#Guide
Mula 3D Printing | Senarai Minimum
Berminat dengan 3D printing tetapi tak tahu bagaimana nak mula? Mari tengok senarai minimum yang anda perlukan.

Ridzwan Normahazan
07 Sep 2025 ー bacaan 5 minit

TL;DR
Untuk bermula, cukup sekiranya ada 3D printer + filamen PLA + satu slicer + model 3D. Selebihnya (rak filamen, pengering, kamera, dan sebagainya) boleh ditambah kemudian bila anda sudah selesa dan tahu apa yang anda perlukan.
Bermula dengan 3D Printing
Sejak saya mula berkongsi projek 3D printing kira-kira tiga tahun lalu, antara soalan yang paling kerap saya dapat ialah:
“Apa barang minimum untuk mula guna 3D printer?”
Melihat penggemar 3D printing yang ada 2–3 printer dengan rak filamen, pengering, PC “monster”, kamera pengawasan, dan macam-macam gajet lain memang boleh buat kita rasa overwhelmed dan takut nak bermula.
Tapi sebenarnya, kita tak perlu semua itu untuk bermula. Di bawah ialah senarai minimum yang praktikal bagi orang yang sekadar ingin bermula.
1. 3D Printer jenis FDM
Perkara pertama, sudah tentu 3D printer. Dalam dunia 3D printing ada banyak jenis printer berbeza: FDM, SLA, SLS dan lain-lain (insya-Allah saya huraikan perbezaannya dalam artikel lain).
Dalam video saya selama ini, saya menggunakan 3D printer jenis FDM (Fused Deposition Modeling), jadi perkongsian ini berasaskan FDM. Antara jenama popular untuk 3D printer jenis FDM ni adalah: Bambu Lab, Creality, Prusa, Elegoo.
Harga 3D printer FDM kini adalah sekitar RM800 hingga belasan ribu bergantung pada jenama, saiz dan kualiti (anggaran kasar). Sesetengah 3D printer juga akan hadir bersama kad mikroSD untuk memindahkan fail secara manual dari komputer ke printer.
2. Filamen
“Dakwat” untuk 3D printer FDM ialah filamen, iaitu untaian plastik yang bergulung. Diameter paling biasa digunakan adalah 1.75 mm dan bahan mesra pemula ialah PLA (Polylactic Acid), iaitu plastik biodegradable berasaskan tepung jagung. Banyak lagi pilihan bahan dan diameter lain, tetapi untuk pemula, boleh bermula dengan PLA 1.75 mm.
Di Malaysia, harga filamen PLA 1 kg biasanya sekitar RM60 ke atas, bergantung pada jenama dan kualiti.
3. Perisian Slicer
Satu-satunya perisian wajib ialah slicer. Fungsinya adalah untuk menukarkan model 3D kepada G-code (arahan pergerakan printer). Prosesnya mudah: seret & lepas (drag & drop) model ke dalam slicer, pilih tetapan parameter (tetapan default pun cukup untuk permulaan), tekan Slice—siap.
Ada banyak slicer percuma yang kita boleh gunakan, contohnya Cura, PrusaSlicer, dan Bambu Studio.
4. Model 3D
Akhir sekali, kita perlukan model 3D. Tanpa model, tiadalah apa yang nak dicetak. Sama seperti print gambar 2D, kita perlukan gambar 2D sama ada dalam format JPEG atau PNG. Untuk 3D printing pula, kita perlukan model 3D dalam format seperti STL.
Cara mendapatkan model berkenaan:
- Reka sendiri menggunakan CAD seperti Shapr3D, Autodesk Fusion, SolidWorks. Ada yang percuma untuk hobi (cth. Fusion), ada juga profesional berbayar (cth. SolidWorks). Tapi perlu diingatkan, masa yang diperlukan untuk belajar CAD sampai mahir mungkin agak lama.
- Muat turun dari internet. Banyak laman web yang berkongsi model 3D—percuma atau berbayar—seperti Thingiverse, Printables, Cults3D, MakerWorld, GrabCAD. (Semak lesen model sebelum guna)
Bonus: Minimum PC untuk Menggunakan Slicer
Perisian slicer tidak seberat perisian CAD, tetapi elok elakkan spesifikasi terlalu rendah jika anda mahu memproses model kompleks.
Ringkasnya (2025):
- OS 64-bit: Windows 10+, macOS 10.15+, atau Linux moden
- CPU: Dwi-teras ~2 GHz (Intel/AMD)
- RAM: 4 GB minimum, 8 GB disyorkan
- Grafik: OpenGL 2.0 minimum; pratonton 3D Cura lebih stabil dengan OpenGL 4.1
- Storan: 0.5–2 GB ruang kosong
- Paparan: 1280×800 minimum (1080p lebih selesa)
Contoh keperluan ringkas mengikut slicer:
- UltiMaker Cura — 64-bit; 8 GB RAM disyorkan; pratonton 3D/layer lebih baik dengan OpenGL 4.1.
- PrusaSlicer — OpenGL 2.0+; 4 GB min / 8 GB+ disyorkan; Windows 7+ (64-bit), macOS 10.11+, Linux.
- Bambu Studio — Windows 10+, macOS 10.15+, Ubuntu 20.04+; OpenGL 2.0+; 4 GB min / 8 GB disyorkan; ~2 GB storan.
Nota tambahan:
- Driver GPU penting. Kad grafik lama masih boleh jalankan slicer; kemas kini driver jika pratonton 3D bermasalah.
- “Minimum” ≠ “selesa.” 4 GB RAM boleh, tapi model kompleks akan perlahan. 8 GB ialah lantai praktikal.
- Model besar = lebih memori. Mesh beresolusi tinggi, sokongan generatif, dan “stack” banyak objek akan perlahan pada PC lama.
- Driver GPU penting. Kad grafik lama masih boleh jalankan slicer; kemas kini driver jika pratonton 3D bermasalah.