Saya dah menggunakan Creality SPARKX i7 Color Combo ini selama beberapa bulan, jadi hari ini saya nak kongsikan pandangan saya berkenaan 3D printer ini. Ramai yang tanya soalan yang sama kepada saya, patut pilih Bambu Lab A1 atau Creality SPARKX i7? Kedua-duanya berada dalam julat harga yang sama, sama-sama jenis bedslinger, dan sama-sama disasarkan untuk pemula. Kalau anda baru nak mula dalam hobi ni dan cuma nak satu printer yang memang berfungsi, pilihan ni memang mengelirukan.
Ada juga satu soalan yang berlegar-legar dalam ruangan komen: “bukan ke SPARKX i7 ni cuma copy Bambu Lab A1?” Saya dah nampak komen macam ni berkali-kali, jadi saya nak cuba selidik topik ini untuk putuskan bahawa ia dakwaan yang berasas.
Nota: Unit SPARKX i7 ini dihantar oleh Creality kepada saya secara percuma untuk tujuan review. Saya tidak dibayar untuk menulis artikel ini, dan Creality tidak pernah menyemak atau meluluskan artikel ini sebelum diterbitkan. Semua yang tertulis di bawah adalah pandangan jujur saya sepenuhnya.
Sebelum saya buat proses nyahkotak lagi, ada tiga ciri marketing daripada Creality yang menarik perhatian saya:
- Mereka dakwa anda boleh nyahkotak dan setup dalam masa 5 minit sahaja.
- Ada ciri AI yang boleh tukar gambar muka anda kepada figura chibi yang boleh terus dicetak.
- Ada RGB LED strip di bahagian depan printer.

Nyahkotak: Betul Ke Dalam 5 Minit?
Ya, dan saya sendiri agak terkejut dengan proses ini. Untuk keluarkan semua bahagian dari kotak dan setup fizikal, memang dalam masa lebih kurang 5 minit. Dari situ sampai printer bersedia untuk kalibrasi, dalam 10 minit kesemuanya, dan proses kalibrasi itu automatik sepenuhnya, anda tak perlu sentuh apa-apa. Creality memang reka bentuk pembungkusan mereka khusus untuk pengalaman mudah ini, semua benda dah pre-attached di mana yang boleh, dan apa yang tinggal memang senang untuk dipasang. Untuk printer yang disasarkan sepenuhnya untuk pemula, ini antara pengalaman nyahkotak paling lancar yang pernah saya lalui.
Tapi ada satu perkara yang saya ingin kongsikan. Creality berulang kali memberi peringatan untuk meletakkan unit CFS Lite di sebelah kiri printer, lebih daripada sekali. Bila sesuatu jenama berasa perlu menekankan satu arahan berkali-kali macam ni, biasanya sebab ramai pengguna sebelum ni tersalah buat. Jadi saya cuba cari kenapa perlu berbuat sedemikian. CFS Lite perlu berada di sebelah kiri untuk kekalkan panjang tiub PTFE yang betul, elak lengkokan tajam atau geseran berlebihan semasa filament retract, dan padan dengan panjang tetap kabel data dan kuasa 6-pin yang disertakan. Kalau tersalah letak, anda akan menghadapi masalah laluan filament sebelum sempat membuat proses cetakan lagi.
Kesimpulan ringkas: dakwaan 5 minit itu benar untuk Creality Sparkx i7 Color Combo. Pastikan anda meletakkan unit CFS lite di tempat yang betul.
Cetakan Pertama: Kualiti Bagus, Tapi Ambil Masa Agak Lama
Saya mula dengan model default yang dah pre-loaded dalam printer, sejenis keychain. Ia mencetak dengan bersih, seperti yang kita boleh harapkan daripada mana-mana printer moden pada zaman ini, jadi saya tak tumpukan sangat untuk model ini.

Apa yang saya betul-betul nak guna untuk stress-test printer ni ialah model Pikachu daripada Creality Cloud. Kualiti cetakan memang bagus. Untuk printer yang disasarkan kepada pemula, i7 tak berkompromi dari segi detail atau kemasan, dan ia cukup mudah untuk digunakan sehingga seseorang yang tiada pengalaman langsung pun boleh dapat hasil macam ni pada percubaan pertama mereka.

