Ridzwan Normahazan
written on 23 May 2026
Elegoo Centauri Carbon 2 Combo: Berbaloi Untuk Harganya?
Sejak Elegoo Centauri Carbon 2 Combo dilancarkan beberapa bulan lepas, ramai dalam kalangan penonton dan pengikut media sosial saya yang meminta saya membuat ulasan tentang printer ni.
Hal ini tidak menghairankan. Centauri Carbon 1 dianggap oleh ramai pihak sebagai salah satu printer bajet terbaik dalam pasaran tahun lepas. Jadi persoalannya, bolehkah penggantinya ini meneruskan legasi tersebut?
Saya baru sahaja mula menggunakan printer ini selama beberapa hari dan sempat membuat beberapa ujian ringkas. Oleh yang demikian, dalam artikel kali ini saya ingin kongsikan gambaran awal terlebih dahulu sebelum saya teruskan dengan ujian yang lebih ekstrem dalam artikel-artikel akan datang.
Artikel ini bukan ulasan penuh jangka panjang, tetapi pandangan awal saya selepas beberapa hari menggunakan ECC2C.
Spesifikasi Ringkas
| Spesifikasi | Details |
|---|---|
| Harga | RM1,999 (harga semasa artikel ini ditulis) |
| Jenis Printer | FDM, CoreXY, Enclosed |
| Build Volume | 256 × 256 × 256 mm |
| Kelajuan Maksimum | 500 mm/s |
| Sistem Pelbagai Warna | Canvas (4 warna) |
| Suhu Nozzle Maksimum | 350°C (Hardened Steel) |
| Suhu Heated Bed Maksimum | 110°C |
| Tahap Bunyi | ≤ 45 dB |
| Display | 5-inch Touchscreen |
Unboxing dan Setup
Pandangan awal saya terhadap produk ini sebaik sahaja ia tiba di rumah saya cukup positif. Pembungkusan dia cukup kukuh dengan hard corner plastics di setiap sudut bagi mengelakkan kerosakan kotak dalam proses penghantaran. Ini merupakan penambahbaikan pertama yang saya perasan berbanding Elegoo Centauri Carbon 1 (ECC1), kerana apabila saya terima kotak ECC1 dahulu, bucu kotak penyek sewaktu penghantaran. Meskipun ia tidak berkait secara terus dengan prestasi printer berkenaan, tapi ia penambahbaikan kecil yang patut diberi pujian.
Untuk tetapan awal pula, Elegoo ada menyediakan video tutorial di YouTube channel rasmi mereka. Pengguna hanya perlu mengikuti langkah-langkah yang ditunjukkan, jadi saya rasa ia cukup mudah bagi seorang beginner untuk memasang dan membuat tetapan meskipun buat pertama kali.
Canvas system, iaitu sistem berbilang warna pada ECC2C, menyebabkan proses pemasangan sedikit lebih kompleks berbanding ECC1, tapi masih dalam tahap yang mudah pada pandangan saya.
Sistem Canvas untuk Cetakan Pelbagai Warna
Sistem Canvas ini adalah penyelesaian yang dipilih oleh Elegoo bagi menjawab permintaan terhadap cetakan pelbagai warna. Seperti AMS dalam Bambu Lab, ia membolehkan 3D printer mencetak lebih daripada satu warna dengan menukar filament yang digunakan secara automatik dalam proses cetakan.
Kedua-dua sistem boleh mengenal pasti filament secara automatik menggunakan RFID. Tapi pendekatan setiap sistem itu sedikit berbeza. Sistem AMS boleh mengesan RFID pada filament spool secara automatik, termasuk filament yang digunakan dan kedudukan slot apabila kita letakkan filament tersebut di dalam AMS.
Dalam Canvas ECC2C pula, anda perlu mendekatkan spool yang mengandungi RFID tersebut pada RFID reader dalam Canvas module, tunggu bunyi beep untuk pengesahan, kemudian pilih slot untuk meletakkan filament berkenaan.
Nota penting: Ketika memasukkan filament buat kali pertama, load salah satu filament secara manual sampai nampak filament keluar dari nozzle sebelum membuat sebarang cetakan. Jika tidak, anda mungkin akan mendapat mesej error yang mengatakan filament loading gagal dijalankan.
