Masalah Cetakan 3D: Punca dan Penyelesaian

Domechy Documentation Library | DCY-13

Walid Bin Wajdy

ditulis pada 5 Mac 2026

Artikel ini bawakan kepada anda oleh 

kegagalan dalam 3D printing

Dalam dunia 3D printing, tidak lari dari masalah-masalah yang berlaku ketika proses mencetak mahupun setelah selesai cetakan. Dalam perkongsian kali ini, saya senaraikan tiga masalah yang kerap berlaku dalam cetakan 3D:

1. Lapisan Pertama Tidak Melekat (first layer adhesion)

Selepas menekan butang print, lapisan pertama menentukan sama ada cetakan akan berjaya atau gagal. Kadangkala, lapisan pertama tidak melekat pada print bed ketika proses cetakan 3D bermula atas beberapa faktor dan kemungkinan. Bilamana lapisan pertama tidak melekat, lapisan-lapisan lain sudah tentu gagal dicetak kerana tiada permukaan untuk dicetak.

Contoh cetakan lapisan pertama yang gagal
PuncaPenyelesaian
Print bed tidak selari dengan nozzleSelarikan ketinggian print bed yang sesuai
Permukaan print bed tidak cukup lekatanNaikkan suhu print bed (65°C–70°C)
Kelajuan cetakan terlalu tinggiKurangkan kelajuan cetakan (30–60 mm/s)

Sesetengah pengguna terutama mesin pencetak 3D yang lama, akan menggunakan gam atau glue stick dan letakan pada permukaan print bed supaya lekatan lapisan pertama menjadi kuat. Namun, dengan teknologi terkini, kebanyakan mesin pencetak 3D sekarang tidak perlu lakukan sedemikian kerana mempunyai fungsi auto bed leveling yang memastikan lapisan pertama berjaya dicetak dengan kemas.

2. Warping

Warping adalah masalah biasa yang berlaku dalam cetakan 3D di mana salah satu penjuru atau bahagian cetakan naik daripada print bed. Secara teknikal, ia berlaku kerana lapisan pertama cetakan terlalu cepat sejuk sehingga lapisan kedua cetakan tidak sempat melekat dengan baik bersama lapisan pertama. Masalah ini mempunyai beberapa punca yang boleh dikenalpasti serta diselesaikan dengan sedikit pelarasan teknikal.

masalah warping dalam 3D printing
Contoh cetakan 3D yang mengalami masalah warping
PuncaPenyelesaian
Lapisan awal terlalu cepat sejukKurangkan kelajuan cetakan (beberapa lapisan awal sahaja)
Print bed tidak selariSelarikan ketinggian print bed yang sama pada keempat-empat penjuru

Satu cara yang berkesan bagi mengelakkan masalah warping ialah menggunakan tetapan brim ataupun raft. Tetapan ini akan mencetak objek anda dengan lebihan luaran pada lapisan pertama bagi memastikan lapisan objek sebenar tidak terkesan dengan masalah warping.

Tetapan brim/raft boleh dijumpai di bawah tetapan build plate adhesion

3. Stringing

Stringing adalah masalah biasa juga yang berlaku dalam dunia cetakan 3D di mana objek yang sudah dicetak mempunyai kesan iras-iras rambut yang halus. Ini berlaku akibat lebihan filament cair yang terkeluar dari nozzle sewaktu mesin cetakan 3D tidak mencetak apa-apa, khususnya ketika nozzle sedang bergerak dari satu bahagian cetakan ke bahagian yang lain. Masalah stringing bukanlah masalah yang merosakan cetakan anda, namun ia mengakibatkan sesuatu cetakan itu buruk atau tidak kemas pada permukaannya.

masalah stringing dalam 3D printing
Contoh cetakan 3D yang mempunyai masalah stringing
PuncaPenyelesaian
Nozzle terlalu panas hingga mencairkan lebihan filamentKurangkan suhu nozzle
Pergerakan nozzle terlalu lambatNaikkan kelajuan cetakan
Tetapan retraction dimatikanHidupkan tetapan retraction dalam aplikasi slicer

Selain daripada punca teknikal yang dinyatakan di atas, salah satu faktor paling biasa yang menyebabkan berlakunya masalah stringing ialah filament yang menyerap kelembapan. Walaupun filament tersebut kelihatan kering pada mata dan sentuhan tangan, bergantung kepada tahap kelembapan udara di sesuatu tempat, filament boleh menyerap wap air daripada persekitaran.

Apabila filament yang mengandungi kelembapan dipanaskan di dalam nozzle, air tersebut akan bertukar menjadi wap dan menyebabkan aliran filament menjadi tidak stabil. Ini sering mengakibatkan lebihan filament keluar daripada nozzle dan menghasilkan kesan stringing pada permukaan cetakan.

Cara paling mudah untuk mengelakkan masalah ini adalah dengan mengeringkan filament sebelum digunakan. Antara alat yang biasa digunakan ialah filament dryer, seperti filament dryer daripada SUNLU, yang direka khas untuk mengeluarkan kelembapan daripada filament dan memastikan proses cetakan menjadi lebih stabil.

contoh filament dryer daripada SUNLU

Kesimpulan

Tiga masalah kebiasaan dalam dunia cetakan 3D adalah lapisan pertama cetakan tidak melekat, warping, dan juga stringing. Masalah-masalah ini boleh diselesaikan dengan sedikit pelarasan teknikal pada mesin cetakan 3D serta aplikasi slicer anda. Pastikan anda menyemak segala tetapan sebelum menekan butang print supaya dapat hasil cetakan yang terbaik.


Selamat bercetak!

Sekiranya anda masih baru dalam dunia 3D printing, anda boleh baca artikel berkenaan apakah itu teknologi 3D printing di sini.

Anda juga baca lebih banyak tips berkaitan 3D printing dalam artikel-artikel berikut:

 

Nota: Suka untuk kami kongsikan, SUNLU yang merupakan penaja utama Domechy turut menyediakan filament dengan kualiti yang konsisten pada harga yang berpatutan, terutamanya untuk pembelian dalam kuantiti banyak. Selain filament, SUNLU juga menawarkan pelbagai aksesori 3D printing seperti filament dryer dan peralatan penyimpanan filament yang membantu memastikan filament sentiasa berada dalam keadaan optimum. Jika anda sedang mencari filament atau aksesori yang stabil untuk kegunaan harian, boleh pertimbangkan untuk mencubanya.

Scroll to Top