#Opinion #Guide
3D Printer Terbaik Untuk Pemula (2026)
Ridzwan Normahazan
ditulis pada 20 Jan 2026
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya kerap berkongsi kandungan berkaitan 3D printer, satu soalan yang paling kerap saya terima ialah:
“3D printer apa yang paling sesuai untuk beginner?”
Memandangkan 3D printer ini bukanlah barang yang rendah nilainya, dan pengetahuan berkenaan jenama dan model 3D printer di Malaysia masih belum meluas, soalan ini memang munasabah.
Jadi dalam artikel ini, saya nak kongsikan beberapa model 3D printer yang saya rasa sesuai digunakan oleh beginner atau pemula buat tahun 2026, berdasarkan pengalaman sendiri dan pengamatan dalam komuniti.
Perkara Asas Yang Perlu Dipertimbangkan
Sebagai beginner atau pemula, kita tidak perlu fikir spesifikasi teknikal terlalu mendalam. Mari kita mulakan dengan persoalan asas terlebih dahulu.
1. Tujuan penggunaan
- Nak cetak barang kecil atau besar?
- Nak cetak barang hiasan, atau barang praktikal yang digunakan harian?
- Nak cetak satu warna sahaja, atau berminat dengan cetakan pelbagai warna?
2. Bajet
3D printer ada julat harga yang sangat luas: dari sekitar RM600 hingga beberapa ribu ringgit.
Soalan paling penting: berapa bajet maksimum yang anda sanggup laburkan untuk cuba hobi ini?
3. Kemudahan penggunaan
- Nak printer yang senang guna, pasang dan terus print? (plug-and-play)
- Atau memang nak belajar, tweak setting, dan faham cara 3D printer berfungsi?
Untuk artikel ini, saya fokus pada printer yang sesuai untuk pemula, bukan level industri atau yang sangat kompleks.
Bambu Lab A1 Series
Kalau anda tanya secara rawak di media sosial hari ini, kemungkinan besar majoriti akan mencadangkan Bambu Lab A1 atau A1 Mini. Ini bukan sesuatu yang pelik.
Printer ini menjadi pilihan popular kerana:
- mudah digunakan
- banyak fungsi automatik
- kualiti cetakan tinggi untuk harga yang ditawarkan
Bambu Lab A1 Mini
Anggaran harga di Malaysia:
± RM899 (± RM1549 jika disertakan unit multicolor)
Spesifikasi ringkas
- Struktur bed-slinger
- Saiz cetakan: 180 × 180 × 180 mm
- Auto bed leveling & auto calibration
- Boleh mencetak bahan PLA, PETG, TPU
Sesuai untuk anda jika:
- bajet bawah RM1000
- nak printer yang mudah guna tanpa banyak isu teknikal
- cetak barang kecil seperti organizer, holder, figure
- tak bercadang cetak bahan suhu tinggi atau struktur berat
Ini antara printer paling senang untuk bermula tanpa sakit kepala.
Bambu Lab A1
Anggaran harga di Malaysia:
± RM1299 (± RM1999 dengan unit multicolor)
Spesifikasi ringkas
- Struktur bed-slinger
- Saiz cetakan: 256 × 256 × 256 mm
- Auto bed leveling & auto calibration
- Boleh mencetak bahan PLA, PETG, TPU
Sesuai untuk anda jika:
- nak saiz cetakan lebih besar berbanding A1 Mini
- masih mahukan pengalaman “plug and play”
- cetak barang praktikal bersaiz sederhana
- tak berminat untuk terlalu banyak tuning
A1 ni mempunyai kelebihan yang sama dengan A1 mini, tetapi dengan saiz cetakan yang lebih besar.
Creality Ender 3 V3 SE
Ender 3 boleh dianggap sebagai model klasik dalam dunia 3D printing. Sekitar 2020 hingga 2022, inilah printer yang paling kerap dicadangkan kepada beginner.
Walaupun murah, Ender 3 masih mampu hasilkan cetakan yang baik, dengan syarat anda sanggup belajar dan sedikit bersabar.