Kualiti Cetakan Yang Sangat Baik
Pada peringkat awal ujian yang saya jalankan, apa yang saya boleh katakan adalah kualiti cetakan ECC2C ini setanding dengan printer yang jauh lebih mahal.
Untuk menjadikan titik perbandingan jelas dan adil, saya cetak model panda yang sama seperti yang saya cetak menggunakan Bambu Lab X2D dan Bambu Lab P2S. Dari segi masa cetakan, ECC2C mengambil masa lebih kurang 4 jam 19 minit, lebih lambat sedikit berbanding Bambu Lab P2S yang mengambil masa 3 jam 53 minit. Namun begitu, kualiti cetakan ECC2C sama baik dengan Bambu Lab P2S dan X2D. Untuk sebuah printer yang harganya separuh berbanding Bambu Lab P2S, ia adalah pencapaian yang sangat memberangsangkan.
Ujian Tambahan
Selain ujian panda tadi, saya turut menjalankan dua ujian tambahan.
Pertama, saya mencetak model octopus yang sama seperti yang saya cetak dalam ujian X2D sebelum ini. Yang menarik, untuk bahagian mata octopus, saya menggunakan Rapid PETG manakala bahagian lain menggunakan PLA. Hasilnya agak mengejutkan saya kerana cetakan berjaya disiapkan dengan baik. Untuk aplikasi mudah seperti ini, ECC2C mampu mengendalikan cetakan pelbagai bahan dengan agak baik.
Kedua, saya mencetak semula model panda yang sama dari ujian pertama, tetapi kali ini saya gandakan kelajuan cetakan untuk melihat kesannya terhadap masa cetakan dan kualiti. Hasilnya, perbezaan masa cetakan tidak begitu ketara, iaitu mungkin hanya beberapa minit sahaja. Saya rasa ini mungkin kerana saiz model yang terlalu kecil. Dari segi kualiti pula, hampir tiada perbezaan yang boleh saya kesan antara kedua-dua cetakan tersebut.
Antara Kekurangan Yang Jelas
Meskipun saya banyak memuji Elegoo Centauri Carbon 2 Combo ini sebagai 3D printer yang sangat berkualiti berbanding harganya, tapi ia tidak bermaksud 3D printer ini sempurna. Di sebalik harga yang mampu milik dan spesifikasi yang tinggi itu, anda perlu bersabar dengan beberapa kelemahannya.
1. Mesej “Cannot Load Filament” Yang Kerap
Saya telah menghadapi mesej error ini pada kali pertama saya cuba membuat cetakan menggunakan ECC2C. Setelah saya cuba tekan “load” salah satu filament secara manual dan meneruskan proses berkenaan berkali-kali meskipun mesej error tersebut keluar setiap kali, barulah saya lihat cecair filament mula keluar dari nozzle dan printer boleh mula digunakan. Selepas itu saya boleh mencetak seperti biasa.
Beberapa hari kemudian, saya menghadapi masalah yang sama apabila saya cuba menukar filament dari salah satu slot di Canvas. Saya menggunakan langkah yang sama dan dapat menyelesaikan masalah tersebut sekali lagi.
Apabila kita sudah tahu cara untuk menyelesaikannya, ia tidaklah menjadi masalah yang begitu besar. Tapi bagi seseorang yang sudah terbiasa dengan proses automatik dalam printer jenama lain, perkara ini mungkin sedikit menjengkelkan.
2. Slicer Yang Mengecewakan
Saya dah terlalu biasa dengan kemudahan Bambu Studio dan Orca Slicer. Jadi apabila saya menggunakan Elegoo Slicer, saya rasa ia agak sukar untuk digunakan.
Sebagai contoh, walaupun saya telah memilih untuk sync filament dengan printer berkenaan, ia tidak menunjukkan hasil sync yang tepat. Meskipun filament yang ada di printer telah ditetapkan sebagai PETG, tapi apabila kita sync dalam software, ia menunjukkan filament berkenaan sebagai PLA. Jadi akhirnya kita perlu menukar tetapan itu secara manual. Sekali lagi saya katakan, ini bukanlah masalah yang besar, tapi bagi seseorang yang telah terbiasa dengan sistem automatik dalam jenama-jenama lain, ia satu perkara yang agak menjengkelkan.
