Panduan Memilih Bahan Filament 3D Print

Domechy Documentation Library | DCY-11

Amirul Faiz bin Fadzil

ditulis pada 26 Feb 2026

Artikel ini bawakan kepada anda oleh

Panduan Pilih Filamen 3D Print

Sekiranya kita ibaratkan 3D printer sebagai mesin memasak, maka filament ialah bahan masakan.

  • Guna bahan yang salah, maka hasil masakan akan menjadi tidak enak.
  • Guna bahan yang betul, maka hasil masakan akan jadi enak dan kelihatan professional.

Sekiranya anda baru bermula dalam dunia 3D printing, mungkin ada yang menganggap semua filament sama sahaja. Hakikatnya, pemilihan bahan filament
menentukan kekuatan, fleksibiliti, ketahanan haba, dan rupa akhir produk.

Artikel ini guna konsep 5W1H supaya anda mudah faham dan boleh pilih material yang sesuai untuk projek anda.

WHAT : Apa itu bahan filament 3D printing?

Bahan atau dakwat untuk 3D printing ialah bahan yang digunakan oleh printer untuk membina objek 3D lapisan demi lapisan.
Untuk printer jenis FDM (paling popular), bahan ini dipanggil filament, iaitu bahan berbentuk tali plastik yang dicairkan dan dibentuk menjadi objek.

Antara bahan filament yang sering digunakan adalah:

  • PLA – mudah guna & mesra beginner
  • ABS – kuat & tahan panas
  • PETG – tahan lasak & fleksibel sedikit
  • TPU – lembut & fleksibel
  • Nylon atau carbon fiber reinforced filament – kegunaan industri & kekuatan tinggi

WHY : Kenapa pemilihan bahan filament ini sangat penting?

Pemilihan bahan filament untuk digunakan dalam proses 3D printing adalah sangat penting kerana bahan yang berbeza akan memberikan kesan berbeza terhadap:

  • Kekuatan produk
  • Ketahanan haba & cuaca
  • Fleksibiliti atau kekerasan
  • Ketahanan hentakan
  • Kualiti permukaan
  • Ketahanan jangka panjang

Oleh itu, kita perlu pilih bahan yang tepat untuk kegunaan yang berbeza. Sebagai contoh mudah:

  • Phone stand → PLA sudah cukup
  • Bracket kereta → perlukan PETG atau ABS
  • Phone case → TPU lebih sesuai

Jika kita memilih bahan yang salah atau kurang sesuai, objek yang kita hasilkan mungkin tidak dapat digunakan sepenuhnya sepertimana yang kita inginkan.

WHO : Siapa perlu tahu tentang pemilihan bahan filament ini?

Secara ringkasnya, sesiapa sahaja yang ingin menggunakan 3D printer perlu memahami perbezaan setiap filament asas bagi menghasilkan cetakan yang baik. Tidak kisah la anda seorang pelajar, hobbyist, maker, pengusaha servis cetakan 3D ataupaun usahawan produk custom, anda perlu memahami asas bahan filament ini jika inginkan hasil yang baik.

Lebih lebih lagi jika anda menjual produk cetakan 3D, pemilihan bahan yang tepat akan menentukan kepuasan pelanggan.

WHERE : Di mana material digunakan?

Material 3D printing perlu dipilih mengikut aplikasi kerana setiap material mempunyai sifat berbeza.

Kegunaan Harian
• Organizer meja
• Hook & hanger
• Phone stand
PLA adalah pilihan paling sesuai kerana mudah dicetak dan mencukupi untuk kegunaan ringan.

Outdoor & Suhu Tinggi
• Aksesori kereta
• Produk luar rumah
PETG atau ABS lebih sesuai kerana lebih tahan haba dan cuaca.

Produk Fleksibel
• Phone case
• Gasket
• Pelindung
TPU adalah pilihan terbaik kerana sifatnya yang elastik.

Aplikasi Mechanical & Industri
• Jig & fixture
• Gear
• Komponen mesin
Nylon atau carbon fiber filament digunakan kerana kekuatan dan ketahanan yang tinggi.

fungsi setiap filament berbeza

WHEN : Bila perlu tukar material?

