mendedahkan H2C dengan sistem penukar hotend Vortek, dan Prusa bekerjasama dengan Bondtech untuk memperkenalkan INDX untuk platform CORE One.
Menjelang separuh pertama 2026, lebih banyak jenama menyertai perlumbaan yang sama. Toolchanging tidak lagi terhad kepada satu pencetak 3D dengan harga di luar kemampuan. Ia telah menjadi salah satu faktor persaingan utama dalam cetakan 3D pengguna.
Pencetak 3D Toolchanger yang Membentuk 2026
Original Prusa XL
Original Prusa XL kekal sebagai titik rujukan utama untuk toolchanger desktop moden. Toolchanger dalam sistem ini boleh mengendalikan sehingga lima printhead lengkap, dengan setiap alat mengandungi extruder, hotend, dan nozzle tersendiri.
Kerana setiap filament kekal dalam printhead tersendiri, XL boleh menggabungkan warna berbeza dan bahan yang berbeza dengan pembaziran yang sangat sedikit. Setiap alat printhead juga boleh kekal dipanaskan semasa ia tidak digunakan, mengurangkan masa menunggu antara pertukaran.
Kelebihannya yang utama adalah kematangan sistem ini berbanding pesaing yang lain. XL telah digunakan selama beberapa tahun, memberi Prusa lebih banyak masa untuk menambah baik firmware, integrasi slicer, dan kebolehpercayaan penukaran alat.
Namun, versi lima toolhead ini kekal mempunyai tag harga yang agak tinggi berbanding pesaing baharu yang harganya lebih rahmah. XL mewakili penanda aras premium dan bukan titik masuk paling mudah ke dunia toolchanging.

WonderMaker ZR Ultra-S
WonderMaker ZR Ultra-S ialah pencetak CoreXY empat toolhead yang dibangunkan untuk cetakan berbilang warna dan berbilang bahan yang lebih pantas dengan pembaziran purge yang minima. Ia menawarkan isipadu binaan 300 x 270 x 290 mm dan dipromosikan sebagai platform sumber terbuka.
Keistimewaannya yang utama ialah kemampuan berbanding sistem toolhead penuh yang lebih awal. WonderMaker cuba menyediakan empat printhead tersendiri tanpa masuk ke julat harga yang jauh lebih tinggi seperti mesin Prusa XL.
Namun, ZR Ultra-S masih merupakan produk crowdfunding dan bukanlah produk biasa yang boleh dibeli meluas dalam marker. Kebolehpercayaan dalam dunia sebenar, kualiti pengeluaran, dan sokongan jangka panjangnya perlu dinilai setelah lebih banyak unit sampai ke tangan pelanggan. Buat masa ini, produk ini masih belum sampai kepada pengguna biasa malah juga kepada backer crowdfunding mereka.

Snapmaker U1
Snapmaker U1 membantu membawa toolchanging ke dunia pengguna biasa secara meluas. Ia menggunakan empat toolhead SnapSwap, dengan setiap filament kekal dalam laluan cetakan tersendiri yang dimuatkan dan dipanaskan terlebih dahulu.
Snapmaker mendakwa pertukaran alat mengambil masa sekitar lima saat. Sistem pencetak 3D ini berkenaan tidak perlu menjalankan proses yang panjang untuk mengeluarkan filament sedia ada, memasukkan filament yang baru kemudian mengeluarkan baki filament yang ada dalam filament melalui purge. Oleh itu, keseluruhan proses untuk menukar filament jauh lebih cepat.
Keistimewaannya yang utama ialah kebolehcapaian. U1 direka sebagai produk pengguna yang agak berpatutan dan mudah digunakan, bukannya mesin canggih yang memerlukan konfigurasi intensif pada harga luar biasa.
U1 juga mula berkembang menjadi ekosistem yang lebih besar, dengan hotend yang dikeraskan (hardened steel nozzle), filament dengan keupayaan RFID, dan penutup atas pilihan dengan peredaran udara dan penapis. Ini menunjukkan bahawa pencetak toolchanger ini mula menerima sokongan aksesori yang sama seperti mesin pengguna konvensional.