3. Kamera Tidak HD
Sebagai seorang pencipta kandungan di media sosial, saya kerap merakam timelapse proses cetakan untuk digunakan dalam video saya. Pertama kali saya melihat hasil rakaman ECC2C ini, saya agak kecewa kerana kualitinya agak teruk dan tidak sesuai digunakan dalam video di media sosial.
Penting untuk saya jelaskan di sini — segala kekurangan yang saya nyatakan di atas hanyalah menjurus kepada perkara sampingan dalam 3D printing. Ia tidak menjejaskan secara langsung kualiti cetakan. Ia lebih kepada soal kemudahan penggunaan 3D printer secara keseluruhannya.
Siapa Yang Sesuai Beli ECC2C?
Bagi saya, ECC2C ini sangat sesuai bagi mereka yang mahukan 3D printer sebagai alat menghasilkan cetakan 3D dengan kualiti yang baik, tapi mempunyai bajet yang terhad. Sekiranya anda tidak terlampau mementingkan perkara tambahan seperti kualiti kamera yang HD atau ekosistem menyeluruh, saya rasa anda akan suka dengan ECC2C. Jika anda inginkan 3D printer yang “get the job done”, ini merupakan pilihan yang sangat baik.
Sebagai contoh, sekiranya anda merupakan pelajar universiti yang memerlukan sebuah 3D printer harga mampu milik untuk membuat projek FYP seperti badan drone, ECC2C dah lebih daripada cukup untuk mencetak badan drone tersebut menggunakan bahan yang tahan lasak seperti filament yang mengandungi carbon fibre.
Tapi sekiranya anda mementingkan perkara sampingan seperti ingin mengawal printer melalui telefon bimbit, tidak suka troubleshoot masalah seperti filament loading error yang kerap berlaku, atau ingin merakam video timelapse HD untuk kegunaan media sosial, mungkin anda kurang sesuai untuk menggunakan ECC2C.
Kesimpulan
Selepas beberapa hari menggunakan Elegoo Centauri Carbon 2 Combo, pandangan awal saya agak positif. Printer ini bukan sekadar nampak menarik dari segi spesifikasi, tetapi benar-benar mampu menghasilkan cetakan yang kemas dan konsisten dalam ujian awal saya.
Perkara paling kuat pada ECC2C ialah nilai untuk wang. Dari segi kualiti cetakan, ia mampu berdiri hampir setanding dengan printer yang jauh lebih mahal. Ujian menggunakan model panda, cetakan pelbagai bahan dengan Rapid PETG dan PLA, serta ujian kelajuan cetakan menunjukkan bahawa printer ini mempunyai potensi yang sangat baik untuk pengguna yang mahukan hasil cetakan berkualiti tanpa membayar harga premium.
Namun begitu, ECC2C bukan printer yang sempurna. Isu seperti filament loading error, prestasi slicer yang belum sematang pesaing lain, serta kualiti kamera yang tidak begitu tinggi adalah perkara yang perlu dipertimbangkan. Bagi saya, kelemahan ini lebih kepada pengalaman penggunaan dan ekosistem, bukan pada kualiti cetakan itu sendiri.
Sekiranya anda mahukan printer dengan ekosistem lengkap, kamera lebih baik, dan pengalaman software yang lebih lancar, mungkin anda akan mengalami masalah sedikit dengan printer ini. Tetapi sekiranya fokus utama anda ialah kualiti cetakan, kemampuan mencetak pelbagai warna, dan value for money, Elegoo Centauri Carbon 2 Combo ialah pilihan yang sangat kuat dalam julat harganya.
Ini baru pandangan awal saya. Untuk artikel seterusnya, saya akan cuba uji printer ini dengan bahan dan model yang lebih mencabar.
Nota: Unit ECC2C ini dihantar oleh Elegoo HQ kepada saya untuk tujuan ujian dan review. Namun segala isi yang ditulis dalam artikel ini adalah pandangan saya sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan oleh pihak Elegoo.
Baca review pandangan awal berkenaan Bambu Lab X2D Combo di sini.