#Guide

"3D Printer Enclosure", Perlu atau Tidak?

Sesetengah 3D printer mempunyai rekabentuk yang hadir dengan penutup  dalam struktur asalnya, manakala sesetengah yang lain pula jenis terbuka. Apa fungsi penutup ini? Mari saya kongsikan.

Ridzwan Normahazan

17 Sep 2025 ー bacaan 3  minit

enclosure untuk 3d printer

Nak beli 3D Printer - Pilih yang ada enclosure atau tidak?

Dalam perkongsian saya yang lepas, saya ada nyatakan bahawa salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan ketika ingin memilih 3D printer adalah enclosure atau bekas penutup 3D printer. Jadi apa sebenarnya kebaikan penutup ini, dan adakah kita perlu beli printer yang ada penutup atau tidak? 

Mari saya kongsikan dengan ringkas.

Apakah itu "enclosure" atau bekas penutup 3D printer?

Enclosure ni secara ringkasnya adalah sebuah bekas pelindung yang menutup ruang cetakan.

Enclosure biasanya dibuat dari akrilik, plastik atau logam.

Ada printer yang hadir terus dengan enclosure dalam struktur asalnya (contoh: Bambu Lab X1C, Elegoo Centauri Carbon), ada juga model open-frame (contoh: Ender 3, Anycubic Kobra, bambu lab a1 mini).

Kelebihan Ada Enclosure

  • Kualiti cetakan lebih baik – Bahan cetakan (filamen) macam ABS, ASA, Nylon, atau PC perlukan suhu stabil untuk mengelakkan masalah warping.

  • Suhu lebih konsisten – Lekatan antara lapisan jadi lebih kuat kerana haba tak hilang ke persekitaran.

  • Kurang bising – Enclosure boleh mengurangkan bunyi motor & kipas yang bising.

  • Kawal bau/fume – Sangat penting bila guna ABS atau resin yang toksik.

  • Lebih selamat – Anak kecil & haiwan peliharaan tak boleh menyentuh nozzle panas atau bahagian yang bergerak.

Kekurangan Enclosure

  • Harga lebih mahalPrinter yang mempunyai enclosure biasanya mempunyai harga yang lebih mahal.

  • Saiz besar & berat – Memerlukan ruang yang banyak dan sukar untuk dialihkan.

  • Kurang akses cepat – Perlu buka pintu enclosure terlebih dahulu untuk mempunyai akses kepada bahan yang sedang dicetak.

  • Overheating untuk PLA – Sekiranya aliran udara tidak dijaga, bahan seperti PLA tidak dapat dicetak dengan baik.

Jadi, Perlu ke Enclosure?

  • Kalau print PLA / PETG je → Tak wajib, printer open-frame pun dah cukup.

  • Kalau nak print ABS, ASA, Nylon, PC → Enclosure sangat disyorkan.

  • Kalau nak printer senyap & selamat → Enclosure memang membantu.

  • Kalau bajet terhad → Boleh mula dengan open printer, tambah enclosure DIY kemudian.

Pilihan Enclosure DIY

Walaupun 3D printer yang hadir dengan enclosure dalam struktur asal agak mahal, tapi kita ada alternatif lain iaitu menggunakan enclosure DIY atau membeli enclosure lain yang lebih murah. Berikut adalah beberapa alternatif enclosure yang digunakan oleh ramai penggemar 3D printing di seluruh dunia.

  • IKEA Lack Table Hack – Ramai orang menggabungkan beberapa meja IKEA lack dan menambah papan akrilik untuk menghasilkan enclosure DIY.

  • Kotak akrilik atau kayu custom.

  • Enclosure asing yang dijual oleh jenama-jenama 3D printer seperti Creality.

Kesimpulan

Untuk pemula yang hanya ingin mencetak barang menggunakan bahan asas seperti PLA, tidak ada keperluan mendesak untuk membeli 3D printer dengan enclosure. Tapi sekiranya ingin membuat cetakan menggunakan bahan lebih sukar seperti ABS, ASA, maka perlu pertimbangkan untuk membeli 3D printer dengan enclosure atau membeli enclosure asing. Yang paling penting, fahami keperluan sendiri terlebih dahulu. 

Scroll to Top