Bambu Lab H2C dengan Vortek
Bambu Lab H2C mendekati masalah ini secara berbeza. Daripada mengumpul extruder dan printhead lengkap untuk setiap filament, sistem Vorteknya menukar hotend tersendiri secara automatik.
H2C menyokong tujuh hotend yang boleh ditukar dan boleh berfungsi dengan filament tambahan yang dibekalkan melalui ekosistem AMS Bambu Lab. Setiap bahan yang kerap digunakan boleh mempunyai hotendnya sendiri, mengurangkan jumlah filament yang perlu dibuang semasa pertukaran.
Keistimewaannya yang utama ialah automasi. Bambu Lab telah memberi tumpuan kepada pengintegrasian penukaran hotend dengan kalibrasi automatik, pengurusan filament, Bambu Studio, dan ekosistem pencetaknya yang sedia ada.
Sistem ini mungkin mudah digunakan oleh pengguna biasa, tetapi ia juga bermakna sebahagian besar pengalaman kekal terikat dengan perkakasan dan perisian Bambu Lab. Bagi ramai pengguna, kemudahan penggunaan dan keputusan yang konsisten mungkin lebih penting daripada sama ada sistem itu terbuka atau tertutup.

Prusa CORE One INDX
INDX ialah kerjasama antara Prusa Research dan Bondtech yang menambah toolchanging kepada platform CORE One dan CORE One+. Ia boleh menyokong sehingga lapan alat yang padat dalam satu badan, dengan setiap bahan menerima nozzle dan laluan filament tersendiri.
Tidak seperti Prusa XL yang mempunyai printhead aktif yang lebih besar, INDX menggunakan alat pasif yang lebih kecil. Extruder aktif kekal pada pencetak dan akan mengumpul nozzle yang diperlukan. Kemudian, pemanasan aruhan (induction heating) akan memanaskan alat yang dipilih ke suhu yang sesuai.
Keistimewaan sistem ini yang utama ialah penjimatan ruang. Prusa dan Bondtech boleh memuatkan sehingga lapan laluan filament di dalam badan mesin yang agak padat, tanpa memerlukan mekanisme penggulung filament luaran yang besar.
Sistem ini juga boleh menggabungkan bahan keras dan fleksibel, sokongan boleh larut, dan saiz nozzle yang berbeza. Pesanan kini dibuka, tetapi INDX baru lagi dilancarkan, jadi prestasi jangka panjang mesin ini masih perlu dibuktikan oleh pengguna biasa.

AtomForm Palette 300
AtomForm Palette 300 mengambil salah satu pendekatan paling bercita-cita tinggi dalam kumpulan ini. Berbanding sistem lain yang boleh menggunakan empat ke limat alat atau nozzle, ia menyimpan sehingga 12 nozzle yang boleh ditukar secara automatik.
AtomForm mendakwa pencetak ini boleh menggabungkan sebanyak 12 bahan dan 36 warna dalam satu cetakan. Ia dipasangkan dengan sistem pengeringan dan suapan enam spool, membolehkan lebih banyak warna dibekalkan daripada bilangan spool yang dipegang pada satu masa.
Keistimewaannya yang utama ialah kebolehskalaan. Kebanyakan toolchanger pengguna yang wujud ketika ini membolehkan pengguna menggunakan empat ke lima filament dalam satu masa, sementara Palette 300 ini pula menyasarkan gabungan yang jauh lebih banyak.
Cita-cita tersebut juga menimbulkan persoalan tentang kalibrasi, penyelenggaraan, dan pengurusan perisian. Palette 300 masih berada di peringkat tempahan, jadi kebolehpercayaan dan pengalaman penggunanya belum lagi ditetapkan melalui ujian bebas yang meluas.