Yang kurang memuaskan ialah dari segi masa. Slicer anggarkan 17 hingga 18 jam untuk cetakan tersebut. Cetakan sebenar mengambil masa hampir 20 jam. Untuk printer pemula, ini masih boleh diterima, orang yang beli printer jenis ni biasanya tak kejar masa sangat. Tapi saya nak terus terang di sini, kalau anda dah lebih daripada tahap pemula dan mengharapkan mesin yang pantas serta efisien, ini bukan pilihan yang sesuai.
Ada juga sedikit masalah dengan aplikasi semasa cetakan ini berlangsung, iaitu isu sambungan yang sama akan saya bincangkan dengan lebih terperinci di bahagian bawah nanti. Ia tidak menjejaskan cetakan itu sendiri, cuma menjejaskan keupayaan saya untuk semak status daripada telefon.
Kesimpulan ringkas: kualiti cetakan tak terasa seperti kompromi untuk printer pemula, namun masa cetakan pula ada kekurangannya. Sesuaikan jangkaan anda berkenaan perkara ini.
Ujian First Layer: Ingat Lagi Zaman Lapisan Pertama Itu Mendebarkan?
Kalau anda membesar dengan Ender 3 macam saya, anda mungkin faham apa yang saya maksudkan. First layer dulu memang perkara paling utama yang kita risaukan setiap kali ingin mulakan cetakan. Kita duduk depan mesin sepuluh minit hanya untuk perhatikan first layer tu dilakukan dengan baik. Kita selitkan kertas bawah nozzle, atau guna feeler tool khas, untuk pastikan jarak nozzle dan bed betul-betul sempurna, tak menyentuh bed, tapi juga tak terlalu jauh. Kita level semula bed setiap minggu sebab kalau tidak, cetakan akan gagal melekat di mana-mana bahagian dan kita baru sedar bila dah beberapa jam berlalu.
Terima kasih kepada teknologi auto-leveling zaman sekarang, proses seperti itu dah hampir hilang sepenuhnya, dan i7 pun tak terkecuali. Ujian first layer menghasilkan keputusan yang agak memuaskan. Hasil cetakan kelihatan cukup kemas dan cantik. Hanya apabila kita zoom masuk barulah kita nampak beberapa kawasan yang kelihatan sedikit under-extruded, tapi tidak sampai tahap yang boleh menyebabkan cetakan gagal atau masalah yang nampak dengan mata kasar.

Kesimpulan ringkas: kalau anda pertama kali ingin tukar printer daripada zaman Ender 3, anda boleh bertenang. Ini bukan zaman 2020 untuk kita risaukan first layer.
Torture Test: Di Sinilah i7 Mula Nampak Hadnya
Kualiti cetakan dan first layer memang dah dibuktikan cukup baik, tapi saya nak betul-betul uji i7 dengan torture test yang lebih berat, bukan sekadar menilai dia berdasarkan model Pikachu dan keychain sahaja. Ini cetakan yang direka untuk dedahkan perkara yang model biasa tak akan tunjukkan: overhang pada sudut yang curam berperingkat, beberapa bridging span yang rata, ketepatan dimensi merentasi saiz yang berbeza, spike nipis yang mendedahkan masalah stringing, dan teks kecil yang di-emboss.

Ini adalah keputusan yang saya dapati. Overhang berjaya dicetak dengan bersih tanpa support sehingga sekitar 60 darjah, cukup bagus untuk printer pemula seperti ini. Tiada masalah stringing antara spike nipis tersebut, yang menunjukkan retraction memang ditetapkan dengan baik terus daripada kilang. Ketepatan dimensi pula kelihatan konsisten secara keseluruhan, silinder dan lubang bersaiz berbeza semuanya sepadan, dan teks kecil yang di-emboss pun mencetak dengan bersih serta masih boleh dibaca.
Lepas paras 60 darjah itulah baru kita nampak had sebenar printer ni. Pada lengan overhang itu sendiri, menjelang hujung 80 darjah, ia mula melendut dengan ketara, dengan seutas filament yang tergantung di hujungnya. Ujian ini menunjukkan, pada default setting, model tersebut memerlukan support pada sudut melebihi 60 darjah.

