Cara Buat Props Cosplay Guna 3D Printing (Step-by-Step)

Walid Bin Wajdy

ditulis pada 30 Mac 2026

3D printer thor hammer cosplay props

Pencetak 3D semakin mudah dimiliki dan digunakan oleh ramai orang, baik dari segi kos mahupun pembelajaran mengelola mesin ini. Ini menjadikan pencetakan 3D sebagai alat terbaik bagi anda mencipta barangan props dan cosplay sendiri tanpa perlu membelinya di kedai. Props yang anda boleh cipta sangat luas kepelbagaiannya, dari saiz kecil hinggalah saiz yang sangat besar dengan berbagai bentuk seperti props senjata pedang dan topeng Marvel.

Dalam artikel ini saya akan terangkan langkah-langkah mencipta sebuah barangan props saiz kecil hingga sederhana yang hasilnya cantik dan tinggi kualitinya. Kita akan menggunakan props Mjolnir atau senjata watak Thor sebagai contoh.

 

3D print mjolnir thor

1. Pencarian fail 3D

Pertama, kita perlu mencari fail 3D di Internet. Kebiasaannya saya mencari fail 3D di laman web Thingiverse.com kerana percuma, banyak variasi sesebuah model 3D serta ulasan pengguna lain yang sudah mencetak model 3D tersebut. Jadi, mudah untuk kita tahu sama ada fail 3D itu bagus untuk dicetak ataupun tidak. Laman web lain juga boleh diteroka seperti Cults3D dan MakerWorld.

Contoh model 3D Mjolnir di laman web Thingiverse

Contoh model 3D Mjolnir di laman web Thingiverse

2. Orientasi Model 3D dan Cetak

Selepas memuat turun fail 3D, kita perlu bawa fail itu ke dalam aplikasi slicer. Mana-mana aplikasi slicer boleh digunakan, sama ada aplikasi slicer khusus dalam jenama pencetak 3D anda ataupun aplikasi open software.

Cara anda orientasikan model 3D dalam slicer sangat penting. Kebiasaannya saya akan membuat beberapa simulasi orientasi model 3D, dan saya akan menggunakan orientasi yang memastikan cetakan tersebut stabil dan tinggi kemungkinannya untuk berjaya. Saya juga mempertimbangkan orientasi yang memerlukan masa paling pendek serta menggunakan bahan filament paling rendah bagi menjimatkan masa dan kos.

Contoh model 3D yang sama pada orientasi berbeza

Contoh model 3D yang sama pada orientasi berbeza
Contoh model 3D yang sama pada orientasi berbeza

Sebagai contoh, saya meletakkan dua orientasi berbeza menggunakan model 3D yang sama di atas; orientasi model kiri menggunakan lebih banyak bahan support (warna biru tua), jadi cetakan menjadi lebih lama dan memerlukan lebih banyak bahan filament. Manakala orientasi model kanan pula tidak menggunakan bahan support yang terlalu banyak, menjimatkan masa cetakan serta bahan filament yang diperlukan.

Sebelum menekan butang ‘print’, filament spool mestilah disambung ke mesin pencetak 3D dahulu. Beberapa jenis bahan filament yang boleh dipilih, namun untuk mencetak barangan props, filament PLA seperti dari jenama SUNLU sudah mencukupi kerana kuat bahannya serta mudah untuk pemprosesan seterusnya.

Hasil cetakan props Mjolnir (raw print)

Hasil cetakan props Mjolnir (raw print)
Hasil cetakan props Mjolnir (raw print)

3. Prepping (sanding + primer)

Selepas siap cetakan 3D, props anda boleh mula diproses supaya permukaan props licin dan mudah mengaplikasikan cat warna. Pemprosesan prepping termasuk:

  • Gosokan kertas pasir
  • Aplikasi lapisan cat primer
  • Proses pengeringan

Konsep asas dalam penggunaan kertas pasir adalah menggunakan grit yang paling rendah dahulu (paling kasar), kemudian naik sedikit demi sedikit.

Pertama, gosok menggunakan kertas pasir grit 120, kemudian 220 dan 400. Selepas itu, anda perlu mengaplikasikan satu lapisan primer dahulu (saranan primer warna kelabu) dan biarkan ia kering selama 30 minit.

Selepas kering untuk disentuh, boleh gosok permukaan props bersama lapisan primer pertama dengan kertas pasir grit 600. Anda akan perasan banyak habuk hasil dari lapisan primer yang digosok serta lapisan primer tersebut agak pudar. Proses ini biasa dan tidak perlu risau jika warna kelabu primer itu hilang kebanyakan, kerana tujuan primer adalah untuk mengisi lopong-lopong mikro yang ada pada permukaan objek serta memberi permukaan licin.

Kemudian, aplikasikan lapisan kedua primer dan biarkan kering sekali lagi selama 30 minit. Kemudian langkah yang terakhir adalah menggunakan kertas pasir grit 1000 yang digosok bersama air (wet sanding). Selepas itu, boleh biarkan props anda kering sepenuhnya.

Proses prepping secara keseluruhan:

A. Kertas pasir grit 120
B. Kertas pasir grit 220
C. Kertas pasir grit 400
D. Lapisan pertama primer kelabu
E. Kertas pasir grit 600
F. Lapisan kedua primer kelabu
G. Kertas pasir grit 1000 dengan air (wet sanding)

Hasil setelah mengaplikasikan kertas pasir dan cat primer

Hasil setelah mengaplikasikan kertas pasir dan cat primer
Hasil setelah mengaplikasikan kertas pasir dan cat primer

4. Mengecat

Selepas kering objek props anda, barulah boleh aplikasikan cat warna. Kebiasaannya saya memakai penyembur cat warna seperti dari MR. DIY kerana murah, mudah digunakan serta dapat hasil permukaan warna yang rata.

Kadangkala saya gunakan cat warna akrilik dengan berus bagi mengaplikasikan cat pada bahagian props yang kecil dan ruangan sempit.

Contoh penyembur cat warna dan cat akrilik

Contoh penyembur cat warna dan cat akrilik
Contoh penyembur cat warna dan cat akrilik

5. Finishing

Proses terakhir adalah mengaplikasikan lapisan cat perlindungan atau outer coating. Cat spray lacquer boleh digunakan bagi memberikan permukaan yang berkilat. Jika anda inginkan finishing yang tidak berkilat (matte finish), anda boleh menggunakan cat spray clear matt dari jenama Samurai.

Maka, siaplah barangan props ciptaan anda sendiri!

Hasil akhir props Mjolnir selepas proses cat warna

Hasil akhir props Mjolnir selepas proses cat warna
Hasil akhir props Mjolnir selepas proses cat warna

Kesimpulan

Langkah-langkah yang saya kongsikan ini adalah dari pengalaman lebih 5 tahun saya mencipta barangan props yang dipelajari dari pelbagai pencipta props cosplay. Jika lihat proses dari awal sampai akhir, agak banyak langkah-langkah namun berbaloi hasil akhirnya.

Semoga perkongsian saya ini memberi manfaat buat anda yang ingin meneroka hobi cosplay dan pembuatan props.

Selamat mencipta!

Scroll to Top