
Melalui teknologi cetakan 3D, pasangan suami isteri dari Johor, Ummi Aida Nordin berumur 31 tahun dan suaminya, Zainiq bin Zulnuraini berumur 35 tahun, membangunkan perniagaan dalam sektor pendidikan demi memberikan inspirasi kepada generasi muda dalam menyediakan platform pembelajaran yang seronok dan kreatif melalui projek-projek mudah dibina.
Perkenalan 3D Printing Dari Dunia Robotik
Ummi mula tahu tentang teknologi 3D printing daripada suaminya yang tiba-tiba membawa pulang sebuah pencetak 3D BambuLab ke rumah. Rupa-rupanya, suami beliau telah membelinya daripada rakannya, Encik Hairil, yang merupakan coach robotik di sekolahnya. Suami beliau berminat dengan teknologi cetakan 3D selepas diperkenalkan oleh Encik Hairil dan bercadang membelinya selepas tertarik dengan kemampuan pencetak 3D yang boleh menghasilkan pelbagai produk terutamanya komponen-komponen robotik. Maka, dunia robotik menjadi pembuka pintu kepada Ummi dan Zainiq dalam minat terhadap 3D printing.
Inspirasi Untuk Terjun ke dalam Dunia 3D Printing
Suami Ummi merupakan inspirasi terbesar bagi dirinya terjun ke dalam dunia cetakan 3D. Pada awalnya, dia menggalakkan Ummi untuk mencuba pemodelan 3D menggunakan aplikasi TinkerCAD dahulu selain menggalakkan pencetakan model-model 3D dari Makerworld seperti lampu, clickers, fidget dan lain-lain untuk melihat hasil cetakan 3D. Lama-kelamaan, beliau mahu menghasilkan model 3D tersendiri. Jadi, beliau mula belajar dan berusaha mencari tutorial Tikercad dan Autodesk Fusion 360 di platform YouTube. Beliau juga mendapatkan tunjuk ajar suaminya dan Encik Hairil serta mencari inspirasi dari media sosial komuniti cetakan 3D luar negara. Beliau semakin seronok untuk belajar lebih mendalam mengenai cetakan 3D dan dari situ, ia mula menjadi hobinya pada waktu lapang.

Selain itu, Encik Hairil juga turut membantu Ummi dan Zainiq dalam reka bentuk keychain pertama mereka yang bertemakan Minecraft bagi permulaan perniagaan mereka. Hasil daripada kolaborasi tersebut, Ummi diminta untuk mencetak keychain tersebut bagi tempahan pelanggan pertamnya iaitu anak murid suaminya sendiri sebanyak 100 unit. Dari situ, beliau mula bersemangat untuk menghasilkan beberapa reka bentuk 3D yang lain.
Suami beliau juga membantu dalam mendapat tapak booth niaga bagi menjual keychain di sekolah-sekolah yang mengadakan hari keusahawanan atau sebarang program yang membolehkan mereka untuk berniaga produk cetakan 3D mereka. Perasaan ketika berniaga di booth dan melihat reaksi pelanggan yang gembira dan teruja melihat hasil cetakan 3D, membuatkan kami bertambah bersemangat ibarat ‘adrenaline rush’ orang kata. Suaminya juga menggalakkan beliau mendaftar lesen perniagaan SSM supaya mereka boleh berniaga dengan sah dan yakin.
Dari Sektor Pendidikan Kepada Perniagaan Bernilai Tinggi
Perjalanan perniagaan Ummi dan Zainiq bermula daripada dunia pendidikan. Pada peringkat awal, matlamat utama kami adalah memperkenalkan teknologi pencetakan 3D kepada murid-murid sekolah sebagai medium pembelajaran yang menyeronokkan dan kreatif, memberi peluang kepada mereka menghasilkan pelbagai projek mudah menggunakan pencetak 3D.
Produk pertama yang mereka hasilkan ialah keychain bertemakan Minecraft, permainan alam maya yang popular di kalangan murid sekolah. Melihat sambutan yang memberangsangkan, pasangan tersebut kemudian memperkenalkan keychain bertemakan Squid Game yang turut mendapat perhatian ramai ketika siri tersebut menjadi fenomena di Netflix. Kejayaan kedua-dua produk ini menjadi pemangkin kepada penghasilan pelbagai lagi koleksi keychain yang diinspirasikan daripada tema-tema popular dan dekat dengan dunia kanak-kanak.