Ujian ini juga ada satu bridging span yang berasingan, iaitu jambatan yang dicetak merentasi jurang dengan kepanjangan berbeza. Hasilnya tidak terlampau teruk, tapi tidak terlampau baik juga. Ada sedikit lendutan yang kelihatan merentasi jambatan tersebut menggunakan profile default. Saya rasa sedikit gubahan pada setting bridging boleh berikan hasil yang jauh lebih baik. Tapi kalau anda pemula sepenuhnya dan hanya mencetak terus menggunakan default setting, jangan harapkan bridging yang sempurna. Ia masih boleh diguna pakai, cuma belum lagi kemas.

Kesimpulan praktikalnya: kalau model anda ada overhang tanpa support yang lebih curam daripada anggaran 60 hingga 70 darjah, kita perlu menggunakan support untuk hasil yang lebih kemas. Sekiranya model anda banyak bergantung kepada bridging, luangkan sedikit masa untuk mengubah setting tersebut sendiri dan tidak bergantung kepada default setting semata-mata. Selain daripada masalah itu, bagi saya sudut mekanikal printer ini mampu menangani cetakan yang sukar ini dengan cukup baik.
Kesimpulan ringkas: overhang yang kukuh sehingga sekitar 60 darjah, tiada stringing, ketepatan dimensi yang baik, teks kecil yang bersih. Bridging pula boleh diterima tapi belum sempurna terus daripada default setting, berbaloi untuk digubah kalau ia penting bagi anda. Lepas 60 hingga 70 darjah, overhang tanpa support mula melendut, maka perlu gunakan support dalam cetakan.
Betulkah Bunyi Printer Ini Sangat Perlahan?
Ini penambahbaikan yang paling saya kagumi, lebih daripada mana-mana ciri yang dipasarkan. SPARKX i7 antara printer paling senyap pernah saya guna. Saya letak dia di bilik sebelah bilik saya, dengan pintu terbuka luas, tapi saya masih sering terlupa yang saya sedang mencetak sesuatu kerana tiada bunyi yang kedengaran.
Ini bermakna, kalau anda kerja dari rumah yang kecil, berkongsi bilik dengan meja kerja anda, atau risau kerana ada online meeting sambil printer ini sedang mencetak, bagi saya ia tidak akan menganggu anda. Itu satu manfaat yang kita boleh rasai sendiri, bukan sekadar spesifikasi atas kertas.
Bukan saya seorang yang perasan perkara ini. Seorang reviewer yang membandingkan kedua-dua printer ini secara bersebelahan mengatakan bahawa i7 lebih senyap berbanding A1 miliknya sendiri, malah lebih senyap daripada semua printer lain yang dia ada. Dia kata dengan jelas bahawa dia tak boleh agak sama ada printer tu masih mencetak hanya daripada bunyi, dia terpaksa pandang mesin tu untuk pastikan.
Nozzle Quick-Release: Creality Mengatasi Bambu Di Sini

A1 dan i7 sama-sama guna reka bentuk hotend quick-release supaya kita dapat menukarkan nozzle dengan mudah jika perlu. Ketika A1 pertama kali dilancarkan, saya rasa versi printer tersebut dah cukup mudah berbanding printer lama seperti Ender 3. Tapi selepas menggunakan versi Creality pula, saya rasa mereka bawa design quick-releaser ini satu tahap yang lebih tinggi. Saya boleh tukar nozzle i7 dengan sebelah tangan sahaja. Walaupun kelihatan seperti kelebihan kecil, tapi ia menunjukkan Creality memerhatikan produk pesaing mereka lalu memikirkan “macam mana nak buat sistem ni lagi senang?”
Reviewer lain yang pernah menggunakan kedua-dua printer ni turut sokong pemerhatian ini. Seorang mengatakan latch i7 terasa lebih kukuh berbanding latch A1 yang lebih kecil, dan mengatakan bahawa untuk membuang sumbatan extruder pada i7 semudah tarik satu latch sahaja untuk dedahkan kedua-dua gear, tanpa perlu buka apa-apa lagi. Tapi satu kekurangan pada reka bentuk toolhead i7 ini: adapter PTFE 4-in-1 dibina terus dalam susunan extruder itu sendiri, jadi kalau bahagian tu rosak, anda perlu ganti keseluruhan bahagian, bukan sekadar adapternya sahaja.
