#Guide

OjanBot | Pandangan Awal terhadap Kit Robot Pemula Ini

Baru-baru ini saya menerima kit robot OjanBot daripada Cytron Technologies. Mari saya kongsikan pandangan awal saya terhadap kit robot ini.

Ridzwan Normahazan

21 Sep 2025 ー bacaan 4  minit

OjanBot daripada Cytron Technologies

Pandangan Awal terhadap Kit Robot OjanBot daripada Cytron Technologies

Baru-baru ini saya menerima kit robot OjanBot daripada Cytron Technologies, dan semalam saya telah siap memasang keseluruhan kit ini. Hantaran ini bukanlah ulasan penuh kerana saya belum sempat mencuba fungsi pengaturcaraan dan ciri-ciri robot ini.

Buat masa ini, saya hanya ingin berkongsi pandangan awal berdasarkan pengalaman memasang OjanBot serta pembacaan saya mengenai fungsi yang ditawarkan. Insya-Allah, saya akan menulis hantaran susulan selepas saya berpeluang mencuba semua cirinya.

Apa Yang Ada di Dalam Kotak

Kit ini dihantar kepada saya oleh Cytron Technologies untuk mendapatkan maklum balas pengalaman pengguna. Oleh itu, saya tidak pasti sama ada kandungan kotak ini sama sepenuhnya dengan set standard atau ada sedikit perbezaan.

Untuk versi yang saya terima, ia adalah OjanBot ESP32. Kandungan di dalam kotak adalah seperti berikut:

  • Tapak robot (Robo Base Mini) – 2 unit

  • Motor DC dengan tayar – 2 unit

  • Tayar caster – 1 unit

  • Papan kawalan Robo ESP32 (otak robot) – 1 unit

  • Penderia ultrasonik dengan pemegang – 1 unit

  • Penderia garisan (Maker Line) – 1 unit

  • Motor servo kecil dengan papan kayu (seperti batang aiskrim) – 2 unit

  • Bateri LiPo 3.7V 1300mAh – 1 unit

Seperti biasa, saya kagum dengan pembungkusan Cytron Technologies. Kotak berwarna ceria dengan corak menarik menambahkan semangat sebagai seorang “pembuat” (maker). Apa yang lebih membanggakan, jelas tertulis “Product of Malaysia” di belakang kotak — satu perkara yang membuatkan saya rasa bangga kerana ada produk tempatan yang berkualiti untuk bidang robotik.

Setiap kotak komponen turut disertakan dengan kod QR yang terus membawa pengguna ke laman tutorial berkaitan di laman web Cytron. Ciri ini sangat membantu, khususnya untuk pemula.

Kotak Kit Robot
Kotak Komponen Robo ESP32
"Product of Malaysia" tertulis di belakang kotak

Apa yang OjanBot Boleh Lakukan

Walaupun saya belum sempat mencuba, berdasarkan maklumat dari laman web Cytron Technologies, OjanBot boleh digunakan untuk mempelajari:

  • Mengikuti garisan menggunakan penderia garisan

  • Mengelak halangan menggunakan penderia ultrasonik

  • Menggerakkan servo untuk pelbagai aplikasi

  • Kawalan jauh melalui Bluetooth

  • Kawalan jauh melalui WiFi

  • Kawalan menggunakan alat kawalan tanpa wayar PlayStation 4

  • Pengaturcaraan melalui Arduino IDE atau kaedah berasaskan blok (mBlock, microBlock)

Pengalaman Pemasangan

Kelebihan:

  • Proses pemasangan mudah dan mesra pemula, tanpa perlu pematerian.

  • Tapak robot mempunyai banyak lubang pemasangan untuk pelbagai komponen.

  • Reka bentuk tapak menarik dengan gabungan warna hitam dan kuning, serta terasa kukuh.

  • Pemegang (mounting) yang disertakan memudahkan pemasangan motor dan penderia.

  • Papan kawalan Robo ESP32 mempunyai banyak penyambung (connector) — cukup sekadar pasang dan guna (plug and play).

Kekurangan:

  • Beberapa lubang pada tapak robot tidak sejajar dengan papan kawalan Robo ESP32. Jika dipaksa pasang keempat-empat skru, papan sedikit membengkok dan kelihatan tidak kemas.

  • Papan kayu kecil untuk servo terasa agak “asing” kerana hampir semua komponen lain direka khas, tetapi tiba-tiba ada dua keping papan seperti batang aiskrim. Memberi sedikit rasa bercampur antara kit profesional dengan kit DIY.

  • Kepala skru hampir sama besar dengan lubang pada papan Robo ESP32, dan tiada washer disertakan, menjadikan saya kurang selesa semasa memasang.

Lubang Robo ESP32 tidak sejajar dengan tapak

Reka Bentuk dan Kualiti

Secara keseluruhan, walaupun ada sedikit kekurangan kecil, rekabentuk dan kualiti bahan OjanBot adalah memuaskan. Ia tidak kelihatan murah, dan jauh lebih kukuh berbanding kit robot lain yang menggunakan bahan akrilik nipis.

Kit Robot OjanBot

Penutup

Saya sangat teruja untuk mencuba fungsi OjanBot ini dalam masa terdekat, khususnya untuk mempelajari aspek robotik daripada sudut pengaturcaraan. Sebagai seseorang dengan latar belakang reka bentuk mekanikal, kit ini boleh menjadi jambatan mudah untuk saya memahami dunia elektronik dan pengaturcaraan dengan cara yang lebih praktikal.

Kombinasi komponen dalam satu kit ini sudah cukup lengkap: penderia ultrasonik, penderia garisan, servo, serta keupayaan sambungan Bluetooth dan WiFi. Dengan hanya satu kit, kita boleh belajar pelbagai asas penting dalam bidang robotik.

Sama ada proses pembelajarannya mudah atau mencabar, saya akan kongsikan dalam hantaran seterusnya. Nantikan!

Scroll to Top