Bambu Lab baru sahaja memberikan satu teaser berkenaan mesin terbaru daripada mereka, dan kali ini nampaknya Bambu Lab tidak lagi melancarkan 3D printer.
Imej teaser tersebut menunjukkan satu mesin baru bernama Bambu Lab R1, dengan tagline: “More power. More materials. A new Ray of making. Coming September.”
Buat masa ini itu sahaja info yang diberikan, jadi masih tidak banyak yang kita ketahui berkenaan masin baru ini. Namun menurut ahli komuniti di reddit, Bambu Lab telah memberikan klu di laman web rasmi R1 mereka, yang menerangkan mesin ni sebagai:
“Meet Bambu Lab R1, the first laser engraver and cutter from Bambu Lab that helps you create with more materials. From 3D printing to laser, we’re building your personal manufacturing hub. Coming soon.”
Jadi meskipun info daripada imej teaser tersebut agak terhad, satu perkara yang kita boleh pastikan adalah R1 ni berkemungkinan besar merupakan masin laser engraver dan cutter yang khas, bukannya modul tambahan kepada 3D printer seperti yang kita lihat pada Bambu Lab H2D atau A2L.
Bambu Sedang Membina Barisan Produk Kedua, Bukan Sekadar Modul Tambahan
Anda mungkin sudah mengetahui bahawa Bambu bukannya baru dalam dunia laser. H2D datang dengan modul laser diod 10W dan 40W sebagai pilihan tambahan kepada fungsi percetakan 3D nya, jadi syarikat ini sebenarnya telah mempunyai pengalaman sebenar membina hardware laser.

Namun begitu, R1 ini berbeza berbanding modul laser pada H2D. Berbanding menambah pilihan laser pada printer 3D sedia ada, Bambu kali ini membina satu mesin berasingan yang direka khas untuk kerja laser. Ini perubahan yang sangat besar memandangkan Bambu Lab selama ini dilihat sebagai jenama 3D printer sahaja.
Ini juga menguatkan lagi ayat “personal manufacturing hub” yang mereka gunakan selama ini. Bambu Lab tidak lagi tak melihat laser sebagai ciri tambahan pada printer semata-mata. Mereka sedang membina produk laser sebagai kategori produk tersendiri.
Ini bermakna, sekiranya Bambu Lab R1 ini mendapat sambutan yang baik, Bambu Lab tidak lagi mempunyai satu sahaja barisan produk utama. Kini ia bakal mempunyai barisan produk utama kedua, iaitu produk laser.
Apa Yang Dapat Kita Lihat Melalui Teaser Ini
Sejujurnya, tidak banyak lagi maklumat yang kita dapat buat masa ini berkenaan produk ini. Saya berhubung terus dengan marketing department Bambu Lab, namun mereka masih tidak boleh memberikan maklumat lebih lengkap, termasuklah tarikh tepat pelancaran Bambu Lab R1 ini.
Petunjuk paling kukuh ialah Bambu Lab sendiri memanggil R1 ni sebagai engraver dan cutter, bukan sekadar engraver je. Ini menunjukkan mesin ni direka untuk buat lebih banyak kerja berbanding penandaan pada objek kecil, iaitu produk ini juga bakal mempunyai kemampuan untuk buat kerja pemotongan. Ayat “more power” dan “more materials” dalam tagline tersebut berkemungkinan merujuk kepada kuasa memotong yang lebih kuat atau julat bahan yang lebih luas.
Namun begitu, teaser ini belum merungkaikan jenis laser yang digunakan. Bambu Lab sebelum ini mempunyai pengalaman dengan laser diod berkuasa tinggi melalui H2D, jadi sistem diod adalah tekaan yang paling munasabah. Tapi kita tidak boleh mengenepikan kemungkinan penggunaan laser CO2, infrared, atau jenis lain sehinggalah Bambu Lab sahkan sendiri.
Adakah Bambu Lab Sasarkan xTool?

xTool membangunkan perniagaan mereka di sekitar mesin laser desktop, dengan produk yang meliputi laser diod, CO2, dan fiber. Sekiranya Bambu Lab masuk ke ruang ini dengan strategi yang sama seperti yang mereka gunakan untuk 3D printer, iaitu hardware yang kukuh digabungkan dengan software dan ekosistem yang bersepadu, ini boleh menjadi ancaman kepada kedudukan xTool.
Pada pandangan saya, spesifikasi kuasa laser semata-mata bukanlah faktor penting bagi Bambu Lab. Seperti yang kita lihat dalam dunia percetakan 3D, strategi Bambu Lab lebih kepada memudahkan keseluruhan workflow pengguna berbanding spesifikasi atas kertas semata-mata. Sekiranya R1 mengikut corak yang sama, persaingan dengan jenama laser seperti xTool mungkin berkisar lebih kepada kemudahan pengguna, bukanlah spesifikasi kuasa laser.
penafian: Imej yang digunakan dalam artikel ini adalah dari laman web rasmi Bambu Lab
Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.
Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.