CFS Lite Berbanding AMS Lite: Bukan Sekadar Tukar Warna

CFS Lite dan AMS Lite milik A1 kelihatan macam konsep yang sama pada sekali pandang. Empat spool menyalurkan ke satu nozzle, tapi cara sistem ini dibina cukup berbeza. Load filament ke dalam CFS Lite boleh dilakukan menggunakan sebelah tangan sahaja, anda hulurkan sedikit filament dan ia akan tarik selebihnya sendiri. AMS Lite pula memerlukan dua tangan dan sedikit renyah dengan butang di belakang.
Laluan filament CFS Lite pula menyalur naik dan keluar dari atas, berbeza dengan CFS asal dan AMS Lite yang menyalur turun dan keluar dari bawah. Menurut satu maklumbalas daripada seorang reviewer, reka bentuk ini dapat menyelesaikan masalah klasik cardboard spool tersangkut, kerana graviti akan menarik spool ke bawah dan motor pula akan menarik filament ke atas. Ia juga tertutup sepenuhnya dengan slot untuk desiccant packet, memberikan perlindungan kelembapan yang lebih baik berbanding reka bentuk AMS Lite yang terbuka.
Namun CFS lite tak menang mudah dari semua sudut. Oleh kerana roller bawah CFS Lite bersifat pasif, tanpa motor yang mengetatkan spool itu sendiri, selepas beberapa kali retraction, spool boleh menjadi longgar dan berputar bebas pada holdernya. Jadi ia memberikan risiko filament tersangkut jika dibiarkan, dan saya juga tidak suka lihat bagaimana rupa filament itu kelihatan longgar di dalam CFS lite tersebut.
Aplikasi Dan Creality Cloud: Lebih Hampir Dengan Bambu Berbanding Jangkaan Saya
Saya sering memaklumkan kepada penonton yang Bambu Lab memiliki ekosistem paling matang. Selepas luangkan masa dalam Creality Cloud, saya rasa itu masih memegang pandangan yang sama, tapi saya rasa ia tak akan kekal begitu buat masa yang lama. Banyak perkara yang kita dapat lihat dalam ekosistem Creality yang cukup menarik perhatian saya. Satu contoh yang patut disebut sekarang: Creality sedang bereksperimen membenarkan kita slice model terus daripada aplikasi telefon, dipanggil Slice Edit. Ia masih dalam fasa beta dan belum sampai ke tahap “berfungsi sepenuhnya” lagi, tapi berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh reviewer lain, ia sudah pun mendedahkan setting slicer daripada telefon, layer height, first layer height, kedudukan Z-seam, support, infill, brim, bukan sekadar butang cetak sentuhan sekali. Saya gembira melihat mereka membina ke arah ini.
Ada juga perbezaan yang lebih besar berbaloi diketahui kalau anda jenis yang suka mengubah setting: i7 menggunakan firmware terbuka berasaskan Klipper dengan akses root, bermakna anda boleh slice guna Creality Print atau OrcaSlicer, monitor melalui web interface Fluidd, atau guna aplikasi pihak ketiga sepenuhnya. Bambu pula, sebaliknya, mengekalkan anda dalam firmware dan software mereka sendiri. Ini berfungsi dengan baik dan kebanyakan orang tak perlukan lebih daripada itu, tapi kalau anda jenis yang mahukan akses penuh kepada konfigurasi printer anda, i7 bagi anda pilihan yang tiada pada Bambu Lab.
Satu tempat Creality Cloud masih jelas ketinggalan ialah model library. Saya luangkan masa yang agak lama scroll cari model menarik untuk dicetak dan hanya jumpa segelintir sahaja yang berbaloi untuk dimuat turun. MakerWorld masih ada katalog yang jauh lebih mendalam, dan ini faktor yang penting kalau melayari serta mencetak reka bentuk orang lain adalah sebahagian besar cara anda menggunakan 3D printer.
