Walid Bin Wajdy
Ditulis pada 5 Jun 2026
Dua minggu yang lalu, saya menerima sebuah mesin pencetak 3D Flashforge AD5X dari salah satu kedai 3D printing di Johor Bahru untuk pakai dan review dalam tempoh sebulan. Dalam tempoh ini, saya banyak memakainya untuk test print model-model 3D yang pernah saya print di mesin Creality Ender 3 V2 saya sebelum ini untuk buat perbandingan pengalaman dalam cetakan 3D walaupun saya tahu kedua-dua mesin pencetak 3D ini dari generasi yang berbeza.
Jadi, ini adalah perkongsian pengalaman peribadi saya dalam menggunakan AD5X buat pertama kali.
Spesifikasi Ringkas AD5X
| Spesifikasi | Details |
|---|---|
| Harga | RM 1582.63 (harga semasa artikel ini ditulis) |
| Jenis Pencetak | FDM, All-metal CoreXY |
| Build Volume | 220 x 220 x 220 mm |
| Kelajuan Maksimum | 600 mm/s |
| Sistem Pelbagai Warna | 4 Color Printing, TPU printable |
| Suhu Nozzle Maksimum | 300°C |
| Suhu Heated Bed Maksimum | 110°C |
| Display | 4.3-inch Touchscreen |
Setup Mesin AD5X
Pertama sekali ketika setup mesin AD5X, saya dapati sangat mudah untuk load filament ke dalam mesin; saya hanya letak filament ke spool holder yang secure, kemudian masukkan filament ke dalam ruangan tiub dan mesin itu akan detect dan tarik filament secara automatik sehingga habis loading.
Ini berbeza daripada pengalaman saya perlu tolak filament secara manual hingga ke nozzle. Saya ulang proses ini untuk kesemua 4 ruangan tiub dengan 4 filament berbeza.
Saya perasan ada satu ruangan tiub yang masih tertinggal sedikit baki filament di dalamnya, jadi saya cuba tekan icon ‘unload’ pada touchscreen mesin AD5X ini dan ia keluarkan kesemua baki filament sampai habis, barulah masukkan filament baru.
Memandangkan saya langsung tidak baca manual untuk setup mesin ini dan hanya tengok video pendek cara orang lain sediakannya, bagi saya mudah prosesnya dan tidak banyak kerja manual yang perlu dilakukan berbanding unboxing Ender 3 V2.
Belajar Slicer Baru: Orca Flashforge
Selepas mesin sudah disediakan, saya teruskan kepada pemilihan model 3D dan proses slicing.
Saya muat turun aplikasi Orca Flashforge iaitu aplikasi slicer khas daripada Flashforge. Dari segi user interfacenya (UI), tidak banyak beza daripada aplikasi 3D yang lain, jadi mudah untuk laraskan tetapan seperti infill density, enable support, dan printing speed di bawah bahagian ‘prepare’.
Menariknya, saya boleh sambungkan mesin AD5X secara atas talian dengan aplikasi slicer Orca Flashforge menggunakan WiFi rumah sahaja. Dengan cara ini, selepas proses slicing, saya boleh hantar fail 3D kepada mesin pencetak 3D dan terus cetak.
Ini menjimatkan banyak masa dan tenaga daripada perlu lalui proses yang banyak seperti export fail .gcode, copy paste ke dalam SD card dan cucuk pada mesin pencetak 3D secara manual.
Pelarasan Automatik Mesin Pencetak 3D
Selepas mesin AD5X menerima fail 3D yang ingin dicetak, ia akan membuat pelarasan sendiri sebelum mencetak objek, khususnya auto bed leveling.
Bagi anda yang pernah lalui zaman 3D printing 5 tahun lepas, anda tahu betapa lecehnya melaraskan print bed supaya ia berada pada posisi yang rata untuk dapatkan cetakan 1st layer yang bagus. Apabila mesin ini mampu lakukan bed leveling secara automatik, ia sangat memudahkan proses keseluruhan cetakan 3D.
Walaupun features auto bed leveling ini boleh ditambah pada mesin Ender 3 V2, saya perlu beli alat tambahan BL Touch dan skru pada bahagian kepala nozzle, semuanya memerlukan tambahan masa, tenaga, dan duit.
Bilamana features ini datang bersama mesin secara default, ia memberikan pengalaman yang jauh lebih beginner-friendly pada mereka yang baru ingin menceburi bidang cetakan 3D.
Hasil Cetakan dan Perbandingan Pengalaman
Dengan sistem CoreXY mesin AD5X, sudah semestinya proses dan hasil cetakan lebih bagus daripada mesin yang menggunakan sistem bed slinger.