Flashforge Creator 5 dan Creator 5 Pro
Siri Flashforge Creator 5 menggunakan empat toolhead FlashSwap bebas. Setiap warna atau bahan kekal dimuatkan dalam nozzlenya sendiri, membolehkan pencetak 3D ini menukar alat tanpa pembuangan purge dalam kuantiti banyak yang digunakan oleh sistem satu nozzle konvensional.
Kedua-dua model menawarkan isipadu binaan 256 x 256 x 256 mm dan kalibrasi berbilang toolhead automatik. Creator 5 Pro menambah rangka berkurung penuh, kebuk berpanas aktif hingga 65°C, dan penapis udara.
Kelebihan utama Creator 5 ialah pada harganya yang mampu milik. Flashforge membawa empat toolhead bebas ke dalam mesin padat yang berharga jauh lebih rendah daripada kategori toolchanger premium terdahulu.
Creator 5 standard kelihatan sesuai untuk cetakan berbilang warna dan bahan campuran biasa, sementara versi Pro lebih relevan untuk bahan kejuruteraan seperti ABS, ASA, PC, dan filament bertetulang.
Namun, ini masih generasi baharu. Kalibrasi automatik, docking alat, dan pengalaman slicer Flashforge perlu kekal konsisten dalam jangka panjang sebelum Creator 5 boleh dianggap boleh dipercayai seperti platform yang lebih lama.

Makertech ProForge 5
ProForge 5 menggunakan sistem toolhead penuh tradisional dan boleh dikonfigurasi dengan sehingga lima printhead bebas. Setiap alat membawa extruder, hotend, dan filament tersendiri.
Makertech menawarkan beberapa konfigurasi, termasuk pakej ProForge 5 Ultra dengan lima printhead, mempunyai penutup, dan kotak filament kering individu.
Keistimewaannya yang utama ialah fleksibiliti untuk pengguna lanjutan. Printhead berasingan membolehkan bahan dan saiz nozzle yang berbeza digabungkan, sementara kawasan binaan mesin yang besar menjadikannya lebih sesuai untuk prototaip kompleks dan komponen berfungsi.
ProForge 5 kurang menumpukan kepada usaha untuk menjadi perkakas rumah yang mudah. Ia lebih besar, lebih mahal, dan kemungkinan besar lebih sesuai untuk pembuat berpengalaman, bengkel, dan pengguna profesional yang menghargai spesifikasi pencetak seperti ini.
Tidak seperti beberapa pengumuman mesin baharu yang lain, ProForge 5 kini boleh dipesan. Namun, jangkauan pasarannya kekal jauh lebih kecil berbanding pencetak dari jenama seperti Bambu Lab, Creality, Prusa, atau Flashforge.

Sovol M1D
Sovol M1D agak unik kerana ia menggabungkan toolchanger dengan sistem gerakan IDEX. Satu carriage menggunakan extruder tetap, sementara extruder yang satu lagi boleh mengumpul toolhead yang berbeza.
Ini membolehkan pencetak menyokong sehingga tujuh warna atau bahan sambil mengekalkan mod salin dan cermin yang biasanya dikaitkan dengan pencetak dwi-extruder bebas. Sovol juga mendakwa mekanisme auto-grip logamnya boleh melengkapkan pertukaran toolhead dalam masa sekitar lima saat.
Reka bentuk hibrid adalah keistimewaan utama M1D. Ia bukan sahaja direka untuk model berwarna-warni, tetapi juga untuk pengeluaran berskala kecil di mana dua bahagian yang sama atau dicerminkan boleh dicetak serentak.
Pencetak dijangka menggunakan perisian berasaskan Klipper dan OrcaSlicer. Namun, ia masih berada di peringkat tempahan dan pra-crowdfunding. Kualiti pengeluaran akhir, jadual penghantaran, dan penyelarasan alat jangka panjangnya masih tidak diketahui.

