Ridzwan Normahazan
written on 22 May 2026
Review Bambu Lab X2D Selepas 2 Minggu: Lebih Laju, Kurang Pembaziran, Tapi Untuk Siapa?
Sekitar dua minggu yang lalu, saya menerima Bambu Lab X2D untuk saya uji dan kongsikan pendapat saya berkenaan 3d printer ini. Sejak itu, saya memang kerap menggunakannya untuk beberapa jenis cetakan, terutama cetakan pelbagai warna dan bahan.
Dalam masa yang sama, saya juga menerima banyak soalan daripada pengikut Facebook saya tentang X2D. Jadi dalam artikel ini, saya nak kongsikan pengalaman awal saya selepas dua minggu menggunakannya, sambil menjawab beberapa soalan yang paling ramai tanya dan berkongsi pendapat saya tentang siapa yang sesuai menggunakan printer ini.
Pengalaman Awal Menggunakan X2D
Sebelum saya menerima X2D berkenaan, saya telah mengguna Bambu Lab P2S selama beberapa bulan. Jadi saya ada titik perbandingan yang jelas antara dua printer ini.
Perkara pertama yang boleh saya kongsikan secara jujur, dalam dua minggu ni saya lebih kerap mengunakan X2D berbanding P2S. Mungkin ada faktor bias kerana printer baru, tapi sejujurnya saya rasa seronok menggunakan X2D ini kerana faktor kelajuan dan mudah gunanya.
Perbezaan yang paling ketara antara X2D dan P2S adalah dari segi masa cetakan dan pembaziran filament, terutama bila kita cetak model dua warna sahaja. Untuk perbandingan yang adil, saya cetak model panda yang sama menggunakan kedua-dua printer. Mulanya saya cetak menggunakan dua warna sahaja untuk melihat perbezaan maksimum, kemudian saya cetak menggunakan 4 warna untuk lihat apa perbezaan apabila nozzle utama X2D perlu mengeluarkan purge waste seperti biasa.
Printer | Warna | Masa Cetakan | Pembaziran Filament |
Bambu Lab X2D | 2 warna | lebih kurang 1h 49m | ~12g (tower sahaja, purge hampir sifar) |
Bambu Lab P2S | 2 warna | lebih kurang 4h 1m | ~68g (purge + tower) |
Bambu Lab X2D | 4 warna | lebih kurang 7h 37m | ~107g |
Bambu Lab P2S | 4 warna | lebih kurang 9h 34m | ~172g |
Nilai pembaziran adalah berdasarkan anggaran dari slicer. Nilai sebenar mungkin berbeza sedikit. Gambar di bawah pun mungkin tidak menunjukkan 100% jumlah pembaziran sebenar kerana ada yang mungkin jatuh sebelum gambar diambil.
Seperti yang boleh kita lihat dalam jadual di atas, perbezaan masa cetakan sangat ketara, lebih dua kali ganda lebih laju untuk 2 warna. Pembaziran filament X2D juga jauh lebih sedikit kerana sistem dual nozzle membolehkan pertukaran warna yang lebih cekap. Untuk 2 warna, X2D hampir tiada langsung purge waste, hanya beberapa biji ketulan yang terhasil semasa pemanasan awal sahaja.
Untuk 4 warna pula, perbezaan masa tidak se-ekstrem 2 warna, tapi X2D masih lebih pantas dan menghasilkan pembaziran yang lebih sedikit berbanding P2S.
Isu Kecil Yang Muncul Semasa Ujian
Meskipun saya sangat suka menggunakan Bambu Lab X2D setakat ini, tapi ia tidak bermakna segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Dalam cetakan pertama saya, saya perasan ada kepingan kecil filament hitam terselit dalam bahagian yang sepatutnya berwarna kuning. Kemungkinan besar ia disebabkan sisa filament hitam dari nozzle kedua yang terlekat semasa nozzle utama sedang mencetak bahagian kuning. Apabila saya cetak kali kedua, masalah ini tidak berulang. Jadi saya rasa ini adalah kejadian kecil dan bukan masalah berterusan printer tersebut.