Berkenaan aplikasi telefon untuk kegunaan harian: ia berada di satu tahap lebih baik daripada kebanyakan jenama printer 3D lain, tapi masih belum sampai berada di tahap Bambu Handy. Perkara yang paling mengganggu saya ialah masalah sync. Kadang-kadang aplikasi tak dapat kesan printer dalam akaun saya, atau ia tunjuk printer offline sedangkan ia sebenarnya online dan sedang mencetak. Semak semula tidak lama kemudian, ia kembali tunjuk connected dan mencetak macam tiada apa berlaku. Masalah ini sudah tentu tidak menjejaskan cetakan sebenar, tapi ia pengalaman yang tak stabil dan sedikit menjengkelkan kalau anda suka semak printer dari jauh macam saya.

Kesimpulan ringkas: Creality Cloud jauh lebih baik daripada jangkaan saya, dan ia sedang ditambah baik dengan cepat. Tapi kalau aplikasi yang stabil sepenuhnya dan model library yang besar lebih penting daripada apa-apa lagi bagi anda, Bambu Lab masih pegang kelebihan itu buat masa sekarang.
RGB LED Strip: Gimik Atau Memang Berguna?
Jujur untuk saya katakan, ciri ini adalah sesuatu yang kita boleh hidup tanpanya, dan pada mulanya saya anggap ia sekadar hiasan semata-mata. Tapi selepas menggunakannya, kita akan gembira ia wujud. Saya boleh tahu status cetakan hanya dengan sekilas pandang dari seberang bilik, tak perlu jalan dekat atau semak aplikasi. Satu kemudahan kecil yang kebanyakan printer lain tak sediakan.
Ia bukan sekadar satu warna sahaja. Ia berubah bergantung kepada apa printer sedang buat, satu warna semasa mencetak, warna berbeza apabila ia pause, dan ia berkelip merah bila ada masalah. Ini selari betul dengan kelebihan ruang kerja senyap yang saya sebut tadi, strip inilah yang benarkan kita semak printer tanpa perlu dengar bunyinya atau berjalan dekat untuk melihat status cetakan kita.

Jadi adakah ia sekadar gimik? Mungkin. Tapi bagi saya, ia gimik yang berguna, dan itu satu perbezaan yang wajar dibuat. Ia bukan sesuatu yang akan menjual printer ni dengan sendirinya, tapi ia bonus yang bagus sebaik sahaja jadi sebahagian daripada penggunaan harian anda.
Ciri AI Gambar-Ke-Figura: Best Untuk Main-Main, Tapi Belum Berguna Sepenuhnya
Creality panggil ciri ini “Cube Me” dalam pemasaran mereka, ambil satu gambar, dapat figura gaya chibi yang boleh terus dicetak, tanpa perlu apa-apa setting slicer. Ini satu daripada dua perkara yang paling saya minat sebelum saya buka kotak lagi, jadi saya pastikan saya betul-betul uji ciri ni.
Pandangan saya: ia ciri yang menyeronokkan, tapi belum lagi berguna sepenuhnya. Hasil cetakan hanya ‘boleh diterima’, tapi ada beberapa kekurangan yang kita tak akan nampak pada model yang memang direka secara manual oleh manusia. Ada bahagian yang tak dicetak dengan licin, dan ada bahagian yang nipis sangat sehingga mudah patah.
Ia gimik yang menyeronokkan, sesuatu untuk dicuba sekali dan tunjuk kepada orang, tapi bukan sesuatu yang saya akan guna setiap hari. Meskipun begitu, saya rasa ia tak sepatutnya jadi dealbreaker sama ada anda beli printer ni atau tidak. Ia bonus tambahan, bukan sebab utama untuk beli atau elak printer ini.
Ternyata bukan saya seorang sahaja yang mempunyai pandangan ini. Seorang reviewer lain yang menguji ciri ini turut memberikan kesimpulan yang hampir sama dengan saya: mula dengan jangkaan ia gimik, uji dengan betul-betul, dan tetap kata ia gimik pada akhirnya, cuma gimik yang memang berfungsi seperti didakwa.