Di sini saya ingin menunjukkan perbandingan hasil cetakan model 3D yang pernah dicetak pada mesin Ender 3 V2 saya sebelum ini bagi berkongsi kekaguman saya menggunakan mesin pencetak 3D CoreXY buat pertama kali. Segala tetapan, saiz model, dan infill density juga sama seperti yang saya slice sebelum ini.
Ujian 1: Model 3D Kepala Figura (Monster Head dan Boy Head)
Saya dapat berkolaborasi dengan salah seorang pembuat model 3D tempatan melalui platform media sosial Threads dengan username @kurookundesu. Beliau mempunyai beberapa hasil kerja model 3D tetapi tiada mesin pencetak 3D, jadi saya hubungi beliau dan sudi mencetak modelnya.
Pertama, saya mencetak model 3D monster head. Cetakan sebelah kiri adalah hasil AD5X warna Mint Green, dan cetakan sebelah kanan adalah hasil Ender 3 V2 warna putih.
| Cetakan Model 3D Monster Head | ||
|---|---|---|
| Mesin | Tempoh Masa Cetakan 3D | Filament Digunakan (g) |
| AD5X | 1 jam 45 minit | 36 gram |
| Ender 3 V2 | 5 jam | 21 gram |
Perbezaan ketara antara penggunaan kedua-dua mesin pencetak 3D adalah tempoh masa cetakan. Mesin AD5X mencetak model 3D monster head dalam masa 1 jam 45 minit sahaja walaupun jumlah filament yang digunakan adalah sebanyak 36 gram, melebihi daripada cetakan pada mesin Ender 3 V2 yang menggunakan hanya 21 gram namun memerlukan masa cetakan jauh lebih lama iaitu 5 jam (lebih 2 kali ganda tempoh masa).
Saya perhatikan AD5X menggunakan lebih banyak filament kerana ketumpatan dan kawasan penghasilan supports lebih tinggi. Kemungkinan besar kerana slicer Orca Flashforge dapat membaca fail model 3D lebih terperinci berbanding slicer Ultimaker Cura yang saya gunakan ketika mencetak pada Ender 3 V2.
Dari segi kualiti, cetakan AD5X juga lebih licin permukaannya serta bahagian supports lebih mudah ditanggalkan.
Kedua, saya mencetak model 3D boy head pula. Cetakan sebelah kiri adalah hasil AD5X warna Cream Yellow, dan cetakan sebelah kanan adalah hasil Ender 3 V2 warna putih.
| Cetakan Model 3D Boy Head | ||
|---|---|---|
| Mesin | Tempoh Masa Cetakan 3D | Filament Digunakan (g) |
| AD5X | 1 jam 20 minit | 32 gram |
| Ender 3 V2 | 4 jam 50 minit | 25 gram |
Perbandingan hasil tetapan cetakan model 3D boy head juga serupa; mesin AD5X mencetak boy head dalam masa 1 jam 20 minit sahaja dengan 32 gram filament berbanding mesin Ender 3 V2 yang mencetak dalam masa 4 jam 50 minit dengan 25 gram filament.
Sama juga, AD5X lebih tinggi penggunaan filament hasil ketumpatan penggunaan supports yang lebih tinggi.
Kualiti permukaan cetakan AD5X lebih tinggi walaupun lebih banyak bahan supports digunakan ketika proses slicing.
Ujian 2: Retroid Pocket 5 Comfort Grip Case
Satu penggunaan praktikal dunia sebenar yang saya cuba uji kaji ialah tahap kekuatan cetakan iaitu dengan mencetak pemegang dan tempat letak konsol permainan (handheld gaming console).
Model 3D Retroid Pocket 5 Comfort Grip Case ini dibeli secara atas talian, kemudian saya cetak menggunakan filament PETG.
Tempoh masa cetakan sekitar 3 jam 35 minit, dan jumlah filament digunakan sekitar 100 gram sahaja dengan infill density sebanyak 10%.
Hasil cetakan ini sudah digunakan selama 2 minggu dan masih berfungsi dengan baik tanpa retakan ataupun patah, menunjukkan ketahanan kuat dan kualiti permukaan licin.
Multicolor Printing
Features utama mesin AD5X adalah kebolehannya mencetak objek dalam pelbagai warna.