Creality K3 dengan KliTek
Siri K3 Creality yang akan datang akan memperkenalkan sistem penukar nozzle KliTek. Berbanding pendekatan mengumpul printhead lengkap, mesin menukar pemasangan nozzle yang padat dengan laluan filament tersendiri.
Creality mendakwa pertukaran nozzle di bawah lima saat dan pertukaran warna atau bahan di bawah 15 saat. Syarikat ini juga mempromosikan pembaziran purge yang minima dan kos penggantian hotend yang lebih rendah berbanding menggantikan pemasangan toolhead yang lebih besar.
Antara keistimewaannya yang paling menarik mungkin adalah kebolehannya dalam menangani filament fleksibel. Sistem suapan S-Drive Creality direka untuk menolak dan menarik filament lembut melalui laluan bahan, dengan sokongan yang didakwa untuk TPU selembut 80A.
KliTek juga direka untuk menyokong saiz nozzle yang berbeza dalam satu kerja. Pencetak secara teori boleh menggunakan nozzle lebih kecil untuk dinding luar terperinci dan nozzle lebih besar untuk infill yang lebih pantas.
Teknologi ini dirancang untuk siri K3 yang akan datang, tetapi harga akhir, spesifikasi lengkap, dan data prestasinya masih belum tersedia.

Mengapa Toolchanger Semakin Mendapat Perhatian
Kelebihan sistem ini adalah sangat jelas. Kurang pembaziran purge, masa pertukaran bahan yang lebih pendek, keserasian yang lebih baik dengan filament fleksibel dan bahan sokongan, serta kemungkinan menggunakan saiz nozzle yang berbeza dalam satu cetakan.
Sistem berbilang warna satu nozzle membantu menjadikan cetakan berwarna-warni lebih mudah diakses, tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa sistem ini menggunakan masa yang sangat panjang dan menghasilkan pembaziran filament yang sangat ketara.
Toolchanger memberikan penyelesaian yang mudah dengan memastikan bahan berbeza sedia dalam alat berasingan. Berbanding melalui proses memunggah, memuatkan, dan membilas satu nozzle berulang kali, pencetak secara fizikal memilih alat cetakan lain yang telah disediakan.
Jangkaan pengguna telah berubah dengan cepat. Setiap kali jenama besar mengumumkan mesin flagship baharu, ramai pengguna kini mengharapkan sesuatu bentuk teknologi toolchanging atau penukar nozzle. Apabila produk yang diumumkan itu hanya menggunakan sistem penukaran filament konvensional, kekecewaan sering kelihatan dalam perbincangan komuniti.
Ini tidak bermakna setiap pencetak baharu memerlukan toolchanger. Pencetak bahan tunggal yang boleh dipercayai pada harga berpatutan masih boleh menjadi pilihan yang baik untuk ramai pengguna. Namun, ia menunjukkan betapa cepatnya teknologi ini bergerak dari ciri kejuruteraan khusus kepada sesuatu yang semakin dijangkakan pengguna daripada mesin berbilang bahan premium.