SPARKX i7 Berbanding Bambu Lab A1: Perbandingan Atas Kertas
Ketepikan dulu bab pemasaran, ini cara kedua-dua printer ni dibandingkan di atas kertas.
| Creality SPARKX i7 Color Combo | Bambu Lab A1 Combo | |
|---|---|---|
| Build volume | 260 × 260 × 255 mm | 256 × 256 × 256 mm |
| Kelajuan cetak maksimum | Sehingga 500 mm/s | Sehingga 500 mm/s |
| Unit multicolor | CFS Lite, 4 warna, desiccant drying, tiada heated chamber | AMS Lite, 4 warna, penyimpanan kering diuruskan sendiri |
| Kalibrasi automatik | Full-auto leveling, pengesanan build plate | Full-auto: bed level, Z-offset, vibration, pressure advance |
| Kamera | Built-in, 720p dengan AI monitoring aktif (pengesanan spaghetti, pengesanan air-print) | Built-in, tapi kamera timelapse kadar rendah; monitoring masa nyata perlukan Live View Camera berbayar berasingan daripada Bambu |
| Chassis | Rangka terbuka | Rangka terbuka |
| Harga (AS) | ~$339 hingga $399 bergantung peruncit dan promosi | ~$399 |
| Harga (Malaysia) | RM1,999 | RM1,999 |
| Bunyi | Senyap dengan ketara, senang terlupa ia sedang berjalan | Senyap juga, tapi antara dua-dua, i7 terasa lebih senyap bagi saya berdasarkan penggunaan kedua-duanya (bukan ujian bersebelahan) |
| Tukar nozzle | Tanpa tool, betul-betul sebelah tangan sahaja | Tanpa tool, senang tapi masih setapak di belakang i7 |
| Ekosistem | Lebih muda, bertambah baik dengan pantas, model library lebih nipis | Lebih matang, model library lebih besar, komuniti troubleshooting lebih mantap |
Kedua-dua printer ini setanding dari segi build volume dan kelajuan maksimum, jadi kedua-dua angka itu mungkin kurang mempengaruhi keputusan anda. Kedua-duanya terhad kepada 4 warna dan tiada satu pun sokong penambahan unit multicolor kedua. Dan pada kedua-dua printer, jangkakan pembaziran filament yang agak ketara setiap kali tool bertukar warna semasa cetakan multicolor, itu sifat sistem jenis AMS ini secara umum.
Jadi, Betul Ke Ia Sekadar Copy-cat?
Ini pandangan jujur saya selepas menggunakan printer ini selama beberapa bulan: persamaan dengan Bambu Lab A1 itu memang ada, dan saya tak akan berpura-pura sebaliknya sekadar untuk ambil hati Creality. Susun atur, konsep hotend quick-release, keseluruhan formula “beli combo, dapat unit gaya AMS”, semuanya jelas ikut strategi yang sama.
Tapi untuk kita panggil ia copy-cat semata-mata tak sepadan dengan apa yang saya alami sendiri semasa menggunakan printer ni. Ini teori peribadi saya semata-mata, bukan sesuatu yang saya ada bukti bertulis untuk menyokong dakwaan saya ini sepenuhnya: Creality ada dua tahun selepas A1 dilancarkan untuk perhatikan segala aduan daripada pengguna A1, kemudian mereka cuba untuk memperhalusi setiap aduan atau kekurangan yang mereka dengar daripada pengguna A1 tu sendiri. Proses untuk tukar nozzle lebih mudah, tahap bunyi yang lebih rendah dan jadikan printer itu lebih selamat adalah contoh penambahbaikan yang kita dapat lihat pada printer ini.
Sebenarnya ada satu contoh konkrit yang menyokong ini, dan saya nak beri kredit kepada sumbernya: reviewer YGK3D, yang buat teardown terperinci membandingkan kedua-dua printer ni, ada sebut kabel bed pada i7 memang ada strain relief yang betul. Perkara ini penting untuk disebut kerana A1 pernah kena recall disebabkan kabel bed yang strain relief-nya tak elok, lalu membawa risiko kebakaran. Ini bukan kebetulan, ini Creality secara jelas mereka bentuk khusus untuk atasi masalah A1 yang memang didokumenkan.