Kebanyakan beginner bermula dengan PLA kerana ia paling mudah digunakan. PLA tidak memerlukan suhu tinggi, kurang isu warping, dan setting lebih fleksibel sebab itu ia sangat sesuai untuk belajar asas 3D printing dan menghasilkan print yang konsisten pada peringkat awal.

Namun, PLA mempunyai limit yang jelas. Ia mula melembut sekitar ~60°C, agak rapuh, dan tidak direka untuk kegunaan yang lasak atau persekitaran mencabar.

Anda perlu mula pertimbangkan untuk tukar material apabila fungsi produk mula menuntut lebih daripada apa yang PLA boleh beri. Contohnya, jika produk terdedah kepada haba (seperti dalam kereta), PLA boleh berubah bentuk. Jika produk perlu fleksibel, PLA akan mudah retak kerana sifatnya yang keras. Untuk aplikasi yang memerlukan kekuatan tinggi atau menanggung beban berulang, PLA juga cenderung gagal lebih cepat.

Begitu juga untuk kegunaan luar rumah. Pendedahan kepada haba dan UV akan mempercepatkan degradasi PLA. Dalam banyak kes, apabila produk mudah retak atau pecah, ia bukan semata-mata masalah design, tetapi tanda bahawa material yang digunakan tidak sesuai.

Ringkasnya, bila produk mula gagal dalam penggunaan sebenar, itu signal paling jelas bahawa sudah tiba masanya untuk tukar material.

HOW : Cara memilih material yang sesuai

Pemilihan material bermula dengan memahami fungsi produk. Sebelum memilih, tanya diri sendiri: adakah produk ini perlu menahan beban (high strength), perlu fleksibel, atau akan terdedah kepada suhu panas? Keperluan ini akan terus menentukan jenis material yang sesuai.

Selepas itu, padankan fungsi dengan material:

KeperluanMaterial Disyorkan
Beginner & dekorasiPLA
Tahan panasABS
Outdoor / tahan lasakPETG
FleksibelTPU
Kekuatan tinggiNylon / Carbon Fiber

Selain fungsi, kemudahan printing juga perlu diambil kira, terutamanya untuk beginner. Tidak semua material mudah digunakan, dan ini boleh memberi kesan besar kepada hasil cetakan.

Tahap Kesukaran Printing:

  • Mudah: PLA

  • Sederhana: PETG, TPU

  • Advanced: ABS, Nylon, Carbon Fiber

Secara praktikal, jika anda baru bermula, mulakan dengan PLA untuk memahami asas. Kemudian beralih ke PETG sebelum mencuba material yang lebih advanced. Ini mengurangkan trial & error dan mempercepatkan proses pembelajaran.

Tip Penting (Ramai Beginner Terlepas Pandang)

  • Simpan filament dalam bekas kedap udara
  • Filament yang menyerap lembapan akan menurunkan kualiti print
  • Setiap material memerlukan suhu printing yang berbeza
  • Gunakan filament berkualiti untuk hasil yang lebih konsisten

Penutup: Bahan Yang Tepat = Print Berjaya

Dalam 3D printing, mesin mahal bukanlah satu-satunya faktor utama kejayaan.
Yang sama penting ialah pemilihan bahan dan tetapan yang betul.

Bahan yang sesuai + tetapan yang betul = hasil print berkualiti dan tahan lama

Apabila anda memahami fungsi setiap material, anda bukan sahaja boleh menghasilkan print yang cantik, tetapi juga produk yang lebih tahan dan berpotensi untuk kegunaan sebenar atau komersial.

Untuk lebih banyak panduan praktikal, teruskan membaca artikel di Domechy.com.

Nota: Suka untuk kami kongsikan, SUNLU yang merupakan penaja utama Domechy turut menyediakan filament dengan kualiti yang konsisten pada harga yang berpatutan, terutamanya untuk pembelian dalam kuantiti banyak. Jika anda sedang mencari filament yang stabil untuk kegunaan harian, boleh pertimbangkan untuk mencubanya.

Scroll to Top