News & Reviews

Snapmaker atau Bambu Lab, Nak Beli Yang Mana?

Harga sama RM3,999, dua mesin yang sangat berbeza. Pandangan jujur saya selepas uji kedua-duanya.

BM EN
  1. Atas Kertas, Kedua-duanya Nampak Seakan Sama
  2. Untuk Siapa Sebenarnya Snapmaker U1 Ini?
  3. Kekurangan 1: Empat toolhead bermakna lebih banyak benda yang boleh rosak
  4. Kekurangan 2: Ekosistem belum sematang Bambu Lab
  5. Kekurangan 3: Pengalaman slicer dan aplikasi
  6. Untuk Siapa Sebenarnya Bambu Lab P2S Ini?
  7. Jangan Lupa Soal Material
  8. Angka Yang Mencetuskan Perbualan Ini
  9. Jadi ketara sangat ke perbezaan ini sebenarnya?
  10. Jadi Yang Mana Patut Anda Beli?
  11. Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Sebelum saya bincangkan dengan lebih mendalam, biar saya jelaskan satu perkara dahulu. Tiada jawapan hitam putih untuk soalan printer mana yang anda patut beli. Sesiapa yang terus kata “beli je X, ia lagi bagus” sebenarnya terlepas pandang satu faktor yang penting. Apakah keutamaan anda yang ingin membeli 3D printer tersebut?

Sekiranya kita mahu bandingkan Snapmaker U1 dengan printer Bambu Lab, adalah lebih adil untuk kita bandingkan dengan model dalam julat harga yang sama.

Pada masa artikel ini ditulis, Snapmaker U1 dijual di Malaysia pada harga sekitar RM3,999. Jadi saya semak pula di penjual atau pengedar sah Bambu Lab di Malaysia, dan printer multi-color yang paling hampir dengan harga itu ialah Bambu Lab P2S Combo, tepat pada harga yang sama, RM3,999. Harga yang sama, jadi mari kita lihat apa yang setiap printer ini boleh lakukan.

Snapmaker U1 dan Bambu Lab P2S Combo bersebelahan

Atas Kertas, Kedua-duanya Nampak Seakan Sama

Sebelum saya kongsikan pandangan peribadi, mari kita lihat kedua-dua mesin ini secara ringkas. Atas kertas, spesifikasinya tidak jauh berbeza.

Spesifikasi Snapmaker U1 Bambu Lab P2S Combo
Harga di Malaysia (semasa artikel ini ditulis) RM3,999 RM3,999
Warna sedia ada 4 4 (melalui AMS 2 Pro)
Build volume ~270 x 270 x 270 mm 256 x 256 x 256 mm
Sistem gerakan CoreXY CoreXY
Suhu nozzle maksimum sehingga 300°C ~300°C
Suhu heated bed maksimum sehingga 100°C sehingga 110°C
Kamera + AI monitoring Ada Ada
Kaedah multi-color 4 toolhead berasingan 1 nozzle + AMS
Enclosure Separa / pasif Enclosed sepenuhnya
Pengeringan filament Tiada AMS 2 Pro, sehingga 65°C
Warna maksimum 4 (tetap) 4, boleh dinaikkan sehingga 24

Angka yang terlibat nampak hampir sama. Tapi cara sebenar setiap mesin ini berfungsi, dan perasaan menggunakannya setiap hari membawa perbezaan yang ketara bagi kedua-dua mesin ini.

Untuk Siapa Sebenarnya Snapmaker U1 Ini?

Bagi saya, Snapmaker U1 dicipta untuk satu kumpulan pengguna yang khusus. Iaitu seseorang yang keutamaan utamanya ialah mencetak model multi-color yang terhad kepada 4 warna, ingin mencetak secepat mungkin, dengan pembaziran filament yang minimum atau langsung tiada. Sekiranya itu ialah anda, dan anda boleh terima kekurangan yang ada, U1 adalah jauh lebih baik berbanding P2S.