Satu Peringatan Berkenaan Quality Control
Unit saya sendiri tak pernah bermasalah sepanjang beberapa bulan ni, tapi saya tak nak berpura-pura itu bermakna semua unit sama. Dua reviewer lain yang saya tonton semasa mengumpul bahan untuk artikel ini sama-sama hadapi masalah hardware atau firmware pada unit pertama mereka, seorang ada wayar toolhead tersangkut pada frame yang menyebabkan layer shift berulang kali, seorang lagi ada RFID reader yang tak berfungsi serta sambungan yang terputus-putus dengan CFS Lite sehingga menyebabkan cetakan pause di tengah jalan. Kedua-dua mereka dapat unit ganti yang berfungsi atau pembaikan daripada Creality selepas itu, dan kedua-dua mereka kata unit yang berfungsi memberikan prestasi yang baik selepas masalah tersebut diselesaikan. Saya bukan berniat untuk menakutkan anda, unit awal pada mana-mana platform baharu memang boleh ada sedikit kekurangan, tapi elok kita tahu awal-awal yang beberapa pengguna terpaksa melalui proses tukar unit untuk dapatkan mesin yang betul-betul berfungsi.
Printer Mana Yang Patut Anda Beli?
Saya tak nak pilih pemenang di sini, sebab jawapan jujurnya bergantung kepada apa sebenarnya yang anda utamakan.
Pilih Bambu Lab A1 kalau pengalaman aplikasi dan model library paling penting bagi anda. Bambu Handy masih lebih stabil berbanding aplikasi Creality Cloud buat masa ini, dan MakerWorld masih ada katalog model yang jauh lebih mendalam. Kalau anda mahukan pilihan pemula yang paling terbukti dan paling didokumenkan, ini masih pilihan tersebut.
Pilih SPARKX i7 kalau anda mengutamakan ruang kerja yang senyap, kamera built-in yang lebih baik tanpa perlu bayar lebih, atau kemudahan-kemudahan kecil harian, tukar nozzle sebelah tangan, LED status strip yang akhirnya anda akan hargai lebih daripada jangkaan. Ia juga platform yang lebih baharu, sedang aktif mengejar dari segi software, dan berbaloi untuk kita perhatikan dengan teliti dalam setahun dua yang akan datang.
Ada juga cara pandang jangka panjang untuk pertimbangkan trade-off ni. A1 ada dua tahun rekod penggunaan dunia sebenar. Kebanyakkan masalah dah didokumenkan, penyelesaiannya pun dah dikongsi ramai dalam komuniti, dan ruang maklum balas komuniti itu sangat bernilai kalau anda mahukan ketengangan dalam pemikiran “orang lain dah selesaikan masalah ni sebelum anda hadapinya”. i7 belum ada sejarah seperti itu lagi, tapi ia juga platform yang lebih moden, dan biasanya itu bermakna ia akan ambil masa lebih lama sebelum mula terasa ketinggalan zaman. Jadi kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan dari sudut ini.
Jawapan jujur kepada soalan tajuk artikel ni: kalau ekosistem dan model library Bambu adalah perkara yang paling anda pentingkan, kekal dengan A1. Kalau anda mahukan formula mesra-pemula yang hampir sama, lebih senyap, dengan tukar nozzle yang jauh lebih baik serta kamera monitoring yang lebih bagus, dan anda tidak kisah menggunakan platform yang masih dalam proses pembinaan dari segi software, SPARKX i7 layak masuk ke senarai pilihan anda.
Satu nota terakhir sebelum saya sudahkan artikel ni. Semua perkara yang ditulis di atas adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri menggunakan printer ini selama beberapa bulan. Tapi saya turut rujuk dua review YouTube terperinci lain tentang i7 dan A1 semasa menulis artikel ni, sekadar untuk pastikan saya tak terlepas pandang apa-apa yang jelas:
Jangan terlepas artikel dan panduan terbaru
Dapatkan artikel, panduan dan model percuma terbaru Domechy terus ke peti masuk anda.
Ingin kongsikan pandangan anda atau membuat sebarang permintaan? Komen di bawah.