Robotics Finished 0 updates

Robot Mudah Alih Bertrek Cetakan 3D

Link copied
Ridzwan Normahazan Ridzwan Normahazan Project owner
39 Views Comments 0

About this project

Bina robot bertrek cetakan 3D DIY (DZ01). Projek ini menggunakan gegancu dan trek khas, sesuai untuk pelajar RBT dan peminat robotik.

Overview

Penyataan Masalah

Kebanyakan kit robotik pemula di pasaran hari ini lebih menekankan aspek elektronik dan perisian (software), manakala bahagian mekanikal pula direka sangat ringkas. Hal ini boleh difahami kerana tujuan utama kit-kit ini adalah untuk mengajar asas menulis kod dan penggunaan komponen elektronik, bukanlah rekabentuk mekanikal.

Namun, robotik bukanlah terhad kepada kod dan litar semata-mata. Bahagian mekanikal juga sama pentingnya, dan pada pandangan saya, sebuah kit robotik sepatutnya kelihatan menarik dan menyeronokkan untuk digunakan.

Oleh itu, tujuan utama saya dalam projek ini adalah untuk menghasilkan robot bertrek cetakan 3D DIY yang bukan sekadar berfungsi, tetapi juga menarik secara visual, sesuatu yang lebih mengujakan berbanding kit robotik pemula yang biasa di pasaran.

Contoh kit robotik di pasaran

Apakah Yang Menjadikan Robot Itu, Robot?

Secara ringkasnya, robot ialah sebuah mesin yang boleh "berfikir" sendiri.

Kereta kawalan jauh mempunyai motor dan servo, tetapi ia hanya bergerak bila kita tekan butang. Tanpa kita mengawalnya, ia tidak akan buat apa-apa.

Robot pula berbeza kerana ia mengikut program. Bila kita hidupkan robot, ia akan jalankan kod dalam "kepalanya" (mikropengawal) yang menentukan apa tindakan seterusnya.

Sebagai contoh: jika diprogramkan untuk bergerak ke depan selagi tiada halangan dalam jarak 50mm, ia akan terus bergerak. Sebaik sahaja sensor ultrasonik mengesan objek lebih dekat daripada 50mm, kod tersebut akan arahkan robot untuk berhenti secara automatik, tanpa kita perlu gunakan alat kawalan jauh.

Itulah yang membezakan robot dan mesin biasa: keupayaan untuk bertindak berdasarkan logik yang diprogramkan dan maklum balas daripada sensor.

Rekabentuk Mekanikal

Saya inginkan robot ini kelihatan seperti kereta kebal mini, kerana bagi saya kereta kebal memang nampak sangat menarik, terutamanya reka bentuk trek kereta kebal.

Rekabentuk trek yang digunakan untuk projek ini

Sistem trek untuk projek ini direka berasaskan unit sproket dan trek cetakan 3D. Sproket pemacu disambungkan kepada motor, sproket idler pula berpusing bebas pada aci. Rangka robot menempatkan komponen elektronik seperti motor, bateri dan suis, manakala penutup atas menempatkan komponen selebihnya. Saya juga menambah "kepala" kecil untuk menutup sensor ultrasonik, supaya ia tidak kelihatan terdedah seperti kit robot biasa.

PCB Tersuai

Semasa fasa prototaip, saya menggunakan breadboard dan wayar jumper, fleksibel tetapi besar dan agak berserabut. Untuk menjadikannya lebih kemas, saya mereka bentuk sebuah PCB tersuai yang ringkas bagi menggabungkan litar antara mikropengawal, pemandu motor dan sensor. Saya bukan daripada latar belakang elektronik, tetapi selepas menonton beberapa video YouTube, saya berjaya menghasilkan satu reka bentuk PCB yang berfungsi.

Kebanyakan komponen elektrik terdedah di atas
Skematik litar PCB yang saya buat untuk projek ini

Hasil Akhir

Robot yang siap kelihatan seperti yang saya inginkan, padat, kemas dan berfungsi dengan baik.

Hasil akhir rekabentuk robot mini ini

 

Pengajaran & Penambahbaikan Akan Datang

Ini merupakan cubaan pertama saya menghasilkan kit robot mudah alih. Beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki untuk projek akan datang:

  • Kurangkan penggunaan skru: reka bentuk snap-fit (seperti LEGO) akan memudahkan pemasangan untuk pemula.
  • PCB modular: gunakan pin header dan bukannya pateri terus komponen pada litar PCB, supaya ia lebih mudah diganti atau dinaik taraf.
  • Susun atur komponen: buat masa ini, sebahagian komponen elektronik diletakkan di rangka bawah dan sebahagian lagi di penutup atas, menyukarkan kerja penyelenggaraan. Untuk versi seterusnya, saya mahu semua komponen boleh dicapai dari satu bahagian sahaja.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, saya tetap berpuas hati dengan hasilnya. Robot ini berfungsi dengan baik, kelihatan menarik, dan memberikan saya banyak pengalaman baru.

Materials & components list

8 items

Materials and components listed by the project owner.

Material / component Brand / model Purpose Quantity
Mikropengawal WeMos D1 Mini Menjalankan kod robot 1 unit
Motor DC generik Menggerakkan trek 2 unit
Pemandu motor DRV8833 Mengawal arus dan kelajuan 1 unit
Ultrasonic Sensor HC-SR04 Mengesan halangan di hadapan 1 unit
Bateri LiPo 3.7V 2000mAh Sumber kuasa boleh dicas semula 1 unit
Boost Converter XL6009 Menaikkan voltan bateri kepada ~5V 1 unit
Charging Module TP4056 Membolehkan bateri dicas melalui USB-C 1 unit
Suis Kuasa generik Memutus/menghidupkan kuasa dengan cepat 1 unit

Project updates

0 updates
No updates yet.

The project owner has not shared any progress yet.

Use this space for general discussion about the whole project. To discuss a specific update, use the comments on that update.

Project discussion

Scroll to Top