Saya juga cuba mencetak model octopus yang berwarna-warni. Cetakan pertama, salah satu sesungut tidak melekat dengan baik pada plat cetakan dan menyebabkan kerosakan ketika proses cetakan. Tapi bahagian lain cetakan itu masih cukup cantik. Bila saya cuba cetak sekali lagi, kali ini ia melekat dengan sempurna dan hasilnya memuaskan.
Selepas beberapa cetakan lain, semuanya menghasilkan kualiti yang bagus sama ada menggunakan nozzle utama atau nozzle kedua. Jadi besar kemungkinan dua kegagalan yang saya hadapi tadi merupakan kes terpencil sahaja. Namun ia tidak bermaksud kita perlu menutup mata terhadap risiko kegagalan printer ini. Secara keseluruhannya, Bambu Lab X2D masih dikira sangat konsisten dan mampu menghasilkan cetakan yang cantik. Namun sekiranya kita mengambil berat berkenaan kegagalan kecil yang berlaku di awal ujian, boleh saya katakan Bambu Lab P2S lebih konsisten dalam menghasilkan cetakan tanpa masalah.
Prestasi Nozzle Kedua X2D
Ramai dalam komuniti 3D printing yang sangat ragu-ragu tentang nozzle kedua X2D. Sebabnya, nozzle kedua ni menggunakan sistem bowden drive, bukan direct drive macam nozzle utama. Lazimnya, bowden drive dikaitkan dengan kualiti cetakan yang lebih rendah.
Tapi selepas dua minggu menguji sendiri, saya boleh katakan keraguan tu tidak berasas, sekurang-kurangnya untuk penggunaan biasa.
Bila saya letak bahagian yang dicetak oleh nozzle utama dan nozzle kedua sebelah menyebelah, saya hampir tidak dapat bezakan antara keduanya. Malah bila saya bandingkan pula dengan cetakan dari P2S, kualiti ketiga-tiganya sangat hampir.
Bambu Lab sendiri mengiklankan nozzle kedua lebih kepada cetakan sokongan berbeza bahan untuk memudahkan penanggalan dan meningkatkan kualiti. Tapi berdasarkan ujian saya, ia juga boleh digunakan untuk cetakan biasa tanpa penurunan kualiti yang ketara, selagi penggunaannya tidak terlalu ekstrem.
Cetakan Disambung Selepas Filament Habis
Satu pengalaman menarik berlaku semasa saya mencetak mainan multicolor yang lebih kompleks. Di tengah-tengah cetakan, salah satu filament habis dan printer berhenti selama beberapa jam ketika saya tiada di rumah. Bila saya pulang, saya gantikan filament tersebut dan sambung semula cetakan.
Pada awalnya saya agak risau akan ada kesan lapisan yang jelas kerana cetakan terhenti terlalu lama. Tapi hasil akhirnya mengejutkan saya. Cetakan itu keluar dengan sangat cantik, tanpa kesan pause layer yang ketara.
Q&A Berkenaan Bambu Lab X2D
Beberapa minggu lepas saya ada membuka ruang soalan kepada pengikut Facebook page saya berkenaan Bambu Lab X2D ini. Di sini saya akan menjawab soalan-soalan berkenaan.
Berapa harga X2D di Malaysia?
Setakat artikel ini ditulis, harga X2D di Malaysia bermula sekitar RM3,499, manakala X2D Combo sekitar RM4,599, bergantung kepada kedai dan promosi semasa.
X2D atau H2C, mana lebih bagus?
Ini soalan yang ramai tanya, dan jawapannya bergantung kepada apa yang korang nak cetak.
H2C adalah printer kelas lebih tinggi dengan harga jauh lebih mahal, sekitar USD2,399 atau lebih kurang RM11,000. Perbezaan utama adalah pada sistem Vortek yang ada dalam H2C.
H2C menggunakan sistem Vortek Hotend Change System, di mana hotend/nozzle boleh ditukar semasa cetakan. Untuk kombinasi tertentu, sistem ini boleh mengurangkan atau hampir menghapuskan purge waste berbanding sistem AMS biasa.
