#Sharing
3D Printing untuk Dunia Kreatif | Cosplay, Diorama & Miniatur
Walid Bin Wajdy
ditulis pada 17 Feb 2026
Luaskan Dunia Kreatif Anda Dengan 3D Printing!
Bagi peminat hobi cosplay dan diorama, 3D printing is for you!
Teknologi pencetakan 3D (3D printing) telah mengubah landskap banyak industri, termasuklah industri kreatif. Sebagai seseorang yang suka bereksperimen dalam industri kreatif, saya telah mengaplikasikan teknologi pencetakan 3D dalam pelbagai niche industry kreatif. Antara niche yang anda boleh terokai dengan 3D printing bagi yang ingin memiliki sebuah 3D printer atau yang sudah pun memilikinya ialah:
1. Props & Cosplay
Salah satu niche yang paling beginner-friendly untuk anda yang baru sahaja berkecimpung dalam 3D printing, niche props adalah niche yang sangat straightforward. Anda boleh terokai pelbagai fail 3D yang disediakan di internet, tekan butang download, dan tekan butang print pada mesin pencetak 3D anda. Siaplah satu buatan props anda yang pertama!
Lebih menarik lagi, anda boleh warnakan hasil cetakan 3D anda itu dengan mengecat menggunakan cat acrylic ataupun spray paint. Maka, anda dapat belajar dan melalui dua proses pembelajaran: satu ialah mengelola mesin pencetak 3D anda untuk dapatkan hasil cetakan yang baik, dan kedua adalah penggunaan warna dan jenis-jenis cat yang sesuai untuk diaplikasikan pada hasil cetakan 3D mengikut jenis bahan filament yang digunakan. Antara filament yang paling gemar digunakan ramai orang ialah filament PLA seperti SUNLU PLA+ kerana harganya yang mampu milik serta mudah untuk dicetak pada mana-mana pencetak 3D.
Bagi anda yang suka hobi cosplay mahupun pengumpul barangan hobi, pembuatan barangan props sangat menyeronokkan di samping peluang pembelajaran ilmu yang meluas dalam bidang 3D printing.
2. Miniatur & Diorama
Bidang seni miniatur (miniature art) & diorama adalah niche kreatif yang juga sesuai untuk mengaplikasikan teknologi pencetakan 3D. Memandangkan bidang seni miniatur meliputi pembuatan seni yang sangat kecil saiznya, ia sangat sesuai dipadankan dengan penggunaan mesin pencetakan 3D yang lebih kecil saiz permukaan cetakannya seperti Bambu Lab Mini A1.
Kebiasaan penggunaan mesin pencetakan 3D dalam bidang seni miniatur adalah mencetak parts atau objek-objek yang melengkapkan diorama atau bandar skala kecil kita.
Hasil pencetakan 3D penghadang jalan berskala kecil untuk melengkapkan pembuatan diorama.
Tips Menjayakan Pencetakan 3D Pertama Anda
Di sini saya ingin berkongsi workflow atau langkah-langkah kebiasaan saya ketika ingin mencetak apa-apa barangan 3D menggunakan mesin pencetak 3D:
- Cari dan muat turun fail 3D di laman web seperti Thingiverse.com dan cults3d.com.
- Bawa fail masuk ke dalam slicer software seperti Ultimaker Cura, lihat simulasi pencetakan dan laraskan posisi objek yang akan dicetak.
- Selenggara mesin pencetak 3D (jika perlu) dan cetak fail tersebut pada mesin pencetakan 3D anda.
Memandangkan saya biasa menggunakan printer Ender 3 V2, saya sentiasa membuat penyelarasan secara manual. Mungkin memerlukan tenaga kerja yang lebih sedikit, namun ini memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada saya mengenai cara sesebuah mesin pencetak 3D itu berfungsi. Jika rosak, saya lebih mudah untuk mencari punca kerosakan dan membetulkannya.
Kesimpulan
Dua niche kreatif iaitu props dan cosplay, serta seni miniatur dan diorama, adalah niche yang sesuai bagi mereka yang ingin menerokai dunia 3D printing kerana learning curve yang tidak sukar serta tunjuk ajar atau tutorials yang sangat banyak di Internet.
Ini hanyalah pendapat saya berdasarkan pengalaman peribadi yang saya lalui ketika baru memasuki dunia 3D printing. Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pembaca di luar sana.