#Opinion
Shapr3D: Sesuai untuk Industri atau Sekadar Hobi?
Shapr3D makin dikenali sebagai CAD mudah alih di iPad. Tapi persoalannya, adakah ia cukup untuk industri, atau sekadar hobi?

Ridzwan Normahazan
2 Sep, 2025 ー bacaan 5 minit

Apakah itu shapr3D
Di sebalik nama besar dalam dunia CAD (Computer Aided Design) seperti Solidworks, AutoCAD, dan CATIA, muncul satu pesaing baru yang semakin dikenali iaitu Shapr3D.
Bagi pengikut video saya, mungkin sudah biasa nampak perisian ini kerana saya sering menggunakannya. Malah, baru-baru ini saya juga hasilkan video untuk memperkenalkan Shapr3D.
Secara ringkas, Shapr3D ibarat gabungan Solidworks dan Blender. Ia membolehkan kita menukar lakaran 2D kepada 3D dengan mudah hanya dengan drag & pull permukaan, sama ada menggunakan tetikus ataupun Apple Pencil. Ia tidak terlalu ketat dengan nilai parametrik, tapi masih menyokong rekabentuk parametrik bila perlu.
Keistimewaan utamanya? Ia boleh digunakan di iPad dengan lancar, tanpa isu lag yang selalu menghantui CAD lain. Jadi kita boleh rekabentuk di mana-mana sahaja, bukan hanya di meja kerja.
Namun begitu, sejak ia dilancarkan, ramai berpendapat Shapr3D hanya sesuai untuk hobi atau 3D printing ringan, bukan untuk industri. Malah, ada komen pada video saya yang berbunyi:
“Takat main buat je tak consider G&T, time nak buat drawing and actual fabrication, boleh menangis ni dik. Ini sesuai utk model game atau part suka2 utk 3D printer je.”
jadi, adakah pandangan ini benar? Mari saya kongsi pengalaman saya sendiri.
Kenapa Shapr3D Belum Sesuai untuk Industri
1. Fungsi Assembly yang Terhad
Tidak seperti Solidworks yang ada mate atau Fusion dengan joint, Shapr3D hanya membenarkan kita menyusun part tanpa hubungan. Bila satu part digerakkan, part lain kekal di tempat asal. Ini menyukarkan analisis pergerakan, contohnya pada projek tangan robot yang saya pernah buat ketika bekerja di sebuah syarikat robotic system integrator dahulu.
2. Lukisan 2D Asas
Shapr3D boleh hasilkan lukisan 2D daripada model 3D, tetapi sangat terhad. Tiada simbol G&T (Geometric & Tolerance) yang lengkap, hanya ukuran asas. Untuk projek yang perlukan ketepatan tinggi, ini jadi kekangan besar.
Kenapa Shapr3D Masih Berguna dalam Industri
1. Sesuai untuk Lukisan Asas
Tidak semua projek perlukan G&T kompleks. Contohnya, ketika saya bekerja di Jepun dalam integrasi sistem robotik, ada part yang perlukan G&T ketat (seperti gripper), tapi banyak juga hanya perlukan toleransi sebanyak ±0.xx mm (contoh: rangka robot, bracket asas). Dalam kerja saya sekarang dalam sistem laser pun sama, banyak integrasi cukup dengan lukisan asas sahaja.
2. Mudah Alih & Fleksibel
Kelebihan Shapr3D ialah mudah digunakan di iPad. Semasa lawatan kilang pembekal, ia memudahkan saya buat quick fix atau ubah suai lukisan terus di sana.
3. Digabung dengan Perisian Lain
Shapr3D boleh jadi backup kepada software besar. Contohnya: buat model kasar di Shapr3D → export → tambah dimensi & G&T di AutoCAD. Di syarikat saya, ada jurutera yang lebih suka workflow macam ni.
Kesimpulan
Adakah Shapr3D mampu menggantikan Solidworks atau AutoCAD untuk industri besar? Belum. Kekangan pada assembly dan lukisan 2D menjadikan ia masih kurang sesuai, pada pandangan saya.
Tapi adakah Shapr3D hanya sesuai untuk projek yang sekadar main-main? Juga tidak. Saya sendiri sudah gunakan Shapr3D untuk menghasilkan fabrikasi sebenar, termasuk produk untuk klien di Jepun.
Kesimpulannya: Shapr3D bukan pengganti CAD industri sepenuhnya, tetapi ia alat tambahan yang sangat berguna, terutama bila kita perlukan fleksibiliti, kelajuan, dan kemudahan rekabentuk mudah alih.

