Walid Bin Wajdy
ditulis pada 9 May 2025
Kelajuan Cetakan 3D: Tetapan Utama Dalam Pencetakan 3D
Kelajuan atau speed merupakan faktor penting dalam pencetakan 3D. Tetapan kelajuan cetakan adalah tetapan yang biasa dilaraskan mengikut kesesuaian objek yang ingin dicetak. Persoalan yang sering ditanya adalah apa kelajuan cetakan yang terbaik untuk ditetapkan?
Apa Itu ‘Kelajuan’ Pencetakan 3D?
Dalam pencetakan 3D, sebuah mesin pencetak 3D mencetak objek dengan mencairkan bahan filament yang digunakan melalui hotend/print head, kemudian bahan tersebut akan jatuh pada permukaan print bed dan mengeras setelah disejukkan secara semulajadi. Proses ini berlaku di samping bahagian print head bergerak ke bahagian-bahagian yang diperlukan untuk membentuk objek mengikut model 3D yang digunakan.
Anatomi mesin pencetak 3D
‘Kelajuan’ pencetakan 3D merujuk kepada berapa laju bahagian print head itu bergerak dalam proses pencetakan objek. Tetapan ini bebas untuk kita tetapkan dan tiada had, namun setiap kelajuan yang ditetapkan memberikan hasil yang mungkin sedikit berbeza.
Apakah Kelajuan Terbaik Pencetakan 3D?
Secara amnya, tiada ‘kelajuan terbaik’ untuk pencetakan 3D kerana tetapan sesebuah kelajuan cetakan untuk satu objek tidak semestinya bagus untuk diaplikasikan pada cetakan model 3D yang lain. Namun, kebiasaan orang ramai menetapkan kelajuan cetakan 3D adalah antara 50-100mm/saat. Tetapan kelajuan sentiasa berubah atas beberapa faktor seperti kemampuan mesin pencetak 3D, hasil cetakan yang ingin dicapai, serta bahan yang dipakai.
Kesan Tetapan Kelajuan Pencetakan 3D
| Kelajuan Tinggi | Kelajuan Rendah |
|---|---|
| Penjimatan kos elektrik | Penggunaan elektrik lebih banyak |
| Kualiti cetakan rendah | Kualiti cetakan tinggi |
| Risiko kegagalan cetakan tinggi | Risiko kegagalan cetakan rendah |
| Tempoh masa cetakan lebih pendek | Tempoh masa cetakan lebih lama |
Kemampuan Mesin Pencetak 3D
Selain faktor-faktor di atas, kemampuan sesebuah mesin pencetak 3D juga penting diambil kira. Kita ambil contoh dua mesin pencetak 3D: Creality Ender 3 dan Bambu Lab P1. Kedua-dua mesin ini mempunyai kemampuan yang berbeza. Mesin Ender 3 mempunyai kelajuan cetakan ideal 45-65mm/saat, manakala kelajuan cetakan mesin Bambu Lab P1 boleh mencapai sehingga 500mm/saat. Perbezaan kelajuan cetakan maksimum kedua-dua mesin ini sangat ketara kerana sistem pergerakan atau motion system berbeza.
Ender 3 menggunakan sistem bed slinger di mana print head bergerak melalui paksi-x dan paksi-z serta print bed bergerak melalui paksi-y. Sistem pergerakan ini mempunyai kelemahan dari segi kelajuan maksimum kerana lebih laju pergerakan print head dan print bed, lebih kuat inertia yang dihasilkan, menyebabkan hasil cetakan rendah kualitinya. Bambu Lab P1 pula menggunakan sistem CoreXY di mana print head bergerak melalui kedua-dua paksi-x dan paksi-y yang mengurangkan kesan buruk inertia secara ketara. Ini membuka ruang untuk mana-mana mesin pencetak 3D yang menggunakan sistem CoreXY untuk mencetak pada kelajuan yang lebih tinggi daripada mesin bed slinger.
Kesimpulan
Kelajuan pencetakan 3D adalah tetapan penting yang senantiasa diubah-ubah mengikut kehendak dan kesesuaian. Kelajuan cetakan tinggi dan rendah memberikan perbezaan pada hasil dan proses cetakan kita. Dalam menetapkan sesuatu kelajuan cetakan, kemampuan mesin pencetak 3D perlu disemak juga supaya tidak melebihi had kemampuannya. Namun, segala tetapan adalah subjektif dan boleh diteroka dengan trial-and-error.
Selamat meneroka!