Tapi kata kunci di sini adalah “jika anda boleh terima kekurangan yang ada”. Jadi mari kita bincangkan kekurangan itu secara jujur.

Kekurangan 1: Empat toolhead bermakna lebih banyak benda yang boleh rosak

U1 mempunyai 4 toolhead. Maksudnya, sekurang-kurangnya empat kali ganda risiko kegagalan pada bahagian toolhead berbanding mesin yang hanya ada satu toolhead. Dan setiap toolhead U1 ini secara relatifnya lebih kompleks berbanding toolhead Bambu Lab.

Dalam komuniti pengguna Snapmaker U1, saya ada terbaca laporan daripada ahli kumpulan yang mengatakan untuk membaiki toolhead yang tersumbat, anda perlu buka toolhead tersebut, dan di dalamnya terdapat pelbagai skru dari saiz berbeza. Sesetengah pengguna turut melaporkan bahawa panduan rasmi yang diberikan kadangkala kurang membantu, sehingga mereka terpaksa mencari jalan penyelesaian sendiri.

Ini memberikan gambaran bahawa untuk hidup selesa dengan Snapmaker U1 ini, adalah sangat penting untuk anda ada skill mekanikal yang baik dan keyakinan untuk membaiki mesin sendiri. Sekiranya tidak, anda mungkin terpaksa bergantung kepada orang lain untuk memperbaiki printer anda bila berlaku kerosakan, yang susah tentu mengambil masa dan wang.

Toolhead snapmaker U1

 

Kekurangan 2: Ekosistem belum sematang Bambu Lab

Library model percuma untuk U1 mempunyai jumlah model menarik yang agak terhad berbanding MakerWorld. Namun begitu, ini bukanlah masalah besar, kerana anda boleh sahaja download model dari MakerWorld atau mana-mana laman web lain dan mencetaknya menggunakan Snapmaker U1.

Tapi anda hilang kemudahan untuk klik “print” tanpa perlu fikir panjang tentang slicing profile atau parameter. Dalam ekosistem yang lebih matang, banyak perkara itu sudah disediakan untuk anda. Pada U1, anda perlu mempunyai kemahiran atau pengetahuan sendiri bagaimana untuk menetapkan parameter terbaik bagi setiap model cetakan.

Kekurangan 3: Pengalaman slicer dan aplikasi

Bercakap soal slicing, Snorca slicer dilaporkan juga tidak selancar pesaingnya. Ia boleh berfungsi, tapi sesetengah pengguna melaporkan gagal menghantar fail untuk print beberapa kali sebelum akhirnya berjaya. Hubungan antara software PC dan aplikasi di telefon pintar juga bukanlah yang terbaik.

Skrin snorca slicer kelihatan kosong pada device tab meskipun bersambung dengan mesin

Tiada satu pun daripada kekurangan ini yang menjejaskan kualiti cetakan secara langsung. Hasil cetakan anda masih boleh keluar dengan cantik. Apa yang terjejas ialah pengalaman penggunaan secara keseluruhan, kelancaran menggunakan mesin ini dari hari ke hari.

Jadi sekali lagi, sekiranya keutamaan anda semata-mata untuk mencetak 4 warna secepat mungkin dengan waste yang minimum atau langsung tiada, dan anda tidak kisah dengan tradeoff ini, U1 memang hebat.

Untuk Siapa Sebenarnya Bambu Lab P2S Ini?

Sekarang mari kita terbalikkan pula. Sekiranya anda seorang yang suka mencetak tapi tidak terlalu kerap, dan anda utamakan kemudahan serta ketenangan fikiran ketika mencetak, maka P2S jelas pilihan yang lebih baik.

Di MakerWorld ada banyak model menarik yang boleh anda cetak dengan satu klik sahaja. Segalanya sync dengan lancar antara aplikasi telefon, slicer PC, dan printer itu sendiri. Dalam penggunaan saya sendiri, jarang sekali saya alami delay atau glitch antara ketiga-tiganya. Saya boleh buka telefon bila-bila masa, dan saya nampak tepat apa yang software laptop saya akan tunjukkan. Perasaan “semuanya berfungsi tanpa masalah” itu sebenarnya sangat bernilai.