X2D pula ada dua nozzle tetap. Nozzle utama menggunakan direct drive yang boleh menukar warna melalui AMS, manakala nozzle kedua disambungkan secara kekal kepada satu filament luar. Pembaziran filament masih wujud bila menukar warna, tapi jauh lebih sedikit berbanding P2S.
Ringkasnya, H2C sesuai untuk korang yang banyak mencetak model berbilang warna dalam jumlah tinggi dan mahu pembaziran filament yang minimum. X2D lebih sesuai untuk kebanyakan pengguna biasa yang mahukan cetakan dua bahan atau dua warna dengan harga yang lebih berpatutan.
Macam mana sistem dua nozzle X2D berfungsi?
Nozzle utama X2D adalah direct drive extruder yang berfungsi seperti printer Bambu Lab biasa. Ia boleh menukar filament melalui AMS untuk cetakan berbilang warna.
Nozzle kedua pula disambungkan secara kekal kepada satu filament melalui sistem bowden dari luar printer. Nozzle ini tidak boleh menukar filament semasa cetakan. Fungsi utama yang Bambu Lab cadangkan adalah untuk mencetak sokongan berbeza bahan supaya sokongan lebih mudah ditanggalkan dan kualiti bahagian sebenar lebih baik.
Tapi berdasarkan ujian saya, nozzle kedua juga boleh digunakan untuk cetakan biasa dengan kualiti yang memuaskan.
Adakah X2D sesuai untuk suri rumah?
Soalan yang menarik dan saya nak jawab dengan jujur.
Dari segi penggunaan harian, ya, ia mudah. Malah kanak-kanak pun boleh diajari untuk menggunakannya jika diajar langkah demi langkah. Bambu Lab memang mereka bentuk printer diorang supaya senang digunakan.
Tapi kebimbangan saya adalah bila sesuatu berlaku. Bayangkan nozzle tersumbat. Untuk seseorang tanpa latar belakang teknikal, adakah mereka yakin untuk menyelesaikan masalah pada struktur nozzle X2D yang lebih kompleks berbanding printer biasa?
Jadi jawapan saya, X2D sesuai untuk suri rumah dari segi penggunaan harian. Tapi untuk menangani masalah teknikal apabila ia berlaku, mungkin perlu ada seseorang yang boleh dipanggil untuk membantu.
X2D atau X2D Combo, mana patut dipilih?
Pilihan ni bergantung kepada apa yang korang nak cetak.
Kalau cetakan berbilang warna bukan keutamaan korang, X2D tanpa AMS sudah mencukupi. Dengan sistem dual nozzle, korang masih boleh mencetak sehingga 2 warna atau 2 bahan berbeza tanpa AMS. Ini sesuai untuk korang yang banyak mencetak bahagian praktikal seperti aksesori robotik, atau bahagian geometri kompleks yang memerlukan sokongan berbeza bahan.
Tapi kalau korang nak mencetak mainan berwarna-warni, aksesori menarik, atau apa-apa yang melibatkan banyak warna, saya cadangkan pertimbangkan X2D Combo atau bahkan P2S Combo yang harganya lebih rendah.
Pandangan Awal Saya Selepas 2 Minggu
Setakat minggu bersama X2D, saya benar-benar menikmati pengalaman menggunakannya. Peningkatan dari P2S cukup ketara terutama dari segi kelajuan dan kecekapan penggunaan filament untuk cetakan dua warna dan cetakan pelbagai bahan.
Ada beberapa masalah kecil yang saya hadapi pada awal penggunaan, tapi selepas itu printer ni menunjukkan prestasi yang konsisten dan memuaskan. Selain daripada masalah yang saya nyatakan di atas, saya langsung tidak menghadapi sebarang kegagalan lain sepanjang menggunakan printer ini.
Tapi perlu dinyatakan bahawa saya masih belum menguji sepenuhnya semua keupayaan printer ni terutama dengan bahan-bahan lebih mencabar. Nantikan artikel seterusnya untuk ulasan yang lebih mendalam.
Nota: Unit X2D ini disediakan oleh Bambu Lab untuk tujuan ulasan, tetapi pandangan dalam artikel ini berdasarkan pengalaman penggunaan saya sendiri.