Ini kali pertama saya membuat multi-color printing, jadi saya ambil masa sedikit untuk belajar bagaimana untuk laksanakannya. Dalam sebuah video pendek di YouTube akaun rasmi Flashforge, mereka tunjuk cara mengaplikasikan cetakan pelbagai warna dalam aplikasi slicer Orca Flashforge iaitu dengan menggunakan paint tool untuk buat ‘selective painting’ bagi menandakan kawasan model 3D yang kita mahukan cetakan warna lain.
Penggunaan paint tool ini tidak berapa rumit bagi saya tetapi masih ambil masa untuk biasakan.
Untuk cetakan pelbagai warna, saya gunakan dua warna iaitu Imitated Wood dan Taro Purple, kedua-duanya adalah bahan PLA. Model 3D yang digunakan ialah Yoru Mask, tempoh masa cetakan ialah 13 jam 34 minit yang menggunakan filament sebanyak 115 gram.
Kualiti hasil cetakan ini nampak sangat baik, licin permukaan dan hanya ada sedikit bahagian yang kasar di sebelah dalam.
Waktu ini, saya baru perasan ‘filament poop’ iaitu sisa-sisa filament dibuang oleh mesin di bahagian belakang, jadi saya tidak berkesempatan untuk mengukur berapa banyak sisa filament yang terbuang dalam setiap cetakan model 3D.
Isu Kecil Yang Muncul Semasa Ujian
Walaupun pengalaman saya sepanjang menggunakan mesin AD5X ini baik, terdapat isu yang mengelirukan saya. Salah satunya ialah kekeliruan penggunaan aplikasi FlashMaker iaitu aplikasi telefon pintar yang boleh disambungkan pada mesin pencetak 3D.
Sewaktu saya cuba scan QR mesin melalui aplikasi tersebut, ada masalah yang menyebabkan tidak dapat disambung. Jadi, saya cuma sambungkan aplikasi slicer Orca Flashforge pada komputer dengan mesin AD5X melalui LAN connection.
Selepas berjaya mencetak objek, baru saya faham aplikasi FlashMaker bukanlah keperluan untuk buat cetakan 3D dan hanya optional sahaja.
AD5X: Berbaloi Atau Tidak?
Pada pandangan saya sebagai pengguna kali pertama pencetak 3D CoreXY, mesin pencetak AD5X sangat sesuai untuk beginner / mereka yang baru nak ceburi bidang 3D printing. Ini kerana hasil tetapan default mesin ini, pengguna baru hanya perlu tekan butang ‘print’ sahaja untuk dapatkan hasil cetakan yang berkualiti baik tanpa perlu menukar apa-apa tetapan.
Jika pengguna kali pertama keliru bagaimana menggunakan skrin user-interface mesin tersebut atau keliru menggunakan aplikasi Orca Flashforge, terdapat video YouTube pendek yang memberi penerangan jelas, mudah difahami dan mudah diikuti.
Harga RM 1582.63 juga adalah entry-point yang berbaloi untuk pengguna mesin pencetak 3D baru yang menggunakan sistem CoreXY serta mempunyai features multi-color printing.
Kesimpulan
Selepas menggunakan mesin pencetak 3D Flashforge AD5X dalam tempoh 2 minggu, pandangan awal saya terhadap mesin ini positif dari segi tahap kemudahan menggunakannya. Dari proses penyediaan mesin dan filament, penggunaan aplikasi slicer Orca Flashforge, hingga ke multi-color printing, semuanya mudah dipelajari dan tidak berapa rumit.
Cumanya, mesin ini mempunyai build volume yang agak kecil iaitu 220 x 220 x 220 mm, jadi ia sesuai bagi mereka yang ingin mencetak 3D barangan bersaiz kecil hingga sederhana sahaja. Cetakan 3D bersaiz besar tidak berapa sesuai dibuat oleh mesin AD5X. Sistem multi-color printing juga membuatkannya sesuai untuk mereka yang khususnya ingin mencetak objek dalam pelbagai warna.
Namun, ini hanyalah pandangan awal peribadi saya. Antara uji kaji yang belum saya buat ialah multi-material printing, khususnya mencetak sebuah objek yang bercampur bahan filament PLA dan PETG. Filament TPU juga dikatakan boleh dicetak menggunakan mesin ini.
Oleh itu, penulisan seterusnya saya akan memberikan pandangan bagi multi-material printing pula.
Nota: Segala isi yang ditulis dalam artikel ini adalah pandangan saya sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan oleh pihak Flashforge.
Baca review pandangan awal berkenaan Bambu Lab X2D Combo di sini.
Nak beli pencetak 3D di Malaysia?
Kami telah menyusun senarai kedai 3D printing, pembekal filament, dan penyedia servis di seluruh Malaysia.
Lihat direktori →