overhang and bridging problem in 3D printing
Walid Bin Wajdy

ditulis pada 17 Mei 2026

Jika anda sudah lama ataupun baru meneroka hobi cetakan 3D, kadangkala anda akan menemui dua masalah biasa iaitu overhang dan bridging.

Kedua-dua isu ini berlaku dalam sesetengah model 3D yang mempunyai bentuk tertentu dan tidak berlaku dalam semua cetakan 3D.

Sebelum membincangkan penyelesaiannya, mari kita fahami dahulu apa yang sebenarnya berlaku dalam kedua-dua isu cetakan 3D ini.

Apa Itu Overhang & Bridging?

Overhang merupakan keadaan di mana mesin pencetak 3D mencetak filament melebihi permukaan sokongan pada lapisan sebelumnya.

Secara umum, jika bahagian model 3D yang ingin dicetak melebihi sekitar sudut 45° dari posisi tegak, risiko masalah overhang akan mula meningkat. Lapisan yang dicetak melebihi lapisan sebelumnya boleh jatuh sedikit sebelum sempat mengeras akibat tarikan graviti. Masalah ini biasanya dipanggil sebagai drooping atau sagging.

Namun begitu, kemampuan setiap mesin pencetak adalah berbeza. Ada mesin yang mampu mencetak overhang melebihi 60° dengan baik bergantung kepada sistem penyejukan, kelajuan cetakan dan jenis filament yang digunakan.

Isu ini boleh mengurangkan kualiti permukaan cetakan objek kita.

Contoh hasil cetakan 3D yang mempunyai masalah overhang
Gambar rajah mengenai sudut 45° darjah dalam isu overhang

Bridging pula ialah keadaan di mana mesin pencetak 3D mencetak filament “atas angin” di antara dua bahagian objek yang menjadi sokongan pada lapisan yang sama.

Berbeza dengan overhang, bridging berlaku apabila filament perlu “merentang” ruang kosong tanpa sokongan di bawahnya.

Jika dilakukan dengan baik, bridging boleh membolehkan kita mencetak sesuatu model tanpa perlu menggunakan bahagian sokongan (supports).

Namun jika bridging gagal, filament akan mula melendut dan menghasilkan permukaan cetakan yang tidak kemas ataupun menyebabkan kegagalan cetakan.

Contoh hasil bridging yang bagus (kiri) dan tidak bagus (kanan)

Penyelesaian

Kedua-dua isu overhang dan bridging mempunyai punca permasalahan yang hampir sama, maka banyak penyelesaiannya juga adalah serupa.

Ringkasan Penyelesaian

 

MasalahPunca UtamaPenyelesaian Ringkas
Overhang tidak kemasFilament melendut akibat gravitiKurangkan kelajuan, tingkatkan penyejukan, tambah supports
Bridging melendutFilament tidak sempat mengeras ketika merentang ruang kosongTingkatkan kipas, kurangkan suhu nozzle, gunakan bridge settings
Permukaan cetakan kasarFilament terlalu panas atau lembapKurangkan suhu nozzle, gunakan filament kering
Supports terlalu banyakOrientasi model tidak sesuaiUbah posisi model dalam slicer

1. Kurangkan Kelajuan Cetakan

Cetakan yang terlalu laju menyebabkan filament tidak sempat menyejuk dan mengeras dengan baik sebelum lapisan seterusnya dicetak.

Cuba kurangkan kelajuan cetakan sedikit demi sedikit, contohnya sekitar 10 mm/s bagi setiap percubaan sehingga mendapat hasil yang lebih baik.

2. Kurangkan Suhu Nozzle

Suhu nozzle yang terlalu tinggi akan menyebabkan filament menjadi terlalu lembut dan mudah melendut ketika mencetak overhang atau bridging.

Sebagai rujukan umum:

  • PLA: 190–215°C
  • PETG: 220–250°C
  • ABS: 230–260°C
  • TPU: 210–240°C

Namun begitu, suhu optimum sebenar bergantung kepada jenis filament dan jenama yang digunakan. Sentiasa rujuk cadangan pengeluar filament anda.

3. Tingkatkan Penyejukan Kipas

Penyejukan yang baik sangat penting untuk overhang dan bridging kerana filament perlu mengeras dengan cepat sebelum jatuh akibat graviti.

Untuk PLA terutamanya, meningkatkan kelajuan kipas sehingga 100% boleh membantu menghasilkan bridging yang lebih kemas.

4. Gunakan Filament Yang Kering

Filament yang lembap boleh menyebabkan cetakan menjadi tidak stabil dan menghasilkan bridging yang kurang kemas.

Jika filament anda sudah lama terdedah kepada udara, pertimbangkan untuk mengeringkannya terlebih dahulu menggunakan filament dryer.

5. Ubah Orientasi Model

Kadangkala penyelesaian paling mudah bukanlah mengubah tetapan mesin, tetapi mengubah posisi model dalam slicer.

Dengan orientasi yang betul, kita boleh mengurangkan overhang dan bridging secara ketara tanpa menggunakan supports tambahan.

orientation effect on support
Kesan orientasi model terhadap penggunaan support

6. Tambah Bahagian Sokongan (Supports)

Penyelesaian paling mudah untuk masalah overhang adalah menambah bahagian sokongan atau supports.

Namun cara ini akan menggunakan lebih banyak filament, menambah masa cetakan dan memerlukan proses pembersihan selepas cetakan siap.

Oleh itu, kebanyakan pengguna biasanya akan cuba mengurangkan penggunaan supports selagi mana masih boleh dicetak dengan baik.

Kesimpulan

Overhang dan bridging mempunyai banyak persamaan dari segi permasalahan dan hasil cetakan 3D yang dibawa, namun perbezaan utamanya adalah overhang berlaku ketika mencetak lapisan melebihi sudut 45° darjah, manakala bridging berlaku ketika mencetak atas angin di antara dua bahagian objek.

Sebelum mencetak objek anda, teliti lah model 3D anda dalam slicer untuk tentukan sama ada cetakan anda akan melalui masalah overhang dan bridging ataupun tidak, supaya dapat mengubah tetapan mesin pencetak 3D untuk hasil cetakan yang baik.

Selamat meneroka!

Scroll to Top