Toolchanger Masih Mempunyai Cabaran Tersendiri
Mengurangkan pembaziran purge tidak secara automatik menjadikan pencetak lebih baik dalam setiap aspek. Toolchanging memperkenalkan komponen mekanikal tambahan, titik docking, dan keperluan kalibrasi yang lebih rumit.
Bahkan ofset kecil antara dua nozzle sahaja sudah boleh mencipta kecacatan yang jelas atau ketepatan dimensi yang rendah. Nozzle yang diletakkan juga perlu dikawal dengan teliti untuk mencegah oozing pada model.
Lebih banyak alat boleh meningkatkan saiz, harga, dan keperluan penyelenggaraan mesin. Hotend gantian juga mungkin lebih mahal atau khusus untuk satu pengeluar.
Sokongan slicer juga tidak kurang pentingnya. Pencetak yang berkebolehan teknikal masih akan menjadi sumber kekecewaan jika penetapan bahan, kawalan suhu alat, dan pelarasan tingkah laku purge atau priming adalah sukar.
Atas sebab ini, toolchanger yang terbaik tidak terhad kepada mesin dengan bilangan alat terbanyak. Kebolehpercayaan, kalibrasi automatik, kualiti perisian, dan sokongan alat ganti mungkin lebih penting daripada spesifikasi utama.
Gambaran Keseluruhan Sistem Toolchanger
| Pencetak | Sistem Penukaran | Alat Maksimum | Keistimewaan Utama | Status (Jun 2026) |
|---|---|---|---|---|
| Original Prusa XL | Toolhead aktif lengkap | 5 | Toolchanger desktop mapan | Tersedia |
| WonderMaker ZR Ultra-S | Toolhead lengkap | 4 | Pendekatan sumber terbuka kos rendah | Peringkat crowdfunding |
| Snapmaker U1 | Toolhead lengkap | 4 | Toolchanger pengguna mudah diakses | Tersedia |
| Bambu Lab H2C | Penukar hotend Vortek | 7 hotend | Ekosistem Bambu automatik | Tersedia |
| Prusa CORE One INDX | Alat pasif padat | Sehingga 8 | Bilangan bahan tinggi dalam pencetak padat | Pesanan dibuka, penghantaran awal |
| AtomForm Palette 300 | Penukar nozzle automatik | 12 | Kapasiti nozzle dan bahan tertinggi | Peringkat tempahan |
| Flashforge Creator 5 Series | Toolhead lengkap | 4 | Harga masuk kompetitif | Tersedia |
| Makertech ProForge 5 | Toolhead lengkap | 5 | Format besar dan penyesuaian | Boleh dipesan |
| Sovol M1D | Toolchanger digabung dengan IDEX | Sehingga 7 | Toolchanging dengan mod salin dan cermin | Tempahan dan pra-crowdfunding |
| Creality K3 dengan KliTek | Penukar nozzle padat | Belum disahkan | Pengendalian TPU dan saiz nozzle campuran | Diumumkan untuk 2026 |
Jadi, Adakah 2026 Tahun Toolchanger?
Mungkin, tetapi dengan satu syarat penting.
2026 kelihatan sebagai tahun toolchanger memasuki perbualan harian bagi peminat pencetak 3D. Pelbagai jenama kini bersaing untuk mengurangkan pembaziran purge, memendekkan pertukaran bahan, dan menjadikan cetakan berbilang bahan lebih praktikal untuk pengguna biasa.
Namun, toolchanger belum menjadi pilihan wajib. Kebanyakan sistem baharu masih agak baru, belum dikeluarkan, atau baru mula sampai ke tangan pelanggan. Kebolehpercayaan jangka panjang belum boleh dinilai dengan cara yang sama seperti generasi pencetak terdahulu yang lebih kukuh.
Kejayaan mereka akan bergantung pada docking yang boleh dipercayai, penyelarasan nozzle yang tepat, sokongan slicer yang baik, alat ganti yang berpatutan, dan sama ada penjimatan masa dan filament yang dijanjikan kekal ketara semasa penggunaan harian biasa.
Bilangan alat sahaja tidak akan menentukan pemenang. Sistem yang mempunyai empat alat mungkin akhirnya lebih berguna daripada mesin yang lebih bercita-cita tinggi dengan lapan atau dua belas alat, jika pencetak tersebut yang lebih mudah lebih senang dikalibrasi dan lebih konsisten digunakan.
Buat masa ini, 2026 mungkin akan diingati sebagai tahun toolchanger berhenti menjadi idea khusus dan sebaliknya berjaya menjadi salah satu arah utama cetakan 3D pengguna.
Nak beli pencetak 3D di Malaysia?
Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.
Lihat direktori →

Pingback: Is 2026 the Year of the Toolchanger 3D Printer? | Domechy