Platform media sosial pertama mereka adalah melalui TikTok. Di platform tersebut, mereka bukan sekadar mempromosikan produk, malah berkongsi proses mereka bentuk dan menghasilkan keychain menggunakan Tinkercad serta teknologi percetakan 3D melalui TikTok Live. Kandungan yang dikongsikan mendapat sambutan yang sangat positif daripada warga TikTok sehingga mula menerima tempahan daripada pelanggan di luar komuniti dan rangkaian sedia ada.
Seiring dengan peningkatan permintaan, perniagaan mereka terus berkembang dengan memperluaskan rangkaian produk. Selain keychain, mereka turut menghasilkan pelbagai produk bercetak 3D seperti name stand, fridge magnet, keychain display board, serta pelbagai produk hiasan dan cenderamata yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan. Mereka juga mengadakan kelas robotik bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, dan teknologi pencetakan 3D digunakan bagi mencetak komponen robot yang digunakan.
Perkembangan perniagaan mereka mencapai tahap berjaya mendapat kolaborasi bersama Maestro dengan menghasilkan 200 keychain berbentuk kriket dan bola kriket.
Hari ini, perniagaan Ummi dan Zainiq terus berpegang kepada matlamat asal, iaitu menggabungkan pendidikan, kreativiti dan teknologi bagi menghasilkan produk bercetak 3D yang berkualiti, inovatif serta memberi nilai kepada pelanggan. Bermula daripada sebuah inisiatif kecil bersama murid-murid sekolah, kini sudah berkembang menjadi sebuah perniagaan yang mampu memenuhi permintaan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Cabaran Membangunkan Perniagaan 3D Printing
Tidak sah jika perniagaan yang berjaya tidak mempunyai kesusahannya tersendiri. Dari segi penghasilan produk, Ummi biasanya menghasilkan 4 hingga 8 prototaip mengikut kerumitan model 3D sebelum mendapatkan saiz dan ketetapan cetakan yang memuaskan. Kegagalan cetakan 3D tiada, cuma kekurangan dalam penetapan warna bagi setiap lapisan bagi mengurangkan pembaziran bahan cetakan atau ‘3D poop’ dan warping.
Dari segi promosi pula, terdapat kesukaran mempromosikan produk-produk kerana beliau hanya fokus pada dua platform media sosial; Tiktok dan WhatsApp. Rangkaian kurang meluas dan pasaran produk cetakan 3D semakin banyak. Ramai yang telah mengeluarkan pelbagai jenis produk cetakan 3D mengikut kreativiti masing-masing seperti fidget, articulated model, clickers dan keychain yang menjadikan saingan pasaran tinggi di Malaysia.
Demi mencari kelainan dalam pasaran 3D di kalangan komuniti cetakan 3D di Malaysia, beliau cuba mengeluarkan produk Keychain Display Board inspirasi daripada pasaran 3D luar negara. Produk tersebut mendapat sambutan ramai dalam kalangan peniaga keychain di Malaysia yang bertanyakan beliau untuk dapatkan keychain display board mereka tersendiri. Kini, Ummi telah berjaya menghasilkan 4 reka bentuk bagi produk sedia ada dan lebih 6 reka bentuk keychain display custom tempahan customer.

Selain itu, followers Mentari Bahru semakin meningkat setiap kali selesai sesi Live di TikTok, termasuklah tempahan dari pelanggan semakin bertambah. Kadang-kadang, suaminya mendapat jemputan dari sekolah-sekolah berdekatan yang memberi peluang kepada mereka untuk membuka booth ketika terdapat program yang dijalankan di sekolah-sekolah tersebut. Ramai pelajar dan guru-guru yang tertarik dengan produk cetakan 3D yang mereka hasilkan dan membelinya.
Senarai Harga Produk Mentari Bahru:
Keychain:
- Minecraft, Squid game, dan Demon Hunters: RM6
- Custom Family Day: sekitar RM6 hingga RM8
- Pandora Letters: RM5
Customised order:
- Medal: sekitar RM6 hingga RM10
- Piala/plak hadiah: RM10 hingga RM30
- Name Stand: RM25 hingga RM45
- Display Board: RM45 hingga RM80

Ummi menggunakan mesin pencetak Bambu Lab A1 dan bahan yang digunakan ialah PLA, PLA SILK, dan PETG. Aplikasi yang digunakan bagi pemodelan 3D ialah TinkerCAD dan Autodesk Fusion 360. Tempoh masa yang diambil daripada sebuah idea kepada penghasilan akhir produk adalah sekitar 4 hingga 5 minggu bergantung dengan kerumitan produk.
Cara Tempah Keychain Khas Anda
Layari media sosial Mentari Bahru di TikTok, Instagram, dan Threads untuk ikuti perkembangan mereka dan tempah keychain khas bagi anda atau sebarang penganjuran program sekolah:
Tiktok: @mentaribahru
Instagram: @mentaribahru
Threads: @mentaribahru

Tulisan ini adalah sebahagian daripada siri Domechy memperkenalkan pencipta dan usahawan
tempatan yang menggunakan teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan produk sebenar.
Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.
Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.