Reka bentuk toolhead-nya juga secara relatifnya lebih ringkas. Sekiranya ia tersumbat, tidak banyak usaha diperlukan untuk keluarkan nozzle dan bersihkan atau gantikannya. Komuniti penggunanya juga sangat besar. Sekiranya anda hadapi sebarang masalah, anda boleh bertanya dan dapat banyak maklum balas tentang cara menyelesaikannya.

P2S dengan AMS 2 Pro dalam proses cetakan

Tapi sudah tentu, P2S pun ada kekurangannya sendiri. Berbanding U1, ia hanya ada satu toolhead dengan satu nozzle. Jadi untuk kerja multi-color, masa cetakan jauh lebih lama, dan yang lebih teruk, filament waste meningkat dengan banyak. 

Jangan Lupa Soal Material

Kelajuan dan pembaziran sentiasa menjadi topik utama perbincangan, tapi jenis material yang setiap printer boleh kendalikan juga menentukan ia sesuai untuk siapa. Bahagian ini mudah untuk kita terlepas pandang sehinggalah kita cuba untuk cetak bahan yang lebih mencabar.

Untuk bahan harian, kedua-dua mesin boleh mengendalikannya dengan baik. PLA, PETG, TPU, tiada masalah pada mana-mana satu.

Perbezaan mula kelihatan apabila anda beralih kepada bahan yang lebih tinggi suhunya atau lebih mudah warp, seperti ABS, ASA, PC atau nylon. P2S mempunyai penutup penuh, jadi chamber-nya memerangkap haba dan membantu mengurangkan risiko bahan-bahan ini daripada warp dan retak sewaktu cetakan. Enclosure U1 pula lebih bersifat separa dan pasif, jadi secara default ia kurang sesuai dengan bahan yang lebih mencabar ini. Sekiranya kerja anda cenderung kepada functional part atau bahagian kejuruteraan, enclosure ini memang penting.

P2S juga ada satu kelebihan di sini. AMS 2 Pro secara aktif mengeringkan filament anda sehingga 65°C ketika ia berada dalam keadaan loaded. Untuk bahan yang mudah menyerap lembapan seperti nylon, TPU dan juga PETG, perkara ini memberi kesan sebenar kepada kualiti cetakan. U1 pula tiada sistem pengeringan, jadi anda perlu fikir soal kelembapan sendiri menggunakan dryer atau dry box berasingan.

Dan sekiranya suatu hari nanti anda ingin cetak lebih daripada 4 warna, hanya P2S yang boleh mencapainya. Anda boleh gabung beberapa unit AMS tambahan sehingga 24 warna. U1 pula tetap pada 4 toolhead-nya.

Sudut material Snapmaker U1 Bambu Lab P2S
PLA, PETG, TPU Boleh Boleh
ABS, ASA, PC, nylon Boleh, enclosure lebih lemah Lebih baik, enclosed sepenuhnya
Pengeringan filament Urus sendiri Terbina, sehingga 65°C
Melebihi 4 warna Tidak boleh Boleh, sehingga 24

Namun begitu, tidak bermaksud U1 tiada kelebihan dalam soal material cetakan. Malah, ia mempunyai satu kelebihan yang cukup baik. Oleh kerana ia mempunyai 4 toolhead yang berasingan, setiap satu dengan nozzle sendiri, anda boleh menggunakan material yang berbeza dalam satu cetakan tanpa ia berkongsi nozzle langsung. Tiada cross-contamination, tiada purge untuk keluarkan satu material sebelum masuk yang seterusnya. Pada mesin single nozzle seperti P2S, semuanya perlu melalui hotend yang sama, jadi cetakan multi-material sebenar jadi lebih menyusahkan dan risiko untuk nozzle tersumbat adalah lebih tinggi. Jadi sekiranya multi-material yang bersih itu keutamaan anda, U1 sebenarnya adalah lebih baik dalam soal ini.