Anggaran harga di Malaysia
± RM649
Spesifikasi ringkas
- Struktur bed-slinger
- Saiz cetakan: 220 × 220 × 250 mm
- Auto bed leveling (CR-Touch)
Sesuai untuk anda jika:
- bajet sangat terhad
- memang nak belajar asas teknikal 3D printing
- tak kisah troubleshoot dan buat adjustment
- nak faham bagaimana 3D printer sebenarnya berfungsi
Ender 3 bukanlah 3D printer paling mudah digunakan, tapi ia boleh mengajar kita dengan lebih mendalam berkenaan bagaimana 3D printer berfungsi.
Bambu Lab P1S
Bambu Lab P1S ialah printer untuk mereka yang baru bermula dengan lebih serius dan mempunyai bajet yang lebih tinggi.
Ia menggunakan struktur CoreXY dan enclosure penuh, yang membantu dari segi kestabilan, kelajuan, dan bahan yang boleh dicetak.
Anggaran harga di Malaysia
± RM2299 (± RM3249 dengan unit multicolor)
Spesifikasi ringkas
- Saiz cetakan: 256 × 256 × 256 mm
- Struktur CoreXY, fully enclosed
- Auto calibration & auto bed leveling
- Boleh mencetak bahan PLA, PETG, TPU, ABS, ASA, Nylon
Sesuai untuk anda jika:
- ada bajet lebih dan nak beli printer untuk jangka panjang
- bercadang cetak bahan tahan haba seperti ABS atau ASA
- nak workflow yang stabil dan konsisten
- tak nak terlalu banyak upgrade atau tinkering awal-awal
P1S sesuai bagi pemula yang ingin bermula dengan 3D printing tapi mempunyai visi panjang dan lebih serius.
Elegoo Centauri Carbon
Centauri Carbon menarik kerana harga pasaran Malaysia sekarang sangat agresif, dan spesifikasi yang ditawarkan agak tinggi untuk harga tersebut.
Anggaran harga di Malaysia (bergantung promosi)
± RM999
Spesifikasi ringkas
- Saiz cetakan: 256 × 256 × 256 mm
- Struktur CoreXY, fully enclosed
- Hardened steel nozzle (sesuai filament abrasive)
- Auto bed leveling
- Boleh mencetak bahan PLA, PETG, TPU, carbon-fiber blends
Sesuai untuk anda jika:
- nak printer enclosed CoreXY dengan bajet rendah
- bercadang cetak part mekanikal atau functional
- berminat guna filament carbon fiber atau abrasive
- tak kisah ekosistem software yang lebih ringkas berbanding Bambu Lab
Centauri Carbon merupakan alternatif yang sangat baik sekiranya anda inginkan 3D printer yang mempunyai spesifikasi tinggi dengan harga mampu milik. Satu kelemahan buat masa ini adalah kerana tiada pilihan unit multicolor, tapi ia akan berubah tidak lama lagi kerana Elegoo telah mengumumkan tarikh pelancaran unit multicolor tidak lama lagi!
Ringkasan
Untuk ringkaskan artikel kali ini, sekiranya faktor utama anda dalam mencari 3D printer adalah:
- Harga mampu milik tapi mudah guna → Bambu Lab A1 Mini
- Mudah guna tapi saiz sederhana besar → Bambu Lab A1
- Harga paling murah tapi kualiti cukup baik → Ender 3 V3 SE
- Nak printer stabil untuk jangka panjang → Bambu Lab P1S
- Nak CoreXY enclosed murah + abrasive ready → Elegoo Centauri Carbon
Artikel ini hanyalah berdasarkan pengalaman peribadi dan pembacaan maklumbalas pengguna-pengguna lain dalam komuniti 3D printer. Ia bukanlah fakta yang sama untuk semua orang, kerana pengguna lain mungkin mempunyai pandangan yang berlainan. Apa-apa pun, saya berharap ia mampu memberikan sedikit info berguna bagi anda yang baru ingin mencari 3D printer pertama anda.