Angka Yang Mencetuskan Perbualan Ini

Inilah bahagian yang benar-benar penting, jadi biar saya kongsikan hasil cetakan saya sendiri.

Beberapa minggu lepas, saya ada menulis artikel memperkenalkan U1, di mana saya bandingkan model yang sama dicetak pada U1 dan P2S. U1 siap dalam masa 3.5 jam. P2S pula mengambil masa lebih daripada 11 jam. Saya tidak ukur pembaziran filament ketika itu, tapi perbezaannya boleh dilihat dengan mata kasar.

Kali ini saya cetak model panda 4 warna untuk bandingkan sekali lagi. Beberapa bulan lepas, saya pernah kongsikan satu artikel yang menunjukkan hasil cetakan model panda 4 warna dalam P2S. P2S mengambil masa lebih kurang 9 jam 34 minit untuk mencetak model itu. Kali ini, U1 mencetak model yang sama dalam masa 2 jam 13 minit sahaja. Dan pembaziran filament-nya? U1 pada asasnya purge 0 gram sepanjang proses cetakan, berbanding 172 gram waste pada P2S.

Untuk berlaku adil sepenuhnya, U1 memang ada purge sedikit filament ketika loading, sebelum cetakan bermula. Saya lampirkan perbandingan visual supaya anda boleh lihat sendiri.

Perbandingan pembaziran filament, purge loading U1 di sebelah timbunan purge 172g P2S

Ini perbandingan untuk model panda:

Model panda (4 warna) Snapmaker U1 Bambu Lab P2S
Masa cetakan 2j 13m 9j 34m
Filament purge semasa cetakan ~0 g 172 g

Jadi ketara sangat ke perbezaan ini sebenarnya?

Untuk model kecil seperti panda ini pun, P2S sudah purge 172 gram waste filament.

Sekarang mari kita buat kiraan untuk cetakan yang sedikit lebih besar. Katakan anda mencetak sesuatu yang purge 300 gram waste sepanjang proses. Andaikan 1 kg filament berharga sekitar RM50, jadi 300 gram itu bermakna RM15 dibuang terus dalam bentuk purge waste sahaja, untuk satu cetakan.

Cetak 100 kali, dan anda sudah membuang sekitar RM1,500 dalam purge waste sahaja. Itulah kepentingan sebenar yang dibawa oleh toolchanger dalam perbualan ini. Ia bukan sekadar lebih laju. Dari masa ke masa, ia benar-benar boleh menjimatkan wang anda dalam kos filament.

Jadi Yang Mana Patut Anda Beli?

Saya takkan sesekali beritahu sesiapa “X lagi bagus dari Y, beli je X”. Itu bukan tugas saya, dan ia tidak adil kepada anda.

Apa yang saya percaya, orang ramai berhak tahu kelebihan dan kelemahan sebenar setiap printer, kemudian buat keputusan sendiri yang mana lebih hampir dengan keutamaan masing-masing.

Sekiranya anda kerap mencetak multi-color, mahukan ia laju, tidak suka membazir filament, tertarik dengan idea cetakan multi-material yang bersih, dan anda selesa mengotorkan tangan bila ada benda rosak, Snapmaker U1 ialah mesin yang cukup baik untuk anda.

Sekiranya anda mencetak secara santai, cenderung kepada bahan bersuhu tinggi atau bahan kejuruteraan, mengutamakan kemudahan, ekosistem yang matang, cetakan satu klik dan ketenangan fikiran lebih daripada kelajuan multi-color semata-mata, Bambu Lab P2S Combo ialah mesin yang lebih mudah untuk anda hidup dengannya.

Harga yang sama, namun kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang berbeza.

Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru

Get new Domechy articles, guides and free models straight to your inbox.

Komen 2

Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.

2 Komen

  1. imanrizki 17 jam lalu

    Terima kasih atas perkongsian yang baik dan adil

    • Ridzwan Normahazan 17 jam lalu

      terima kasih atas maklum balas

Scroll to Top